29.12.08

Filem @ Ascorp

Bila Sang Pujangga bermadah kata :



Sebagai penutup tahun 1429 Hijrah dan 2008 Masihi, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baru dan semoga berhijrahlah kita ke arah yang lebih baik; dipacu azam-azam yang tidak bersifat hangit, sehangit taik ayam.


Aku ada beberapa azam utama untuk musim baru/tahun baru ini. Takyah laa nak di-reveal sangat akan perinciannya sebab takut tak tercapai pulak nanti, malu je yang tinggal pada diri.


Untuk edisi entri kali neh, aku nak menyantaikan (kata dasar : santai) pale hotak korang dengan me-review filem-filem terhebat dalam sejarah yang pernah aku tontoni setakat ini. Tema aku dalam segmen ini adalah filem yang membuat kita banyak berfikir – mempunyai kesan yang paling mendalam kepada penonton hingga terbawa-bawa ke luar panggung wayang atau ke alam mimpi andai hobi anda suka menonton DVD murah (ayat kaber) sebelum tidur seperti aku.

Tapi apa-apa hal, filem terbaik di dunia setakat ini bagi aku tak tergolong pun dalam senarai ini. Filem yang aku maksudkan adalah Transformer yang menjengah pawagam kita pada awal tahun ini. Filem ini mempunyai garapan yang baik dari segi adaptasi siri animasi (walaupun saya bukan peminat setia kartun Transformer), CGI terbaik mengalahkan Trilogi Lord Of The Ring, paparan aksi yang dinamik dan sukar membosankan, sinematografi unik dan terkenal seperti yang dijangkakan oleh penggemar-penggemar filem Michael Bay, pemilihan ‘casting’ tepat membuatkan penonton tak kering gusi, dan sudah tentunya ‘soundtrack’ yang terbaik (kalau dah pilih lagu Linkin Park tu memang laa dapat bonus extra point dari aku).


Untuk segmen yang ingin aku ketengahkan ini, aku memilih 4 buah tajuk yang aku rasa perlu untuk korang dapatkan/tonton sekiranya anda mahu cerita yang agak fokus dan bijak untuk tontonan seorang diri bila boring.


Kalau nak tengok ramai-ramai pun, aku sarankan agar jangan sediakan makanan ringan untuk dikunyah seperti bertih jagung atau potato chips. Cukuplah sekadar ada air penghilang dahaga untuk dihirup dan pastikan supaya rakan/ahli keluarga anda yang menonton untuk tidak membuat bising supaya pemerhatian anda terhadap plot jalan cerita filem-filem ini boleh dimaksimumkan semaksimum yang anda mampu.


Aku mulakan dengan filem yang berada di tangga teratas sehinggalah keempat dalam carta yang aku reka sendiri. Penilaian anda adalah tertakluk kepada hasil tontonan anda sendiri dan tak perlu nak bertelagah dengan aku filem mana yang terbaik sebab aku takkan bagi can kat korang untuk menang pun.




  1. The Butterfly Effect

Teraju : Ashton Kutcher, Amy Smart

Genre : Thriller/Psycho/Science-Fiction


Sipnosis : Apa yang anda akan lakukan sekiranya anda menyedari anda mempunyai kuasa untuk merubah sejarah masa lalu dan sekaligus memperbaiki kehidupan anda pada masa sekarang? Ramai yang mengaku telah banyak melakukan kesilapan dalam masa lampau kehidupan mereka yang ingin mereka ubah agar ia menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Bagi Evan, kehidupannya ketika zaman kecil agak ‘gelap’ dek beberapa insiden buruk dan yang lebih memburukkan keadaan, beliau menghidap sejenis penyakit mental di mana ketika insiden-insiden buruk ini berlaku, beliau hilang ingatan seketika. Perkara ini mungkin berlaku kerana mindanya cuba untuk lari dari kenyataan; tidak mahu mengaku terlibat dalam keputusan-keputusan buruk yang pernah diambilnya ketika kecil. Atas nasihat doktor psikitari, beliau mula menulis jurnal harian berupa diari agar beliau tidak boleh melupakan apa yang berlaku setiap hari. Malangnya ia tidak memberi apa-apa pulangan yang diinginkan sehinggalah ibunya mengambil keputusan untuk berpindah dari situ supaya Evan boleh menjalani hidup baru. 7 tahun selepas bebas dari penyakit hilang ingatan sementara itu, pada satu hari Evan mengimbas kembali kenangan lama dengan membaca semula jurnal yang pernah ditulisnya. Tanpa disangka ketika beliau membaca isi kandungan pada hari insiden-insiden tersebut berlaku, mindanya melompat kembali kepada waktu beliau hilang ingatan; dan mampu mengawal segala perlakuannya untuk mengubah fakta sejarah hidupnya sesuka hati! Adakah hajat beliau untuk memperbaiki kehidupan berjaya dicapai? Satu perkara yang anda perlu tahu, sehebat mana pun kuasa anda, anda takkan dapat mengubah sesuatu yang telahpun tersurat.


