12.1.09

AKIDAH BUKAN UNTUK DI-AKIKAH

Sejujurnya aku tidak gemar membicarakan atau membincangkan soal agama kerana aku ini terlalu cetek ilmunya, dangkal pemikirannya dan jahil akan hukum hakam-Nya. Entri ini bukan dibuat atas dasar suka-suka atau mahu menjadi panduan buat semua. Aku sendiri tidak pernah menempel hadis dan sabda Nabi di blog ini berikutan aku tidak memiliki akses akan kesahihannya. Setakat terserempak kat mana-mana web/blog atau e-mel, seriously, aku tak berani untuk menanggung risiko ini.


Apakah risiko yang aku cuba maksudkan ini? Jawapannya mudah; takut tersalah sampai dan ada yang terpesong pula nanti. Pesong di sini membawa maksud tersimpang dari jalan yang sepatutnya tapi belum boleh didefinisikan sebagai sesat. Melalui apa yang telah aku pelajari dalam kehidupan singkat ini; sesungguhnya kata-kata itu lebih tajam dan berbisa dari mata pedang samurai.


Sedangkan ucapan dalam media arus perdana pun boleh dipetik luar dari konteks, inikan pula kenyataan dari seorang hamba Allah yang hina-dina seperti aku. Bagaimanapun di sebalik kejahilan aku sendiri, aku terpanggil untuk mengajak kamu semua kembali merenungi akidah masing-masing. Aku tidak boleh mengajar apa yang betul dan apa yang salah, cuma kesedaran ini terbangkit dari kerisauan melihat pasca kenyataan (statement) yang pernah aku temui sepanjang unjuran kehidupan penuh corak ini.


Baru-baru ini aku agak tersentak dan ‘makan dalam’ apabila ada seorang hamba Allah yang membidas kata-kata aku dengan sepotong hujah: “Apa puak Maal Hijrah neh Jai? Esok kan Awal Muharram. Itu pun ko tak dapat nak bezakan ke?” Belum sempat aku tarik nafas mengucap, aku terasa nak aje hempuk kepala mamat tu dengan gelas plastik yang tergenggam di tangan aku. Itulah fitrah manusia; seringkali mudah dipegaruhi emosi panas baran tanpa sempat memikirkan semula soalan yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam menentukan pendirian kita selaku seorang Islam; “Apakah aku benar atau silap?”


Yang aku sentap lebih tu bukan sebab apa, cuma mengikut pemahaman akidah aku berkenaan sejarah Islam, kalendar tahun Hijrah bermula ketika detik penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah yang mana bulan Muharram adalah bulan pertama bagi kalendar ini. Jadi, apa agaknya reaksi aku bila ada yang mengatakan Maal Hijrah dan Awal Muharram itu bukan satu sambutan yang sama? Ia umpama seseorang yang mengatakan ucapan dua kalimah Syahadah aku adalah tidak benar; sudah tentu aku akan melantun sebelum sempat aku bermuhasabah dengan diri sendiri terlebih dahulu.


Sebenarnya, banyak jugak pertikaian mengenai agama yang lebih kritikal yang aku nakkan sangat penjelasan dari cerdik pandai agama. Tapi macam biasalah, syaitan dok bergayut dan bersepah dalam kepala hotak, bilamana aku berkesempatan berbuat demikian, habis terlupa akan semua persoalan tadi.


Untuk membicarakan perkara ini dengan lebih berhati-hati tetapi tetap kritis, izinkan aku kemukakan barang sedikit daripada persoalan tersebut yang aku sempat ingat. Persoalan yang menjadi buah mulut hangat ketika ini adalah berkenaan hukum hudud. Ada yang menyokong perlaksanaannya, ada yang menentang, tak kurang juga yang masih bermain tarik tali.


