15.8.08

MERDEKA Siri 2: S.H.A

Bila Sang Pujangga bermadah kata :


Ini bukanlah entri pengumuman aku untuk menubuhkan kumpulan pop-duo bergelar S.H.A bagi menandingi kumpulan popular yang kiut berasal dari Taiwan, S.H.E.



Hakikatnya ketika di saat-saat aku ligat memerhati komen-komen balas Tun Mahathir selaku pemerhati politik ke atas situasi politik negara yang sedang berlangsung ketika ini melalui laman web chedet.com, Tun ada menyatakan bahawa beliau memang telah melakukan kesilapan memilih Datuk Seri Abdullah sebagai pengganti beliau.



Memanglah Tun Mahathir terkenal dengan kesilapan memilih pembantu kanan dalam urusannya mentadbir negara dengan pemilihan-pemilihan tokoh seperti Anwar, Musa Hitam dan lain-lain. Dapatlah aku rumuskan bahawa Tun Mahathir sebenarnya tidak ada pekerja yang beliau anggap benar-benar kompeten melainkan petugas-petugas sektor awam yang tidak dipengaruhi elemen ‘perlu mencari undi untuk terus bekerja’.


Polisi yang diamalkan ketika zaman Mahatirisme yang disifatkan sebagai keras, diterjemahkan oleh akal cetek aku ini sebagai satu keperluan yang Tun Mahathir terpaksa praktikkan. Umum mengetahui parti politik (bukannya politik itu sendiri) menjadi mainan pihak-pihak tertentu dalam usaha mereka melayakkan diri untuk ditemuduga bagi menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan. Usaha-usaha memancing undi ini sejak dahulu lagi diperoleh dengan cara membuat ceramah-ceramah menabur janji agar rakyat negara berprinsipkan demokrasi ini memberi mereka peluang untuk kenaikan pangkat, taraf gaji serta limpahan kuasa.



Jika di zaman pra-kemerdekaan dulu, wadah yang diperjuangkan serta dijanji-maniskan oleh ahli-ahli politik adalah kemampuan bangsa mereka melaksanakan tugas memerintah lebih baik dari bangsa pihak British, di zaman ini sudah tentulah serangan diajukan pada mereka yang masih sedang memegang kuasa tanpa mengambil kira lagi bangsa dan agama mereka.


Istilah ‘berbangga sebelum berbuat kerja’ ini yang dipandang Tun Mahathir sebagai sesuatu yang tidak sihat bagi pembangunan negara. Sebagai pemikir ekonomi yang memang terbukti kualitinya, Tun Mahathir tahu negara memerlukan khidmatnya dalam merencana pembangunan ekonomi, or at least beliau dapat mempertingkatkan sendiri ekonomi beliau; yang mana aku anggap kedua-dua perkara ini turut sama penting dan saling berinteraksi antara satu sama lain. Contoh paling mudah dilihat; dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan, peniaga-peniaga kita yang berstatus warganegara mengalami kerugian. Maka, ekonomi negara perlu sejajar membangun andaikata ekonomi diri kita dan keluarga mahu turut sama dipertingkatkan.


Namun, untuk menjadi pemerintah negara Malaysia yang mendukung prinsip demokrasi, Tun Mahathir sedar beliau perlu turut sama bermain politik bersama-sama ahli-ahli parlimen yang lain. Bukannya macam zaman dahulu di mana sultan memiliki kuasa pemerintahan monarki. Andaikata tuan puteri diculik lanun, maka gadaikanlah dirimu untuk menyelamatkan Si Tuan Puteri itu, nescaya akan dikurniakan tempat dalam istana agar kalian dapat membantu pula memajukan negeri yang sedang diperintah itu.