Review : Cerita yang berputar belit, mengelirukan dan memeningkan kepala ini menghasilkan satu perdebatan antara aku dengan bekas abang ipar aku. “Dia takkan blackout (hilang ingatan) sekiranya dia tak blackout at the first place,” bilangku yang mana membuatkan bekas abang ipar aku menggaru kepala dan surrender. Apa yang aku cuba maksudkan di sini adalah hukum ‘cause & effect’. Apa yang aku perhatikan sebab musabab dia hilang ingatan adalah kerana tindakannya di masa depan yang kembali ke dalam mindanya ketika zaman kanak-kanak yang sekaligus mengakibatkan beliau mengalami hilang ingatan tersebut. Pening bukan? Filem ini ada dua alternate ending di mana satu daripadanya happy ending dan satu lagi lebih berat untuk dinilai atau dijangka oleh para penonton. Kalau tak silap aku ending kedua ni ada dalam koleksi DVD Director’s Cut untuk filem ini. Pilihan di tangan anda, dapatkannya atau buat tatau je kalau anda takut nak me-jem-kan kepala otak diri sendiri.




  1. Thank You For Smoking

Teraju : Aaron Eckhart, Katie Holmes

Genre : Dark Comedy


Sipnosis : Sekiranya Michael Jordan berbakat untuk bermain bola keranjang, Charlie Manson berbakat dalam bidang pembunuhan bersiri; bagi Nick Naylor, bakat beliau adalah bercakap. Anda kenal sesiapa yang pandai bermulut manis sehingga mampu mencairkan hati mana-mana gadis dalam dunia? Itulah Nick Naylor. Bertugas sebagai pelobi kumpulan syarikat-syarikat tembakau di Amerika Syarikat, tugas berat beliau adalah untuk cuba meyakinkan orangramai bahawa rokok sebenarnya tidaklah sebahaya yang anda sangka dan syarikat pengeluar rokok tidak harus dianggap sebagai menzalimi kesihatan masyarakat Amerika. Sebagai contoh, sekiranya kereta yang anda pandu mengalami kemalangan, sepatutnya andalah yang wajar menerima hukuman, bukan syarikat pengeluar kereta tersebut. Ini kerana pilihan utama iaitu keputusan untuk membeli sesuatu produk itu, terletak di tangan anda dan tiada siapa yang mengacukan senapang ke kepala anda untuk memaksa anda membelinya. Jadi, anda mempunyai tanggungan liabiliti penuh ke atas setiap risikonya. Kata-kata dan prinsipnya kedengaran manis dan masuk akal, dan selalu kelihatan seolah-olah tidak mahu menyalahkan sesiapa, asalkan pengguna masih diberi kebebasan untuk membeli rokok dan menikmati setiap hembusan asapnya. Sehinggalah satu hari beliau sendiri disahkan akan mati sekiranya menghisap walaupun sebatang rokok saja lagi, membuatkan beliau dalam dilema samada untuk terus kekal dengan prinsip tak berperikemanusiaannya atau berubah menjadi suara yang menyeru orangramai supaya berhenti merokok. Ditambah dengan insiden-insiden tidak enak seperti skandal beliau dengan seorang wartawan muda yang menggiurkan, apakah agaknya langkah paling bijak mampu diambil oleh Nick Naylor seterusnya?


Review : Ehem… Selaku perokok tegar, sudah tentu aku amat teruja untuk mengetahui kisah hidup Nick Naylor dengan prinsip beliau yang sangat ekstrim itu. Tapi seronok melihat permainan kata-kata yang diguna beliau, membuatkan kita terfikir bahawa kita sebenarnya mampu ditipu sesiapa sahaja tanpa kita sedari sekiranya sang penipu itu tahu seni untuk memperdayakan orang. Dalam filem ini, ada satu watak penting iaitu anak lelaki beliau yang sangat menyanjung bakat beliau serta prinsip yang cuba dibawa beliau itu. Bagaimana kenaifan seorang budak berumur lebih kurang 10 tahun berjaya dipengaruhi oleh si Nick Naylor supaya berfikiran lebih kritis dan bebas? Inilah kehebatan beliau. Sebagai contoh beliau pernah bertanya pada anaknya “Sekiranya kamu menjadi peguam, dan kamu diarahkan untuk membela seorang pembunuh kanak-kanak, apa yang akan kamu lakukan?” Dengan bijaksana budak ini menjawab “Saya percaya setiap manusia berhak untuk mendapat pembelaan seperti yang termaktub dalam undang-undang negara kita.” Huh… Like father like son! Dan ada banyak lagi perdebatan yang memerlukan keanjalan moral seseorang individu yang tinggi untuk berhujah menegakkan prinsip diri.




