4.2.12

SENYUM

Sang lelaki tua itu termangu di depan pintu. Menunggu maghrib barangkali. Petang hari begini lapang dada juga melihat keletah jiran tetangga, belum lagi mahu dikira suasana terbenamnya matahari.

Zainal memberhentikan motorsikalnya betul-betul di hadapan pintu rumah itu. Dilihat lelaki tua itu mengukir senyuman kecil.

Berlapang dada lelaki tua itu menerima kunjungan Zainal.

“Bang, neh ada lauk gulai lemak ikan masin sikit. Si Zeti tu masak lebih.”

“Lahhh, susah-susahkan je. Ehh, anak-anak kau mana? Selalu time macam neh ligat aku menengok diorang main basikal kat depan neh haa.”

“Kat kampung bang. Cuti sekolah kan. Lagipun diorang pun jarang bersama dengan sepupu sepapat diorang. Masa muda neh laa nak kenal rapat. Besok bila masing-masing dah besar, sibuk dengan kerja, dah susah nak kenal tang mana waris, tang mana sedara.” Zainal menepuk bahu lelaki itu sambil menghulurkan bungkusan kecil.

“Ohh, patut laa masak ada lebih.”

“Sengaja saya suruh Zeti masakkan lebih. Lagipun hari neh cuti. Rumah pun aman, tenang je takde budak-budak. Banyaklah sikit masa terluang.” Zainal tidak pernah kedekut menguntum senyuman juga tiapkali dia dapat berbual bersama lelaki ini.

“Terima kasih banyaklah Nal. Nanti malam sikit aku hantar balik bekas neh. Bekas kosong laa. Kalau kau nak mengharapkan ada balas, nanti aku masakkan Maggi.” Seloroh lelaki itu membuatkan Zainal tergelak besar.

“Ehh bang. Tak sunyi ke sensorang macam neh bang? Saya perasan rambut abang pun dah start beruban tuh. Bila lagi nak mula duduk berdua kat rumah neh bang?”

Lelaki itu tersenyum kecil. Sememangnya beliau jarang bergelak sakan walaupun tak lekang dari gurauan.

“Rezeki manusia, kita tak boleh hitung Nal. Kot aku dah memang hidup macam neh, aku redha.”

“Alah bang, takkanlah takde yang abang hendak kot, bang?”

“Hendak tu mudah. Jatuh cinta pun mudah Nal. Kau tu dulu masa muda, berapa orang perempuan yang kau pernah bawak keluar, kan?”

“Itu soal lain bang. Saya dengan Zeti pun 4 tahun berkawan baru kami jadi kahwin.”

“Soalnya sekarang, Zeti pun berkehendakkan engkau. Aku neh, apa laa yang ada. Harta pun sekangkang kera, rupa pun dimamah usia.”

“Dah tak mencarik.” Zainal mencebikkan bibir. Hujahan yang kerap kali kedengaran di halwa telinga lelaki itu menyebabkan lelaki itu mula menyilangkan kain pelikatnya.

“Apalah ada pada pencarian jika matlamatnya engkau sendiri tak termampu layan.” Kotak rokok yang memang sudah lama tersedia di hujung kaki dicapainya.

“Bukannya apa. Abang neh, kerja ada, rumah ada, kereta ada. Tengok laa Ijah adik saya tu sekarang. Laki dia penganggur, penagih, sekarang duduk dalam lokap pun dia masih lagi setia nak menanti. Takkan lah takde yang sudi dengan abang jikalau abang masih setia mencari.”

“Itu namanya cinta nafsu. Cinta berdasarkan rasa semata. Berdasarkan harapan dan impian. Mujurlah diorang belum ada anak lagi. Aku nak tanya kau Nal, kau kalau tengok anak-anak kau tak makan, apa perasaan kau agak-agak?”

“Ish abang neh. Ke situ pulak. Rezeki saya neh walaupun tak mewah, asal mana yang ada insya-Allah akan saya berikan semua kat anak bini.”

“Bila kita cintakan perempuan atau pasangan, ia lebih dari sekadar rasa. Ia satu perasaan mahu membahagiakan. Dan walaupun setiap orang ada kefahaman tersendiri tentang erti bahagia, namun usaha nak mencapai kebahagiaan itu tidak mudah.”

“Tidak mudah, bererti, mahu mengalah?” sindir Zainal.

“Ada orang dilahirkan memang sedia cacat Nal. Ada yang lahir tanpa kaki atau tangan. Ada yang lahir tanpa pendengaran, bisu pula tu. Itu tidak bermakna seseorang itu tidak layak untuk hidup. Memang ada kekangan dalam kehidupan, tapi kita disuruh mengharunginya, bukan mempersoalkannya.” Berubah wajah Zainal, memaparkan mimik-mimik kehairanan.

“Jadi, maksud abang?”

“Aku mencuba mana yang aku termampu. Kalau ini takdir-Nya, maka inilah takdirku. Bukan hak aku untuk mempersoalkan mengapa aku begini.” Senyum itu kembali menghiasi wajah lelaki tersebut.

Zainal sedikit bingung. Beliau tahu lelaki itu cuma mahu menyedapkan hati semua orang. Beliau perasan ada nada kesal di setiap bait-bait pembicaraannya.

“Mungkin salah aku jugak sebab aku terlalu romantik masa muda dulu. Inilah padahnya bila selalu tengok cerita Hindustan dari kecil.” Kali ini lelaki itu pula yang menepuk-nepuk bahu Zainal. Zainal tersenyum lagi.

“Itu dah kira main wayang sangat bang. Penuh dengan drama.”

“Sejak bila hidup kita tiada drama, Nal?”

Zainal bangkit dari duduknya. Kedengaran suara Zeti memanggil dari rumah sebelah.

“Haa, tu si Zeti bising laa tu paip air bocor lagi. Saya balik dulu bang. Nak tengok apa kebendanya yang dia dok terjerit-jerit tu.”

“Haa, ye lah.”

Lelaki tua itu sambung termangu.

Post a Comment

Any Comment? Anybody?