16.2.10

KETERDESAKAN

Terdengar sari berita utama Buletin Utama malam tadi. Sebenarnya aku memang dah malas nak mendengar siaran berita perdana melainkan berita-berita sukan sahaja. Tapi adat laa selaku seorang yang keboringan melayan malam sunyi serta tiada akses Astro ataupun ketika mengalami sindrom line internet yang sangkut-sangkut, maka aku tetap pasang jugak laa TV tu sambil sedang membuat kerja lain seperti makan malam atau menyiapkan kertas kerja. (Eleh, kertas kerja konon. Ngengada sungguh ayat aku ni.)

Isu semalam adalah isu Pulau Pinang. Di mana mereka membincangkan tentang apakah Lim Guan Eng cuba menipu rakyat ketika soal pembatalan perarakan Maulidur Rasul dilakukan? Isu ini ditimbulkan oleh bekas ahli PKR iaitu ahli parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim setelah beliau dikatakan keluar PKR kerana gagal mendapatkan tender kontrak bernilai RM40 juta. Bagaimanapun Lim Guan Eng menafikan tuduhan ini sewaktu menjawab soalan wartawan di rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina yang lalu.

Pada hari yang sama, TV3 menimbulkan persoalan yang akhirnya memakan diri sendiri; siapakah yang berbohong, samada kerajaan negeri atau media itu sendiri?

Di dalam hujahan ini, TV3 memetik beberapa maklumat dan petikan akhbar yang jelas-jelas memihak kepada mereka. Apakah ini satu kejanggalan? Tidak. Kita sudah sedia maklum media perdana sentiasa membantu kempen Barisan Nasional setiapkali berlaku pilihanraya sama ada umum atau kecil. Jadi, mungkinkah timbul motif politik di sini?

Bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh; kelihatan Barisan Nasional sememangnya sedang merancang serangan untuk menumbangkan atau merampas kembali negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat dua tahun lepas. Perak sebagai contohnya, dirampas tanpa perlu mengadakan cabutan undi – padahal mereka mengatakan mereka mendokong konsep demokrasi. Perak adalah tugas yang agak mudah dan cuma mengambil masa setahun untuk mereka menidakkan hak pengundi Perak, manakala tambah lagi setahun untuk memberi ruang masa bagi mereka berkempen kepada rakyat Perak bahawa mereka lebih hebat memerintah dari kerajaan pilihan rakyat itu. Sejurus apabila keputusan mahkamah diumumkan, mereka begitu yakin tidak akan ada lagi suara-suara akar umbi yang membantah gerakan penjajahan ala zionis ini.

Kalau boleh aku pun malas nak berbicara soal Perak. Sehingga ke saat akhir penghakiman, aku masih menaruh harapan agar hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan dapat berfikir dengan rasional untuk mengembalikan pemerintahan Perak kepada kerajaan yang sah pilihan rakyat. Dengan itu, sekiranya Nizar menang, beliau perlu mengotakan janji untuk membubarkan DUN dan aku boleh mengulas soal Perak dari sudut yang lebih relevan untuk membantu kempen apa yang patut supaya rakyat Perak mampu memilih kerajaan yang menegakkan hak dan bukan semata-mata mahu mengejar duniawi. Seandainya selepas itu Barisan Nasional berjaya menang semula di Perak, maka tiada siapa akan sakit hati. Yang kalah haruslah menyalahkan diri sendiri sahaja.

Tapi itu tidak berlaku. Maka aku terpanggil untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka yang mahu menghalalkan segalanya asalkan mereka dapat terus berkuasa di sana.

Tidak cukup soal Perak, perbicaan Liwat versi 2.0 juga mengundang perdebatan banyak pihak terutamanya suara rakyat yang tiada kena mengena dengan kes ini secara langsung. Sebagai contoh, petikan perbicaraan yang aku tampilkan di sini minggu lepas, di mana telah mempopularkan istilah “Can I fire you today?” menjadi bualan segenap lapisan masyarakat sebagai satu berita yang kurang enak dibual bicarakan di muka hadapan sisipan akhbar media perdana negara. Sekali lagi kredibiliti media dipertikaikan. Walhal menurut seorang sumber yang dekat dengan bidang kehakiman ini, aku diberitahu bahawa prosedur ini adalah normal. Yakni mangsa rogol, liwat atau cabul dibolehkan untuk membuat prosiding terbuka kes mereka sehinggalah tiba ke bahagian yang akan memalukan mangsa atau orang kena tuduh maka peguam akan diberi ruang untuk memohon prosiding seterusnya dijalankan secara tertutup. Kebiasaannya proses ini dilakukan kerana pihak kehakiman ada alasan kukuh yang menjustifikasi tindakan mereka itu sebagai perlu. Di sini, apakah dia keperluannya? Dipercayai ia semata-mata untuk memberi ruang bagi pihak media menyampaikan fakta kes kepada pemerhati pemerhati yakni rakyat itu sendiri – kerana kes ini berprofil tinggi dan melibatkan niat politik. Jadi, adakah anda masih mahu mengatakan bahawa media itu bebas dari pengaruh politik terutama kerajaan Barisan Nasional sendiri?

