23.1.09

PENGURUS ATAU JURULATIH?

Untuk menjadi seorang pengurus atau jurulatih sebuah pasukan bolasepak, aku tidak memiliki ciri utama yang diperlukan; iaitu kemampuan ataupun ilmu bermain bola. Ya, aku kaki bangku. Seorang kaki bangku yang juga mungkin tangan bangku kerana tidak boleh perform sebagai goalkeeper sekalipun.


Atas sebab itulah apabila aku bermain game FIFA Manager, adalah tidak masuk akal sekiranya aku diberi tanggungjawab menguruskan sesi latihan untuk sesebuah pasukan. Maka aku lantik dua pembantu pengurus yang berpengalaman untuk mencorak bentuk latihan berkumpulan serta latihan intensif yang memberi tumpuan dari sudut taktikal.

Jadi apa fungsinya aku dalam arena pengurusan bolasepak? Jangan lupa bahawa aku masih merupakan ketua pengurus. Segala soal belanjawan termasuk perpindahan pemain masih tertakluk di bawah kuasa aku. Sekiranya jurulatih pasukan memilih individu tertentu sebagai calon favourite untuk diserap dalam pasukan, tugas aku pula adalah memilih pemain yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan. Selaku pengarah teknikal juga, aku bertanggungjawab untuk merancang kem latihan dan mengatur perlawanan persahabatan yang boleh memberi pulangan dari segi wang mahupun perkembangan setiap pemain. Aku juga akan membuat assestment sekurang-kurangnya setahun ke hadapan demi memastikan objektif pasukan pada musim akan datang kelihatan realistik untuk dicapai.

Demi prestij, sememangnya tugas aku agak banyak dan besar, dan aku sentiasa memberi komitmen terbaik agar level aku dapat meningkat sekaligus menerima kenaikan gaji yang mendadak selepas pembaharuan kontrak aku nanti. Namun yang pastinya, segala-galanya tetap jua terletak pada rejim latihan yang akan menentukan kekuatan sebenar pasukan secara hakiki.


Di Eropah, sistem yang aku amalkan ini adalah agak janggal kerana kebiasaannya seorang pengurus akan menjadi ketua jurulatih. Seorang jurulatih yang baik (tahu ilmu bermain bola dan selok belok pengurusan sesi latihan) adalah orang yang lebih tahu bagaimana untuk menguruskan pasukan samada sekiranya memerlukan pertambahan skuad atau menyusun formasi terbaik. Mungkin mereka tidak memiliki kepakaran pengurusan kewangan yang diperlukan lantas bertindak melantik ketua eksekutif untuk membuat keputusan yang bijak supaya pasukan tidak bangkrap di kemudian hari. Namun yang pastinya pengurus tetap adalah ketua bagi setiap pekerja melihatkan ramai pengurus yang overruled keputusan pakar kewangan ini. Akhirnya mereka menemui jalan buntu apabila hutang menimbun.


Di Malaysia, berbeza pula caranya. Tugas kejurulatihan dan pengurusan merupakan dua jawatan yang berbeza. Ini mungkin kerana pasukan-pasukan besar di Malaysia didalangi oleh persatuan negeri yang menerima imbuhan modal dari kerajaan pemerintah. Pasukan kebangsaan sendiri pun dinaungi Sultan Pahang menunjukkan golongan Diraja ini amat berkepentingan dalam sistem urus tadbir pasukan-pasukan bolasepak kita. Maka atas dasar ini, perlunya ada seorang pengurus pasukan yang memiliki ilmu ‘public relation’ atau ‘kabel yang kuat’ bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.


Dalam soal ini, aku nak menyentuh tentang corak pentadbiran pasukan bolasepak negara serta persatuan-persatuan yang menyertai liga yang dipertandingkan. Azman Adnan (bekas pemain kebangsaan) pernah muncul dalam sebuah rancangan televisyen menyarankan dua usul untuk dikaji yang bagi aku adalah amat masuk akal sekali.


Pertama, mereka janganlah pandang ke belakang. Yakni tidak usah kembali ke dasar lama biarpun ia pernah membuahkan hasil ketika itu. Kerana zaman kini sudah berubah. Dan sememangnya kalau mahu maju, kita kena terus kehadapan. Sebagai contoh, tindakan FAM mengharamkan pemain import untuk musim ini kelihatan merugikan dan sedikit dungu kerana kita seolah-olah kebuntuan idea, lalu mengambil jalan mudah melarikan diri dari masalah berbanding dengan cuba menyelesaikannya dengan resepi dan gaya tersendiri.

Kedua pula, soal kebajikan pemain perlu diberi perhatian, Tidaklah bermakna perlu diadakan skim KWSP dan sebagainya. Yang menjadi perhatian adalah soal gaji. Kerana gaji pemain bola ini cuma boleh diraih dalam sekitar 10-15 tahun kerjaya mereka. Kerana itulah pemain-pemain profesional dunia memiliki nilai gaji yang kedengaran tak masuk akal sedangkan gaji yang mereka terima itu sebenarnya berpatutan dengan komitmen, mutu permainan serta hanya untuk tempoh yang agak singkat berbanding dengan kerjaya lain dalam dunia.

Rumusan yang boleh aku buat adalah; pandangan sesetengah pihak supaya FAM menurunkan tahap liga kepada Semi-Pro atau Amatur adalah tidak masuk akal sekiranya kita mahukan komitmen yang lebih tinggi dari pemain. Jangan jadikan isu pemain Malaysia tidak berkualiti dari segi fizikal. Pemain kita mampu menjalani latihan seperti di Eropah, cuma kita perlukan sistem pengurusan dan kejurulatihan yang baik andaikata kita mahu membina skuad yang mantap. Sekurang-kurangnya untuk melepasi kelayakan Piala Dunia dalam masa 10 tahun akan datang.


Soal pemain import pula, musim lepas memperlihatkan respon positif dari peminat yang kembali memeriahkan stadium untuk menyaksikan penyerang-penyerang handalan beraksi, membawa kepada pertambahan keuntungan hasil tiket. Selain faktor perkembangan ekonomi pasukan, ahli pasukan tempatan yang lain pula berpeluang belajar dan menimba pengalaman dari corak permainan mereka ini. Soal pemain tempatan dipinggirkan sepatutnya tidak timbul kerana kita ada sistem kuota yang ketat, bukan seperti England. Malah kuota kita lebih sempit dari yang ditetapkan di Liga Sepanyol.

Memandangkan isu pembayaran gaji yang menjadi punca utama, masalah ini telah aku amati ketika sedang bermain FIFA Manager. Pihak pengurus sepatutnya terpaksa akur dengan belanjawan yang telah dibentangkan pengurusan tertinggi yang diputuskan melalui status kewangan dalam bank. Walaupun belanjawan ini agak fleksibel, tetapi persatuan tetap ada hak untuk mengekang pengurus dari membuat sebarang perbelanjaan berisiko tinggi.

Maka FAM sepatutnya menumpukan ke arah perlaksanaan sistem ini. Biarpun mungkin sedikit sukar untuk mencampuri atau menegur urusan persatuan-persatuan negeri, namun atas nama perkembangan bolasepak negara, perkara ini perlu dilaksanakan. Ini kerana asimilasi kedua pihak ini sangat penting. Sekiranya pemain pasukan negeri tidak berkualiti, bagaimana FAM nak menjalankan tugas memperkasakan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa?

Aku, memang kaki bangku. Tapi kalo setakat Khairy Jamaludin tu, celah gigi aku. Heheh!




~Kerek Sehh!~

0 KoMen:

Post a Comment

Any Comment? Anybody?