Seorang ustazah (politik) terkenal di negara kita pernah membuatkan kenyataan akhbar menerangkan bahawa negara kita tidak perlukan hukum hudud dan qisas dek kerana dinamisme budaya masyarakat majmuk negara ini. Beliau dipetik lagi sebagai berkata pemerintahan Islamik kita dibuat mengikut keutamaan, keperluan dan kewajaran semasa. Buat masa ini kita telah diberikan Islam Hadhari, sistem keadilan mahkamah syariah serta kita juga menjadikan fatwa sebagai hukum; belum pernah lagi dipraktikkan di mana-mana negara lain. Kata beliaulah...


Agak menarik untuk diperkatakan tentang ustazah ini kerana beliau pernah menyatakan hujah bahawa mewarnakan rambut tidak haram kerana sifat semulajadinya yang berubah-ubah. Dari pendek ke panjang, dari hitam/jingga/kuning akhirnya tetap akan berubah ke putih juga. Hatta bulu hidung, bulu ketiak, bulu ehem ehem pun digalakkan untuk dicabut bagi tujuan kekemasan diri. Aku percaya hujah inilah yang sering digunapakai kaum Hawa mencukur kening walaupun kawasan kening ini tidak tertakluk dalam lingkungan aurat sekaligus membenarkan ‘kekemasan’ diri ini dilihat oleh lelaki-lelaki bukan muhrim.


Jadi apakah hujah yang digunakan ustazah ini tentang hukum hudud boleh diterima pakai? Memang benar bahawa akan terdapat risiko pemberontakan dari kaum bukan Islam mengenai hal ini kerana walaupun hukum ini dikatakan hanya untuk orang Islam, namun berapa ramai pula orang Islam di negara (dan di dunia) yang sekadar hanya Islam pada nama? Transformasi sistem undang-undang ini mungkin menimbulkan kegusaran banyak pihak sekaligus membuatkan orang bukan Islam merasa tidak selesa akan fenomena yang bakal berlaku.


Namun yang jelasnya adalah hukum Allah ini bersifat mencegah kemungkaran dari berlaku. Amar maa’ruf nahi mungkar. Dibimbangi akan ada pendapat yang berfikiran tidak salah untuk menyambut perayaan keagamaan atau meraikan tuhan agama lain hanya kerana tinggal dalam kawasan bermasyarakat majmuk. Akhirnya mungkin juga perbuatan bersubahat membuka kandang babi atau menjual arak biarpun kepada bukan Islam diterima sebagai satu punca untuk kita mencari rezeki. Hanya kerana atas nama toleransi sesama kaum.


Kita berganjak pula ke persoalan lain, iaitu mengenai cadangan sesetengah pihak yang mahukan duit zakat turut diagihkan kepada bukan Islam. Telah dinyatakan bahawa duit zakat ini hukumnya haram diberikan kepada golongan kafir melainkan ia bertujuan untuk membuka hati mereka yang masih ragu-ragu untuk memeluk Islam tapi menyimpan niat untuk menganutinya (dan mereka juga perlu melepasi syarat sah penerima wang zakat). Ini supaya mereka melihat kebaikan orang Islam lalu memudahkan mereka untuk menerima ajaran agama ini.


Memandangkan ia merupakan petikan kata-kata seorang pegawai besar JAKIM, aku agak risau dengan mesej yang cuba disampaikan melalui dada akhbar ini. Adakah ini bermakna Islam boleh berdakwah menggunakan habuan wang ringgit sepertimana yang sering dilakukan mubaligh-mubaligh Kristian untuk menambah bilangan jumlah ahli gerejanya? Bunyi seperti ada yang tak kena je. Aku takut akhirnya ia akan disalah erti oleh masyarakat bukan beragama Islam sebagaimana mereka sensitif dengan perkataan hudud itu sendiri.


Harus diingat bahawa junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W pun pernah disalah tafsir sebagai ‘berdakwah menggunakan hujung mata pedang’ oleh sekumpulan orang kafir dek kerana penglibatan Baginda dalam beberapa siri perang Jihad. Sedangkan nama ‘Islam’ itu sendiri membawa maksud ‘damai’, ramai yang masih keliru maksud sebenar Jihad, tidak kira Islam atau bukan Islam. Akhirnya, tidak ada hujah kuat untuk menjustifikasikan keperluan Jihad itu sendiri.