  1. Man Of The Year

Teraju: Robin Williams, Laura Linney

Genre : Political Comedy


Sipnosis : Kemunculan satu demi satu nama besar dalam rancangan talk-show yang bertemakan senario politik semasa seperti David Letterman, Jay Leno, Bill Mehr dan sebagainya disusuli dengan satu persona popular bernama Tom Dobbs. Komedi yang dibawa beliau (kebanyakannya dalam bentuk yang anda kenali sekiranya anda pernah menonton filem Robin Williams sebelum ini) diterima peminatnya di serata Amerika. Kelantangan beliau mempersendakan dasar-dasar kerajaan seterusnya memberi idea kepada peminatnya untuk melobi beliau agar bertanding dalam pemilihan Presiden ketika itu. Menerima pencalonan berjuta-juta hanya menerusi e-mel di laman web beliau, akhirnya beliau tersenarai sebagai calon akhir yang akan berentap dengan calon Demokrat dan Republikan atas tiket bebas. Kaedah beliau yang mengurangkan sentimen politik bermuka-muka dan lebih memfokuskan untuk mencorakkan dasar-dasar menguntungkan rakyat, ternyata satu pendekatan yang tak pernah dilihat kerana selama ini calon-calon Presiden banyak menghabiskan jutaan dolar untuk berkempen hasil sumbangan penaja-penaja. Beliau tidak meminta sesen pun derma kempen maka beliau tidak dipengaruhi kepentingan penaja-penaja kempen Presiden tersebut. Sehingga ke hari pengundian, tanpa dijangka sesiapa, beliau berjaya mendahului saingan di kedua-dua wilayah kubu kuat parti Demokrat dan Republikan sehinggalah akhirnya beliau disahkan selaku Presiden Amerika Syarikat bagi penggal baru. Agak janggal dengan perisitiwa itu, beliau sendiri masih belum yakin untuk mengisi kerusi eksekutif tersebut. Di sebalik drama yang mengejutkan banyak pihak ini, ada satu konspirasi di balik tabir sedang dirancang dan sedang berjalan pada masa yang sama. Apakah misteri konspirasi ini dan adakah masa depan negara Polis Dunia ini akan lebih cerah apabila diketuai seorang pak lawak kelak?


Review : Sesuatu yang menarik, lebih menarik dari konsep konspirasi seperti yang cuba dipaparkan dalam filem The Manchurian Candidate. Plot-plot yang disusun tampak lebih kemas seolah-olah cuba memberikan bayangan kepada penonton bahawa everything is possible. Tetapi apabila berganjak ke perkembangan dasar cerita, penonton diajak untuk berfikir lebih mendalam akan proses justifikasi atau lebih mudahnya konsep ‘matlamat menghalalkan cara’. Di sini persoalan moral akan bergelojak dengan pandangan penonton yang mahukan kesudahan terbaik untuk semua watak dalam filem ini. Pada masa yang sama, unsur kisah percintaan cuba diselitkan untuk membuatkan penonton lebih sukar membuat keputusan tersebut. Bagi aku sendiri di akhir cerita, aku masih terkesima dengan persoalan “Wajarkan Tom Dobbs terus kekal berkuasa andaikata dia percaya dia mampu melakukan perubahan atau adakah beliau patut mengundur diri setelah menyedari beliau kurang keyakinan untuk memimpin negara tersebut?” sedangkan filem tersebut sudah tamat dan cuma kredit yang sedang menghiasi skrin komputer aku. Itulah antara sebab mengapa aku memilih filem ini sebagai antara yang terbaik untuk anda tontoni dan renungi.