Mengulang penekanan aku ke atas isu keperluan untuk Mahathir bersifat keras ketika era pemerintahannya; Tun Mahathir tahu sekiranya tidak berbuat demikian, beliau akan menjadi mangsa buli pemain-pemain yang lebih ‘licik’ menguasai permainan. Dalam arena politik, kekuatan berpidato amat diperlukan kerana unsur inilah yang banyak memainkan peranan ketika sedang memancing undi. Tanpa perlu dibentangkan ‘report card’ permarkahan seseorang ke atas kerja dan usaha yang sedang dirancang (belum pun dilaksanakan), seseorang itu sudah mampu diterima bekerja di peringkat menteri andaikata bijak menarik minat pengundi.


Tun Mahathir tidak memiliki sifat itu. Beliau adalah seorang yang membuktikan kehandalannya melalui cara ‘membuat kerja’. Hakikat ini memang tidak dapat disangkal, setelah acapkali beliau tersilap membuat percaturan politiknya. Mungkin pattern ini tidak dapat lari dari seorang tokoh ekonomi kerana aku turut nampak corak yang sama sedang berlaku dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor hari ini. Ada pihak yang menimbulkan pendapat bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim lebih bertindak sebagai C.E.O Negeri berbanding dengan tugasan beliau selaku menteri besar a.k.a wakil rakyat.


Menimbulkan cetusan baru dalam minda aku; mungkin golongan seperti Tun atau Tan Sri Khalid Ibrahim ini layaknya sahaja tempat mereka sebagai pemacu kapitalis dalam negara yang membekalkan kewangan pada wakil rakyat seperti Anwar dan Pak Lah untuk diagih-agihkan kepada rakyat. Mungkin cara itu akan tampak lebih prakikal, kemas dan lebih cantik berbanding sekarang.


Namun seperti yang aku sebutkan tadi, politik itu umpama mainan. Maka semua orang ingin bertanding merebut kekuasaan. Menjadikan sistem demokrasi yang sepatutnya telah disusun cantik ini tidak begitu menampakkan hasil yang optimum.



Tun Mahathir memilih untuk turun padang menyertai permainan politik ini walhal beliau tahu beliau tidak ada kekuatan yang diperlukan untuk jadi pemenang. Satu-satunya cara adalah dengan bertahan dari asakan pihak lawan sambil membuat bentesan-bentesan keras. Tatkala refree melayangkan kad merah kepadanya, beliau layangkan kembali kad merah, putih, hijau dan kuning pada refree tersebut membuatkan refree terpinga-pinga lalu keluar padang sebab dah malas nak masuk campur dengan permainan pelik ini.


Tun melobi pula seorang refree yang baru yang hadir masuk ke padang sambil membawa alasan;


“Sori laa semua, kad merah saya tertinggal kat umah laa. Anak saya pinjam sat tadi sebab dia tak cukup kad nak main UNO.”



Mungkin inilah yang berlaku ketika zaman itu memperlihatkan ramai yang tak berpuashati dengan cara kepimpinan Tun.


Sebenarnya, aku merasa sedikit sebak ketika menyaksikan ucapan Tun Mahathir dalam mesyuarat agung UMNO sewaktu beliau mengumumkan pengundurannya. Bukanlah bermaksud aku terlalu taksub dengan Tun Mahathir sehingga tak boleh hidup tanpanya lantas melaungkan slogan ‘Hidup Mahathir’ serta mengusulkan kepada speaker mesyuarat untuk menarik balik perletakan jawatan Tun itu; tapi kerana pada ketika itu aku sedar Malaysia belum ada pengganti Mahathir yang benar-benar berwibawa dan membawa misi pembangunan yang sama seperti yang telah dipraktikkan Tun Mahathir 2 dekad lamanya.



Jadi, sebagai seorang manusia yang sentiasa cuba mencari nilai positif dalam setiap perkara; orang kanan beliau ketika itu yakni Pak Lah mungkin boleh dipersiap-sediakan bagi memikul tugas berat ini memandangkan Tun Mahathir bukannya cakap nak pergi mati sampai memerlukan sokongan ‘Hidup Mahathir’, beliau cuma nak mengundurkan diri atas sebab musabab yang dirahsiakan namun sebenarnya agak jelas di mata aku (kita bincang lain kali).