Di Malaysia, perkataan Jihad itu juga merupakan perkataan menakutkan dan sensitif biarpun untuk dibicarakan pemerintah tertinggi negara ini sekalipun. Yang berani disebut adalah perkara-perkara absolute dan melibatkan hal ehwal dalaman negara seperti berjihad memerangi jenayah atau dadah. Yang kelakarnya ada pula calon bakal Ketua Wanita UMNO yang mengajak kita berjihad mengundi BN biarpun mereka sendiri telah menentang perlaksanaan hukum hudud. Tak ke pelik tu? Tetapi bagaimana pula dengan isu blog menghina Rasulullah milik seorang rakyat Malaysia? Tidak kiralah jika pemilik berkenaan mendakwa blog ID beliau telah disabotaj (spam) sekalipun. Yang menjadi kegusarannya apakah trend menghina junjungan besar masyarakat Islam ini akan tetap berterusan? Hanya semata-mata kerana mereka tidak memahami perjuangan baginda Rasulullah? Takkan mereka yang ada kuasa nak berdiam diri memeluk tubuh sahaja melihat fenomena ini?


Bukan persoalan itu saja, penerangan mengenai alam ghaib atau mistik juga amat mengelirukan. Perkataan ghaib digunakan yang membawa definisi ‘tidak boleh dilihat’. Tetapi ada pula yang dikatakan boleh melihat makhluk ini. Kalau nabi tu mungkin logik kerana mereka memiliki mukjizat serta keperluan untuk berhubung dengan dunia ini sewaktu menerima wahyu Allah, tapi Nabi Muhammad adalah nabi terakhir. Masakan mungkin kita yang merupakan manusia biasa, selaku umat Nabi Muhammad yang dikatakan umat terakhir manusia sebelum kiamat, memiliki kuasa itu. Tidak kiralah jika ada yang mengatakan ia bergantung kepada rezeki masing-masing, namun yang khuatirnya kerana manusia memang terkenal dengan sifat takutkan benda-benda yang mereka tidak fahami. Ini terbukti apabila ada yang mengatakan David Copperfield menggunakan kuasa jin untuk melakukan silap mata. Malah ada yang lebih parah mengatakan sukan gusti adalah babak pergaduhan yang real/sebenar. Jadi siapalah kita untuk mengatakan imej-imej kurang jelas yang kita lihat adalah sebenarnya merupakan makhluk dari alam ghaib?


Yang peliknya, makhluk ini (seperti yang akan disokong oleh Uncle Seekers dan yang sewaktu dengannya) tidak pula memiliki sifat yang sama merentasi negara-negara. Hantu cina lain, hantu melayu lain, hantu omputih lain. Ada hantu yang cuma berkepala. Ada yang dibaluti kain kafan. Ada hantu jerangkung, hantu air, hantu raya, hantu galah dan sebagainya. Walhal kita sebagai makhluk manusia sama je dari segi biologinya. Tak kiralah orang Afrika ke Jepun ke. Si perempuan tetap mengeluarkan darah haid dan si lelaki tetap tumbuh jambang dan misai. Biarpun jin dan syaitan ini dikatakan mampu berubah-ubah kepada pelbagai bentuk, mengapa ia kelihatan memiliki satu bentuk tetap di satu-satu negara (ada mengikut spesis pulak tu)? Dan yang lebih tak masuk akal, jika ia boleh dilihat (atau didengar), kenapa dipanggil ghaib?


Dan telah disebut bahawa syaitan itu akan terus berbisik kepada manusia untuk tujuan menyesatkan kita sehingga kiamat kelak. Apakah hilaian pontianak boleh diklasifikasikan sebagai gangguan syaitan? Apakah kenyaringan bunyi ini bersifat bisikan? Atau hati kita sendiri yang berbisik supaya mempercayai terdapat makhluk di kawasan itu lalu memperlihatkan berlakunya pelbagai perkara khurafat dan syirik seperti memberi makan jin dan meminta nombor ekor.


