4.1.10

SAYA SEORANG POSITIF

Tidak, aku bukanlah artis yang positif ketika parti Krismas minggu lepas. Bukan juga HIV positif. Apatah lagi positif ujian kehamilan (gilo ko apo?)

Sebenarnya sempena ketibaan tahun baru, aku nak melancarkan kempen baru. Kempen Ascorp 2010 – Saya Seorang Positif, Saya Menyokong ‘Pergerakan Anti-Provokasi Ascorp’ (PAPA).



Dalam kempen ini, aku ingin mengajak kalian untuk mengatakan TIDAK kepada pergaduhan. Tidak kira laa dalam alam maya atau realiti. Kempen yang dipacu atas kesedaran bahawa ‘sabar itu adalah sebahagian dari iman’, direka-cipta setelah melihat manusia begitu mudah mahu bercakaran atas sebab yang kurang relevan. Dari cerita politik, kemanusiaan sejagat, pendekatan dakwah, malah kisah gossip artis pun boleh mengundang peperangan di antara sesama manusia.

Dari peperangan mulut, kepada peperangan hati. Akhirnya peperangan jasmani, melibatkan jiwa insani.

Aku memang suka berdebat. Secara asasnya, aku tidak akan bersetuju dengan sesuatu isu seandainya si pembuka topik mengeluarkan hujah yang kurang bernas. Okeh, mungkin aku keterlaluan dalam menggunakan istilah ‘bernas’. Maksud aku di sini, aku suka mencabar orang untuk cuba membuatkan aku berkata “oh, pandanganmu itu ada berasas…”

Kerana apabila orang mati kutu dalam cuba merubah pandangan aku, secara mudahnya mereka akan mula melancarkan provokasi; seumpamanya satu mesej untuk mengajak aku berperang. Jadi aku percaya, peperangan yang wujud dalam dunia ini semuanya adalah bermula dari kata-kata.

Untuk menjayakan kempen ini, cukuplah jika anda memahami frasa “TIDAK, SAYA TIDAK AKAN SESEKALI BERGADUH DENGAN KAMU WALAUPUN ITU YANG KAMU MAHU.”

Sebagai contoh, sekiranya ada penggeseran pendapat di antara anda dan satu entiti lain, anda secara keras mahu mempertahankan pendirian atau pandangan anda. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan soal akidah atau syarak. Jika aku, sememangnya sampai mati pun aku tak akan mengalah selagi pihak penentang tidak memberi hujah yang masuk akal mengikut firasat aku. Maka, apabila kedua-dua pihak tidak mahu mengalah, kebiasaannya perdebatan ini akan berubah menjadi provokasi. Antara contoh provokasi yang popular yang boleh aku beri adalah seperti:

“Ko neh perangai macam anak haram!”
“Ko siapa nak bagitau aku itu ini? Ko ingat ko tu bagus sangat ke?”
“Ko memang patut mati je cecepat. Ko ada kat sini pun buat sakit mata aku je.”
“Aku doakan Allah turunkan bala ke atas engko.”
“Aku sumpah keturunan ko semuanya jadi babi macam engko.”
“Kubur lain-lain, ko nak sebok pasal hal aku buat apa?”

Ada banyak lagi contoh lain, tapi kebiasaannya ia melibatkan perkataan yang lebih dahsyat laa. Memandangkan aku kini seorang yang positif, maka agak mustahil aku nak terpikirkan perkataan-perkataan yang sebegitu untuk dicoretkan di sini. Keh keh, ayat pembohong.

Kenapa orang sebegini wujud? Soalan itu aku tak dapat nak jawab. Kekurangan kasih sayang? Sukar nak menerima hakikat bahawa dia tidak lagi boleh menjawab dengan nada sopan seperti “bukan, bukan begitu yang saya nak terangkan tetapi adalah begini…” ataupun dia sekadar terasa seperti disindir atau diperbodoh-bodohkan maka dia memilih jalan melepaskan geram sebagai cara terbaik yang boleh difikirkannya.

Itu aku tak heran. Yang aku ingin fokuskan adalah golongan anda – golongan yang sedang diajak berkonfrontasi dalam bentuk provokasi ini.

Pertama, perlukah anda menjawab soalan-soalan seperti di atas? Kita ambil contoh ayat pertama tadi – “Ko neh perangai macam anak haram!” Adakah anda perlu berasa marah, kecil hati dan sebagainya? Anda terasa seolah-olah si dia sedang menghina mak ayah anda? Hakikat yang perlu anda ketahui adalah sekiranya anda benar-benar anak haram sekalipun, dosa itu bukan anda yang tanggung. Yang salah adalah ibubapa. Tiada kaitan dengan anda bermakna anda tak perlu mencari gaduh dengan dia.

Ayat kedua – “Ko siapa nak bagitau aku itu ini? Ko ingat ko tu bagus sangat ke?” Adakah anda fikir anda bagus? Kalau betul, maka ia tanggungjawab anda untuk memberitahu dia apa yang tak bagus tentang dirinya. Kalau anda memang tak bagus pula, adakah ia mempengaruhi apa yang anda perkatakan tadi? Sebagai contoh, jika anda mengatakan solat lima waktu itu wajib, tetapi anda tidak melakukannya; adakah apa yang anda cakap itu sudah lari dari konteks yang ingin anda sampaikan? Jadi, tak kira samada anda bagus atau tidak, soalan yang muncul dari petikan di atas tidak boleh dikategorikan sebagai hinaan atau tohmahan. Sekali lagi, anda masih takde point untuk bergaduh.

Selain itu berkenaan hal sumpah-menyumpah atau doa kecelakaan dari dia kepada anda, perlukah anda khuatir akannya dan mahu dia menarik balik kata-katanya itu? Adakah dia memliki kuasa untuk menimpakan anda dengan musibah – melebihi kuasa Allah sendiri? Seandainya anda benar-benar ditimpa musibah pula, tidakkah bermakna bahawa Allah sedang memberi anda mesej mungkin ada yang tidak betul pada hujah anda tadi? Maka, perlukah anda bergaduh dengan si dia yang sekadar mengucapkan kata-kata celaka itu, atau anda sendiri yang perlu bermuhasabah diri?

Pusing punya pusing punya pusing, tema kempen ini sebenarnya mudah sahaja di sebalik soalan-soalan radikal yang aku kemukakan di atas. Tentukan keutamaan anda, keperluan anda. Adakah anda berpegang pada satu-satu pendirian demi mencari musuh ataupun sebenarnya ingin berkongsi pandangan supaya dapat mengajak orang lain ke jalan kebenaran (mengikut persepsi yang anda fahami)?

Sudah terlalu ramai manusia yang berperang di atas dunia atas perdebatan asal yang sebenarnya masuk akal, tetapi di pengakhirannya ramai yang sudah terlupa akan persoalan sebenar yang menjadi topik perdebatan.

Hingga akhirnya nafsu menguasai diri, sifat angkuh dan bongkak tersemat dalam hati, sedangkan persoalan yang ingin dicari cuma tinggal retorik sahaja.



KATAKAN TIDAK KEPADA PROVOKASI!

- ahli PAPA SELAMBA YAYA.

0 KoMen:

Post a Comment

Any Comment? Anybody?