Pak Lah yang disifatkan Mr. Clean oleh Tun ketika itu membawa maksud beliau tidak dipengaruhi ketamakan jawatan dan merebut undi berdasarkan sifat low-profilenya sepanjang berkhidmat sebagai timbalan di bawah kelolaan Tun. Ini mungkin resepi kejayaan buat Tun andaikata mahu memastikan segala program yang telah disusun atur untuk negara dapat dilakukan dengan jayanya tanpa campurtangan pemain-pemain politik yang lain yang lebih berpeluang untuk merebut kerusi tertinggi itu.


Namun, melayu memang mudah lupa tentang perjuangan mereka yang belum selesai. Kesilapan ini turut melibatkan Tun Mahathir tatkala bermulanya episod Jambatan Bengkok yang menyaksikan pemulaan perang saraf antara Tun Mahathir dengan Datuk Seri Abdullah. Anwar yang disangka sebagai duri dalam daging buat diri Tun dulu, nyata tidak sebertuah Pak Lah yang berjaya menempatkan diri sebagai Perdana Menteri untuk membuat keputusan-keputusan membelakangi kehendak warisan rancangan pembangunan Tun Mahathir.



Persoalannya di sini, andai Tun Mahathir tidak memiliki keupayaan dalam merencana warisan perjuangan politiknya, maka setelah Tun tiada lagi dalam tampuk pemerintahan kini, siapakah sebenarnya yang wajar mengganti keperkasaan beliau dalam tugas memajukan negara?


Di dalam laman web blognya chedet.com, ada disebut dua nama yang mungkin relevan dengan perjuangan Mahathir sebagai memenuhi permintaan penyokong setianya (aku merupakan salah seorang) yang dambakan nasihat dan pandangan dari beliau dalam memilih pemimpin yang masih berorientasikan UMNO . Beliau meletakkan nama Rais Yatim dan Ku Li sebagai gandingan yang strategik tanpa menekankan aturan kekananan kuasa. Bermakna tak kisahlah sama ada Rais Yatim sebagai perdana menteri dan Ku Li sebagai timbalannya ataupun sebaliknya.



Aku melihat Tun Mahathir cuba lari dari stereotaip beliau dalam menyatakan pandangan berhubung isu ini kerana nyata-nyata pemilihan nama Tengku Razaleigh Hamzah menimbulkan tarikan tersendiri buat pengkomen-pengkomen di blognya. Mungkin Tun cuba ‘thinking outside of the box’ memandangkan beliau sendiri memang sudah berada di luar kotak parti UMNO.


Pendapat aku secara individu namun masih berteraskan konsep pro-Mahathir; cadangan beliau ini dibuat sambil lewa kerana seperti kebanyakan penyokong setia beliau, kami sebenarnya masih tercari-cari watak yang sesuai dan berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah yang jelas-jelas banyak membuat kesilapan ketika menentukan nasib masa depan negara ketika ini.


Harus diambil berat bahawa terdapatnya kekucar-kaciran dalam parti UMNO di peringkat atasan hingga membawa tempias ke peringkat akar umbi sekaligus memungkinkan tragedi perpecahan UMNO bakal berulang. Jadi selaras dengan kehendak Tun Mahathir yang mahu Pak Lah meletak jawatan, beliau perlu memfokuskan pada paksi pemimpin yang terarah untuk mempertikaikan Pak Lah daripada memilih tokoh parti yang terang-terang menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Pak Lah. Ini penting kalau beliau mahu Pak Lah terpaksa meletak jawatan.