Timbul pula polemik seterusnya setelah melihat ada percubaan campurtangan dari entiti tertentu yang berpengkalan di Australia meminta kes ini digugurkan. Australia sekali lagi dilihat terhegeh-hegeh mahu menjadi hero seperti mana mereka begitu agresif menyokong polisi Amarika dan Britain dalam kempen kononnya mahu memerangi keganasan yang dilancarkan beberapa tahun dahulu. Persoalannya, walaupun kerajaan Malaysia cuba menunjukkan mereka boleh berdikari dalam mengurus tadbir urusan kehakiman negara sendiri; tetapi dari sudut ketenteraan mereka masih terlalu bergantung harap pada kuasa barat. Baru-baru ini ada sebuah armada tentera Amarika berlabuh di Pelabuhan Klang. Mengapa tidak di-highlight secara meluas dalam berita perdana? Di mana suara-suara yang lantang mengutuk kehadiran tentera penceroboh (istilah yang sering digunakan mereka) ketika kehadiran mereka di negara kita? Malah hanya tidak beberapa lama dahulu terdapat sebuah telah melanggar bumbung sebuah rumah (tak ingat lokasinya, Pulau Pinang kot?). Baru hanya ketika itu aku mendapat tahu bahawa ia berlaku sewaktu sesi latihan bersama Amarika dan tentera udara Malaysia. Tak pernah dengar cerita pun kat media perdana sebelum itu. Delegasi Iran pula pernah dihalau dari pertunjukan LIMA di Langkawi. Mengapa? Apakah terdapat tekanan dari kedutaan Amarika atau PBB? Tidak pun diceritakan di muka hadapan akhbar dengan font tebal dan besar. Masihkah anda tertanya-tanya mengapa wakil tetap Malaysia ke PBB dipanggil pulang apabila beliau mengundi tidak menyokong resolusi berkaitan isu nuklear Iran? Adakah ulasan lanjut dibincangkan mengenai dasar polisi antarabangsa Malaysia ini sehingga ke hari ini – atau sekurang-kurangnya untuk isu yang spesifik ini? Tidak ada bukan?

Jadi apakah peranan media yang sebenar sekiranya tidak semata-mata berunsurkan politik? Sekali lagi aku ingin membangkitkan, apakah sebenarnya yang memacu mereka untuk bersifat begitu agresif dalam politicking di media perdana ini? Jawapannya mudah, mereka sudah TERDESAK!

Najib mengambil masa 2 tahun untuk menjernihkan keadaan yang keruh di Perak. Ia melibatkan banyak belanja dan usaha. Kini mereka sedang menyasarkan untuk menumbangkan kerajaan Pulau Pinang pula atas nama ketuanan melayu walaupun jawatan ketua menteri secara logiknya tetap akan diberi pada orang cina sekiranya mereka memerintah nanti. Ini dua tugas yang mereka analisis sebagai paling mudah berbanding ikrar mereka yang mahu merampas kembali Selangor satu ketika nanti. Kedah dan Kelantan dipercayai paling sukar kerana parti mendominasi adalah PAS yang merupakan Otai besar dalam pentas politik negara. Apatah lagi mereka sedang berura-ura mengintai setiap peluang yang ada untuk berpadu dengan PAS kerana PAS memegang 23 orang ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat. Ia penting sekiranya Barisan Nasional mahu kembali mendapatkan 2/3 majoriti parlimen supaya mereka boleh mencontohi kerajaan BN Perak yang pernah meluluskan belanjawan negara dalam masa 20 minit. Jimat tenaga, jimat masa, bolehlah mereka bersukaria dengan urusan-urusan lain yang boleh membawa lebih keuntungan kepada mereka.

Dan lagi, mereka juga perlu melakukan perkara ini sebelum PRU-13. Mereka harus menutup segenap peluang bagi Pakatan Rakyat menunjukkan hasil kerja mereka yang baik itu. Ini adalah resepi mereka selama ini. 50 tahun memerintah negara, mereka ada senarai penuh jasa dan bakti yang telah mereka taburkan pada rakyat yang boleh dijadikan modal berkempen pada pusingan pilihanraya yang seterusnya nanti. Sementara senarai yang ada pada Pakatan Rakyat hanyalah sekelumit cuma. Mereka perlu memastikan kelebihan ini terus memihak pada mereka.

Sekarang aku nak tanya, siapakah yang berbohong ketika ini. Kerajaan Pakatan Rakyat atau media?

Sekian. :P

3 KoMen:

Rizal said...

zulkifli nordin xnak comen ke??
pehal mamat??
aku pon x paham???

nz said...

oh, aku dah tinggalkan dunia politik...

political fails. why? bcoz people get too bz with the world.

gerakan dakwah rises up. why? bcoz people get too bz with the next world.

hehhe. ok tak my komengg~

Mak Su said...

tak ghotilah nak cakap apo...huhuhu

Post a Comment

Any Comment? Anybody?