Dan kerana hanya menimbulkan persoalan ini, aku pula dikatakan murtad; bertuhankan sains dan tidak mahu mempercayai kekuasaan Allah. Inikah cara berdakwah yang digunakan mereka? Pendekatan apa yang mereka gunapakai ini? Maaf kerana aku nak berkata; golongan seperti mereka ini cukup memalukan agama.


Walhal perkara yang sudah jelas terang lagi bersuluh, tiada pula suara-suara yang lantang mahu backing-up. Tahukah anda sebahagian besar masyarakat kita masih menutup telinga dan mata bila kilat sabung menyabung? Sewaktu aku belum sempat masuk ke sekolah lagi, ustazah yang mengajar muqaddam kat madrasah masa aku kecil dulu pernah berpesan: “Jangan takut dengan petir yang menyambar. Tu tandanya malaikat tengah panah syaitan yang berkeliaran. Kalau kamu rasa kamu tu bukan syaitan, tiada sebab untuk kamu takut. Yang kamu perlu takut cumalah Allah S.W.T.” Sampai ke hari ni aku masih ingat pesan ustazah tersebut.


Aku sedar aku juga mungkin takutkan benda lain selain Allah. Misalnya kalau terserempak dengan ular, kamu tak takut? Walau dalam mimpi sekalipun, tak mustahil kamu bangun dari tidur dalam keadaan berpeluh-peluh. Bagi kaum perempuan mungkin disusuli nafas kelegaan kerana mereka tahu itu tandanya jodoh mereka dah dekat.


Tapi dek kerana kesedaran akibat pesanan ustazah tadi, aku gagahi juga ketakutan dalam diri dengan cara memusnahkan atau menjauhkan benda yang aku rasa takut apatah lagi sekiranya ia berisiko untuk memudaratkan aku. Kerana itu dalam pada kaki aku yang menggeletar sekalipun, aku tetap berlagak macho memijak lipas merayap yang bersarang dalam rumah menggunakan selipar jepun (selipar jamban).


Tapi kejadahnya dengan menutup mata dan telinga, boleh menghindari diri kamu dari dipanah petir pula? Dan seperti biasa, ada juga kedapatan suara-suara kritis yang aku tak boleh nak elak dari dengar memandangkan ini ialah realiti kehidupan yang perlu aku tempuhi. “Ooo, kiranya ko tak takut kilat laa ye Jai? Ko berani sangat laa? Cuba ko pergi duduk bawah pokok tu, tak pun berdiri tengah padang bola. Teringin jugak aku nak tengok ko kena sambar petir.” Adalah bukan sesuatu yang bersifat berani apabila anda menyapu Ajinomoto pada kaki anda dengan harapan anda mampu membuka selera si tedung untuk mematuk kaki anda. Amat bodoh sekali cadangan yang dikemukakan tersebut.


Tapi jangan salah sangka, kebodohan itu sebenarnya perlu diluah sekiranya mahu menjadi pandai. Menyembunyikan kebodohan sendiri adalah kebodohan yang paling agung. Manusia belajar dari kesilapan. Sebab itulah aku tidak menegah suara-suara ini dari terus bersuara. Malah lebih aku galakkan supaya membantu aku menukar kebodohan sendiri menjadi kepandaian. Itulah misi manusia selaku pencari ilmu yang hakiki.


Memandangkan aku rasa isu-isu yang aku timbulkan perlu mendapat perhatian pihak berwajib dan cerdik pandai agama, aku rasa adalah afdal untuk pihak JAKIM menubuhkan jabatan penerangannya. Apakah sudah sedia ada? Maka fungsi dan penyampaian mesejnya perlu diperhebat lagi. Ini penting untuk memuktamadkan segala perdebatan dan pertikaian mengenai perihal agama ini. Isu fatwa mengenai yoga dan pengkid sendiri sudah memperlihatkan banyak kekeliruan dan kekacauan pendapat, membuktikan kaedah penyampaian atau penerangan ini masih banyak yang perlu diperbaiki.


Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku sendiri banyak melakukan perkara yang meragukan akidah. Aku sendiri me-rebonding rambut walaupun Cik Tyrark ada menjelaskan bahawa tindakan aku ini dikhuatiri haram kerana bakal memberi visual seperti seorang wanita kepada sesiapa yang memandang. Dan aku sendiri pula masih tersangkut dengan hujah aku mengatakan tiada salahnya menyimpan rambut, cuma mungkin tindakan aku yang didorong akibat rimas dengan rambut kerinting itu boleh diragui. Ya, aku masih dalam proses belajar dan menjustifikasi. Jadi seharusnya tak layak untuk aku menghayunkan gelas aku pada insan yang mengatakan Maal Hijrah dan Awal Muharram itu adalah sambutan yang berlainan. Mujur juga aku tidak terlalu mengikut bisikan emosi syaitan.


Aku sedar persoalan-persoalan yang sensitif seperti tidak sesuai sangat untuk dibincangkan secara terbuka. Lihat sajalah pergolakan yang berlaku antara puak Sunnah dan Syiah di Iraq walhal mereka sesama saudara seagama. Haruslah ia dijadikan iktibar dan betapa perlunya penglibatan ulama bersama kerajaan menentu ukur keteguhan akidah rakyat Islam di Malaysia ini. Percayalah akan kehebatan kuasa yang patut ada pada cerdik pandai agama ini. Insya-Allah orang kita tidak akan terpesong dan berpecah belah.


Aku rasa, kalau kita selalu bermuhasabah diri, dan bertanyakan pada diri apakah kesalahan yang telah/sedang dilakukan, insya-Allah kita akan menemui kebenaran. Anda pula bagaimana? Tanak cuba merenung mana yang benar, mana yang anda silap?




Pesanan penting : Sebagai seorang blogger yang bertanggungjawab, aku sering menapis entri-entri yang menyentuh bab politik, agama, bangsa atau pendidikan. Entri ini adalah antara entri yang paling berat untuk aku lepaskan bagi tujuan penyiaran sementelah berbelas lagi telah aku peramkan sahaja dalam PC di rumah. Di sini, aku meminta untuk anda fahami keikhlasan dan pengertian aku terhadap entri ini. Terima kasih kerana sudi membaca sampai ke tahap ini.




4 KoMen:

Ungku Nor said...

biasa la manusia ni, Jai. suka sangat mengelirukan diri sendiri kalo masuk bab2 agama ni.

kadang2 muqaddam pun tak abis baca tapi dah pandai2 nak tafsir AlQuran ikut fahaman dan tekak memasing je.

naudzubillah..

Mak Su said...

kadang2 bahasa tu lain2 skit, iya ler, naik orang baru, tentu ler dia nak cipta trademark pula, yang gah, nak lebih dari orang lama, tu sebab kekadang kita tengok rules asik bertukar selepas beberapa tahun, dan termasuk jugalah bahasa yang digunapakai, orang ni guna cenggini, org tu cenggitu, padahal bendanya sama jer. macam muqaddam, macam aku dulu panggil juz amma. arwah mak aku dulu cakap awal muharam, sekarang maal hijrah. dulu sekolah menengah, sekarang kena panggil sekolah menengah kebangsaan (keliru)

arsaili said...

salam...apa kabar bro

Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) said...

kak ungku : tol tu kak!

maksu : kalo benda sama, tukar nama takpe jugak. mcm saye, pon tukar2 nama gak. tukar baju pon takpe.

tapi kalo sampai dah tuka idong, tuka itu tuka ini sampaikan org igt kita neh alien, maka itu dah salah pahaman tuh... tu yang kite nak kene sekolahkan org balik tu...

arsaili : salam gak... sihat je bro. bro pulak ape khabar? cewah, dah macam sesi suai kenal lak dah...

Post a Comment

Any Comment? Anybody?