Aku melihat perkembangan Datuk Seri Anwar ingin bertanding di kerusi lamanya parlimen Permatang Pauh yang telah dipanaskan terlebih dahulu oleh isteri beliau, adalah sesuatu yang sihat untuk melihat perubahan dalam barisan pemerintah kerajaan pusat ini. Bagaimanapun Tun pasti tidak akan bersetuju dengan rancangan ini kerana Anwar merupakan musuh ketatnya yang dipercayai takkan melupakan dendam keramat selama 10 tahun ini. Apatah lagi nasib parti yang dibentuknya sendiri itu pasti gelap masa depan sekiranya Anwar berkuasa.



Maka aku memandang dari sudut realistik pula andaikata pendekatan positif sukar diterima pakai. Sehingga 1415 patah perkataan termasuk 8908 buruf yang telah aku taipkan ini, pasti korang yang masih setia membaca hingga ke peringkat ini tertanya-tanya apakah motif aku meletakkan tajuk entri S.H.A seperti di atas.


Sebenarnya di samping aku menggalas harapan agar Datuk Seri Anwar berjaya melaksanakan hasrat beliau menggantikan Pak Lah, aku juga telah turut membuat penilaian tersendiri terhadap menteri-menteri kabinet yang dirasakan sesuai bagi urusan menggantikan Pak Lah andaikata Anwar gagal dalam melaksanakan misi beliau. Biarpun agak kurang rasional, namun seperti yang pernah aku ulas dalam siri pertama; di dalam politik ini, segalanya adalah bersifat mungkin.


Mungkin Anwar menang di Permatang Pauh lantas melaksanakan pelan rahsianya untuk melompat memanjat tingkap Pejabat Perdana Menteri menjelang 16 September ini. Mungkin juga Tun Mahathir membuat keputusan drastik lagi dramatik bertanding di Permatang Pauh atas tiket bebas agar dapat mengekang Anwar sekaligus menyelamatkan maruah UMNO milik beliau itu biarpun terpaksa mengorbankan hasratnya untuk melihat Pak Lah jatuh. Mungkin juga Anwar ditangkap dan disabit kesalahan ataupun ditahan di ISA untuk membolehkan UMNO di Permatang Pauh menang mudah. Mungkin Permatang Pauh dilanda banjir sekaligus mengakibatkan peti undi hanyut dibawa arus dan membuatkan keputusan tak dapat diumumkan. Mungkin sekalipun pilihanraya kecil Permatang Pauh ini tidak menyumbang apa-apa bentuk perubahan dalam kerajaan pusat namun akhirnya UMNO berpecah dan berpuak-puak dek akibat perebutan kuasa.


Segalanya mungkin…



Bagi aku, S.H.A atau lebih tepatnya Datuk Seri Syed Hamid Albar mungkin ada masa depan untuk tampil sebagai pengganti Pak Lah di sebalik kemelut politik negara ketika ini.


Extreme bukan? Pasti ramai yang tertawa dan tak bersetuju dengan aku berikutan peranan S.H.A ketika ini yang kelihatan terlalu banyak bercakap bagi pihak UMNO serta pernah membuat keputusan-keputusan yang menimbulkan keraguan. Belum kira skandal pemilihan cawangan lagi tu.


Tetapi, semuanya mesti ada sebab. Dalilnya untuk aku membuat pernyataan tentang beliau ini, adalah kerana;


  1. Selaku bekas Menteri Luar, beliau telah menjalankan tugas yang cemerlang di peringkat antarabangsa ketika era Pak Lah menjadi pengerusi OIC dan NAM. Ramai yang beranggapan beliau terlalu banyak membuat penampilan ketika ini yang diintepretasikan sebagai cubaan untuk mengampu Pak Lah. Yang aku nampak S.H.A ni memang dari dulu suka melontarkan pandangan beliau. Cuma bezanya dulu beliau Menteri Luar, lantaran itu hanya pihak luar yang mendengar celotehan beliau. Kini beliau Menteri Dalam Negeri. Kita je laa yang dok dengar hari-hari.


