Pagi itu aku perhati mak aku buat kuih siput. Mak aku memang terer buat kuih. Terer dalam definisi yakni memang berbakat besar. Bila aku cakap terer aku maksudkan yang dia bukan sahaja tahu resepi lengkap untuk menghasilkan kuih, tapi dia jugak memiliki tangan dan naluri sejati selaku pembuat kuih tradisional. Bila tangan dia membuat kerja, boleh lihat betapa selesanya dia menguli tepung, atau membentuk kuih-kuih mengikut spesifikasi yang diperlukan. Dia tak perlukan cawan atau sudu untuk buat sukatan. Dia cuma perlukan benda-benda basic seperti besen dan dulang serta kederat tangan beliau.
Bila aku cakap macam ni, aku tau di mana batas kemampuan mak aku sebab aku sendiri pernah cuba try dan gagal mengikut rentak beliau. Adakah kerana aku seorang lelaki dan memang jenis yang tak suka memasak resepi berat-berat? Kakak aku suka memasak (atau dipaksa belajar memasak oleh laki dia lepas kawen beberapa tahun lepas). Aku pernah tengok kakak aku belajar buat karipap dengan mak aku. Tapi kelihatannya dia juga tetap kekok bila menguli tepung atau membentuk kuih, tak macam mak aku. Does practice makes perfect? Mungkin. Tapi seronok jugak bila dapatkan gelakkan kakak sendiri terkial-kial nak follow instruction dari mak aku. Keh keh.
Mulanya aku ingatkan mak aku memang telah dilatih oleh nenek aku sejak kecil. Sebab itu beliau begitu expert membuat kuih biarpun kadang-kadang dah bertahun dia tak buat resepi tu. Bagi mak aku, mungkin macam bawak basikal. Once you’ve learned about it, you never forget. Ironinya mak aku memang tak pernah reti atau belajar bawak basikal pun. Haha. Sebab tu kalau aku bawak mak aku naik motor, bila amek lap mesti rasa tak balance sebab mak aku tak reti tunggang kenderaan 2 tayar.
Hakikatnya memang mak aku banyak belajar memasak dari arwah nenek aku. Selepas terkena penyakit aneh yang membuatkan mak aku hilang ingatan masa dia darjah enam, dia berhenti sekolah dan kerjanya cumalah mengikut dan memerhati nenek aku buat kerja rumah. Dan mereka berdua memang ada banyak masa terluang untuk dihabiskan bersama sebab arwah atuk aku ada empat bini dan jarang bersama mereka (sebab nenek aku bini paling bongsu dan paling kurang diberi perhatian). Ye, poligami hari ini memang berbeza dengan poligami zaman dahulu.
Bayangkan bila 24 jam anda dilatih membuat kerja rumah, memasak dan sebagainya, pasti anda akan terer seterer-terernya. Aku ni pun kalau 24 jam berlatih kungfu, pasti aku boleh mengkarate tengkuk orang sehingga patah 8 bahagian. Aku pasti.
Tapi rupanya mak aku cuma belajar satu dua resepi je kuih raya dari nenek aku. Sebab nenek aku punya kepakaran adalah memasak gulai dan sambal tumis. Kerana itu 2 juadah tersebut sudah menjadi juadah rutin family kitorang. Kepakaran aku pulak hanyalah memasak telur goreng dan masak air. Korang leh bayangkan sendiri je laa macam mana rutin masakan keluarga aku sendiri nanti kalau dapat bini yang tak reti masak, kan? Keh keh.
Ketika era tahun 80-an dan 90-an, bapak aku sangat aktif dalam Rukun Tetangga di tempat kami tinggal waktu itu iaitu di Kampung Kastam, Brickfields. Oleh itu mak aku sering menjadi mangsa apabila bapak aku pandai-pandai daftarkan nama dia dalam persatuan kaum-kaum ibu yang belajar memasak dengan chef jemputan. Kat situ laa mak aku banyak belajar resepi baru. Malah mak aku pernah disuruh jadi tenaga pengajar menggantikan chef yang tak dapat datang satu ketika. Menggelabah orang tua tu sekejap (masa tu dia masih boleh dikategorikan orang muda). Apa pun itu menunjukkan that she really knows what she’s doing.
Sambil tergelak berguling dan mengutuk kakak sendiri dalam skala galak tak hengat, aku sebenarnya jeles dengan mereka anak beranak. Mak aku ada 4 orang anak pompuan, dan aku sorang anak lelaki. Dan mak aku terer buat baju kurung, diperturunkan ilmu itu pada anak-anak perempuannya. Aku cuma ada satu permintaan je buat mak aku masa time raya ketika aku kecik-kecik dulu. “Mak, tahun neh Atan nak beraya pakai baju melayu yang mak buatkan laa.” Dan jawapan yang diterima sangat laa mendukacitakan: “Mak tak reti buat baju orang laki.” Cis.
Di ketika aku tak dapat nak berpesta raya seperti tahun ini akibat segala jenis masalah yang kunjung tiba tak henti-henti (atau masalah yang aku sendiri carik), aku mula terasa alangkah bestnya kalau aku ada mak yang boleh buat baju baru untuk aku tahun ni. Sekurang-kurangnya terubat gak laa hati aku, tak payah sampai terasa nak mogok tanak sambut Aidilfitri pulak macam yang aku rasa sekarang neh. Tapi tu laa, bak kata orang, biar datang seribu malaikat membantu kita pun, tiada galang gantinya dengan mak kita sorang yang membesarkan kita semenjak kita bersaiz kotak kasut lagi.
Tapi, pagi itu, bila melihat betapa termengah-mengahnya mak aku menguli tepung seorang diri untuk membuat kuih siput, beserta sempat termenung sekejap-sekejap menonton TV, aku tau yang mak aku dah cukup tua. Dan aku tau yang dia tau yang kederat dia dah habis. Dan dia tau yang aku tau aku cukup kecewa bila kedua-dua tangan aku tak boleh berfungsi untuk membantu di saat ini. Dan aku tau betapa aku sudah ada planning untuk tambah menyusahkan lagi orang tua tu buat beberapa bulan mendatang. Dan dia tau betapa aku teringin sangat nak jadi anak laki yang normal yang boleh membantu, menjaga dan memberi seberapa banyak harta kepada seorang ibu selayaknya bagi mereka-mereka yang seusia dengan aku.
Tak perlukan alasan, suara atau kata-kata. Kami memang tau yang AKU dilahirkan di dunia hanya untuk menyusahkan hidup orang lain. . .
. . .
. . .
. . .
Selamat hari raya Aidilfitri untuk semua.
Lebih 30% Rakyat Malaysia Akui Lebih Sukar Nak Cari Pekerjaan Berbanding
Cari Pasangan Hidup
-
Melalui laporan Rnggt, sebanyak 34% rakyat Malaysia yang membuat tinjauan
pasaran pekerjaan bersama Jobstreet by SEEK mengakui kini lebih susah mahu
menc...
2 hours ago
3 KoMen:
kuih sipot?
hahha u made me laugh di awal pagi yara ke-2.
but why did u say "aku teringin sangat nak jadi anak laki yang normal yang boleh membantu"?
tangan sakit ke?
bukan tangan laa inas. jari aku neh haa dah jadi separuh cacat. adeh. tapi still gigih lagi nak menaip entri tu. wakakakaka...
errrrrr
Post a Comment