  1. Lucky Number Slevin

Teraju : Josh Hartnett, Bruce Willis, Morgan Freeman, Ben Kingsley

Genre : Dark Comedy


Sipnosis : Kansas City Shuffle, ia adalah sebuah kisah menakutkan dan menyayat hati yang menimpa sebuah keluarga terdiri daripada orang-orang biasa seperti kita semua. Ia bukan sekadar satu cerita. Charlie Chaplin pernah memasuki pertandingan ‘Charlie Chaplin Look-Alike’ di Monte Carlo dan mendapat nombor tiga; itu adalah satu cerita. Kisah Kansas City Shuffle ini, adalah sesuatu yang sangat berlainan dari itu. Misteri kemunculan seorang lelaki di pangsapuri Nick Fisher, mengundang padah apabila lelaki ini dipertanggungjawabkan untuk menanggung segala beban hutang judi yang ditinggalkan Nick yang dipercayai telah melarikan diri ke tempat lain. Jejaka bernama Slevin ini dipaksa untuk melakukan satu pembunuhan sekiranya tidak mahu mengorbankan nyawa akibat tak mampu melangsaikan jumlah hutang yang besar itu. Selaku orang biasa yang mengaku kawan rapat kepada Nick Fisher, beliau dengan berat hati terpaksa menerima tawaran tersebut. Sasarannya adalah anak musuh seteru utama tauke judi tersebut, yang mana merupakan seorang lagi tauke judi bernama The Rabbi (Rabai – paderi orang Yahudi) yang banyak memberi hutang kepada kaki judi, termasuk Nick Fisher sendiri. Masih lagi dalam keadaan tak mampu menerima kenyataan, Slevin dipanggil pula menghadap The Rabbi untuk melangsaikan hutang tertunggak beliau pula. Tersepit di antara perang dua tauke judi, Slevin sebenarnya diperalat sepenuhnya oleh seorang pembunuh upahan bernama Mr. Goodkat. Tanpa disedari, kedua-dua pihak bertelagah ini telah mengupah pembunuh upahan yang sama bagi menamatkan konfrontasi berdarah yang telah berlanjutan selama berbelas tahun lamanya. Apakah misi Goodkat sebenar? Mengapa nama Nick Fisher/Slevin yang dijadikan mangsa? Seperti yang diberitahu awal tadi, ini bukanlah sekadar satu cerita.


Review : Filem ini dimulakan dengan babak flashback berkenaan dengan apa yang pernah berlaku satu ketika dulu di pekan Kansas. Tanpa menghuraikan persoalan sebenar, penonton dibawa pula pada perkembangan plot dimana lelaki malang bernama Slevin ini dipaksa menanggung beban hutang Nick Fisher. Persoalan utama penonton mungkin adalah, “mengapa Slevin?” Adakah ini cuma kes kesilapan identiti sedangkan perancangan yang dibuat Mr. Goodkat ini bersifat professional? Mustahil seorang pembunuh upahan professional melakukan ralat, walhal kredibiliti beliau sangat tinggi dan sering disebut-sebut sebagai yang terbaik dalam bidangnya. Aku confident takde sorang pun dari penonton yang mampu menjawab soalan ini selagi tidak menontonnya sampai habis. Cabaran yang diberi pada penonton adalah untuk memerhati setiap perkembangan cerita dan memahami apa yang cuba diterangkan setiap watak kerana setiap satu daripadanya adalah AMAT PENTING DAN SALING BERKAIT RAPAT. Di akhir cerita nanti anda akan dihadiahkan dengan jawapan demi jawapan yang sekaligus akan membuatkan anda ternganga serta kagum dengan kelicikan penceritaannya. Ha ha ha!




Ada orang suka menambah ilmu melalui pembacaan buku. Ada pula yang suka menjelajah dan merantau ke sana sini. Aku pulak? Layan DVD pun kira okey what!




~Bersiap sedialah! Ascorp 2009 akan menjelma tak lama lagi!~



4 KoMen:

cendawanintim said...

cam best ajer the butterfly effect tu...

harusssss dicari!

Mak Su said...

butterfly? oohh, cerita dancing-dancing tu? ascorp can dance?

eh!

mamat said...

sdr sudah bikin saya gila baca hal kenangan di asrama, waduh indah banget zaman itu... zaman kita mungkin berbeza, pada zaman saya, siti nordiana mungkin masih pakai seluar katok lagi, sdr juga peminat matt romeo rupanya... samalah kita. apa kata kalau cuba cari buku saya, aduhai suami terbitan alaf 21 pula, ada cerita yang lebih sedap daripd mengeliat dalam buku,

Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) said...

kak cendawan : mmg harusssss pon kak!

maksu : eh? e'eh maksu! eh salah citer tu... maksu neh byk sgt tgk hindustan gamaknya kot...

mamat : wahh sedara mamat. terasa bangga sekali blog buruk lagi tidak glemer ini dilawati sdr. sudahlah sudi menyinggah, sempat membaca, lantas memberi komen pula tu... wah wah wahh...

Post a Comment

Any Comment? Anybody?