  1. Dilihat ‘keprihatinan’ beliau dalam membuat statement berjela-jela ini berpunca dari daya kreatif beliau dalam seni penulisan kerana beliau pernah menghasilkan buku sastera. Mungkin itu sebab aku memetik nama beliau kerana sikit sebanyak aku pun lebih kurang 2x5 jugak asyik banyak nak bercakap je. Tetapi faktor ini penting dalam politik. Kalau aku ada sebut pemidato mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini dalam siri pertama dahulu; maka mereka yang ada terlibat dengan minat dalam bidang sastera ini juga memiliki kemampuan yang hampir sama. Sebagai wakil rakyat (orang tengah rakyat dan kerajaan), tugas utama adalah dengan membawa aduan suara rakyat untuk dipanjangkan pada kerajaan dan kembali semula ke kawasan parlimen masing-masing memberi penerangan tentang dasar dan polisi yang dipilih kerajaan kepada rakyat jelata. Ini adalah falsafah yang perlu didukung seorang wakil rakyat. Ramai ahli politik dan penganalisis pun rata-rata orang yang berilmu falsafah. Maka, atas alasan kekuatan falsafah sastera ini, aku rasa beliau memiliki kelayakan yang diperlukan.


  1. Tugasan beliau setakat dua portfolio yang aku ketahui ini, memerlukan kemahiran perhubungan awam (public relations) dan buat masa ini aku berpuashati dengan cara penjelasan beliau berhubung setiap isu yang seringkali beliau susun dengan teratur, jelas, confident dan tegas dengan pendirian. Ini merupakan satu bonus untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang baik agar disokong oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. (“Itulah tanda kasih sayang seorang isteri terhadap suaminya…” Hehehe)


  1. Beliau dari Johor. Aku tatau kenapa tapi sepanjang pemerhatian aku, pemimpin dari Johor kurang mendapat serangan dari ahli pembangkang atau dalam erti kata lain pun; kalau kena serang pun tak berapa nak lut. Melihatkan Tun Hussein Onn yang membawa pendekatan pendidikan untuk negara sehingga digelar Bapa Pendidikan; tak banyak perkara negatif yang disebut tentang beliau berbanding Tunku Abdul Rahman (perpisahan Singapura), Tun Abdul Razak (Dasar Ekonomi Baru) Tun Mahathir (campurtangan dalam kuasa kehakiman), Datuk Seri Abdullah (pengurusan kewangan dan pentadbiran yang tidak cekap dan tangkap muat). Maka, mungkin di sebalik keagresifan beliau bercakap; mungkin inilah ‘Mr. Clean’ yang dicari-cari Tun Mahathir yang boleh menyatukan kembali bangsa Malaysia bermasyarakat majmuk ini untuk mencapai keharmonian menerusi kepimpinan berjiwa rakyat (memajukan ekonomi dan tahap etika rakyat) yang berskala tegas untuk membuat sebarang keputusan seperti yang pernah dilaksanakan Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya.


  1. Perkara terakhir sekali sebab mengapa beliau layak menjadi Perdana Menteri adalah kerana ketika ini beliau Menteri Dalam Negeri dan ada kuasa untuk menutup blog ini. Heheh, rilek laa Tuan Syed. Gurau-gurau je, jangan le mare…




Nantikan kemunculan siri terbaru minggu hadapan yang akan mengupas isu penyatuan Melayu yang ketika ini dikatakan berpecah belah.


Demi bangsaku, dalam meraikan ulangtahun ke-51 kemerdekaan kita, renung-renungkanlah kembali perjuangan kita untuk terus hidup dan turut sama memimpin bangsa-bangsa lain agar seiring maju dengan kita, demi menuju Tahun 2020 (walaupun Pak Lah kata tahun 2050).


~Wallahu’alam~

0 KoMen:

Post a Comment

Any Comment? Anybody?