24.11.09

PETIKAN SELINGAN

Petikan Metro Ahad 22 November yang lalu :



Sebak terima diploma anak

Laporan oleh BAKRI MOHD DAHALAN
am@hmetro.com.my


SKUDAI: Demi menunaikan hasrat anaknya yang maut dalam kemalangan jalan raya minggu lalu, seorang bapa tetap menghadiri Majlis Penyampaian Ijazah/Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan mewakilinya menerima segulung diploma daripada Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang.

Yasaa Daud, 53, bersama isteri dan dua anaknya datang ke majlis di UTM di sini, pagi semalam, demi menunaikan cita-cita Dzul Fadzlee Yasaa, 23, untuk meraih Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Dzul Fadzlee yang menunggang motosikal sendirian untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) meninggal dunia dalam nahas jalan raya di kilometer 97, Jalan Kuantan-Maran, kira-kira jam 9.30 malam 14 November lalu.

Allahyarham adalah graduan Kolej Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) sebelum menyambung pengajian di UMP.

Yasaa berkata, Allahyarham adalah anak sulung daripada lima beradik dan baru menyelesaikan semester pertama di UMP selepas menamatkan pengajian di IKIP tahun lalu.

“Allahyarham tidak sempat bersama meraikan kejayaannya, tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi. Sebagai anak sulung, pemergiannya sangat dirasai kerana Arwah ibarat tunjang keluarga dan contoh kepada adiknya.

“Namun kami sekeluarga menguatkan diri untuk menghadiri majlis penyampaian diploma ini tanpa arwah yang disayangi supaya menjadi pendorong kepada anak lain untuk terus cemerlang dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas mewakili Allahyarham menerima diploma daripada Dr Zaini di sebuah bilik khas di UTM.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, seramai 1,647 graduan dari 18 kolej kerjasama UTM seluruh negara menerima ijazah dan diploma pada majlis itu.

Seramai 386 gaduan menerima ijazah sarjana muda manakala 1,261 graduan menerima diploma pada majlis yang berlangsung dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.



Akeji : Untuk lebih pemahaman, sila klik sini.

0 KoMen:

Post a Comment

Any Comment? Anybody?