8.8.08

MERDEKA Siri 1: Road To Permatang Putrajaya… Oopsss…




Bila Sang Pujangga bermadah kata :



16 September. Tarikh pembentukan Negara Malaysia. Di mana negara kita yang kita cintai (apatah lagi dengan semangat nak menyambut kemerdekaan bulan ini) terhasil dari gagasan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama pemerintah Singapura, Sabah dan Sarawak.



Hari ini Singapura tidak lagi bersama kita. Namun kita tetap berbangga kerana kita lahir sebagai anak Malaysia. Warganegara Malaysia.


Tarikh ini telah beberapa kali disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramah politik yang telah beliau hadiri/anjurkan di serata pelusuk negara. Aku berkesempatan untuk pertama kali menghadiri ceramah beliau di Keramat AU2 pada pertengahan tahun ini.



Bertemankan seorang hardcore fan beliau yang pernah turut sama menyertai demonstrasi jalanan ketika zaman penuntutan Reformasi kira-kira 10 tahun yang lepas, aku turut menyedari sajian yang bakal dihidangkan kepada tatapan minda aku ketika berkunjung ke lokasi itu setelah bapak aku sendiri memperjelaskan kat aku siapa dia Anwar bagi kacamata seseorang yang pertama kali mendengar ceramah beliau.


Anwar memang pemidato yang hebat. Ucapan dia boleh buat bulu roma meremang masa abah tengok ceramah dia kat Kg. Kerinchi dulu,” Ya, aku memang jahil sikit bab politik sewaktu muda kerana aku tidak benar-benar memahami signifikasi perjuangan parti-parti politik menuntut kemerdekaan setengah dekad yang lepas yang telah banyak mendebatkan, merasionalkan serta mempertahankan hak-hak kewarganegaraan yang sedang kita nikmati hari ini.



Aku cuma disogok dengan cerita-cerita dari buku teks sejarah memperkenalkan nama tokoh-tokoh penting seperti Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain. Aku tidak tahu kisah perjalanan hidup mereka sepanjang berkecimpung dalam bidang politik. Sehingga awal minggu lepas sahaja baru aku mengetahui tentang perihal Dato' Onn Jaafar yang merupakan bapa kepada Tun Hussein Onn serta datuk kepada Datuk Seri Hishammudin. Agak kelakar kerana terlalu lewat aku menyedari perkara ini berikutan soalan yang pernah aku kemukakan pada seorang member aku lebih 5 tahun lepas;


Linda Onn ni adik Jaafar Onn ke?”


Pale hotak ko! Ko ingat dorang je ke yang pakai nama Onn? Abis Tun Hussein Onn tu sape? Bapak dorang?” jawab member aku itu dengan nada kurang ajar.


Maka di sebalik persamaan nama Datuk Onn Jaafar dan Tun Hussein Onn, aku tak pernah nak memandai-mandai nak ambik tahu samada dorang tu anak beranak ke atau tidak.


Amat jahil bukan?



Lagipun aku hidup di zaman ‘Mahathir-Anwar’ yang pada ketika itu disifatkan sebagai gandingan mantap sekaligus berjaya mencetus revolusi pemodenan ekonomi Malaysia serta pemangkin kelahiran visi Wawasan 2020. Ketika ini aku tidak lihat sejarah perjuangan kemerdekaan sebagai sesuatu yang relevan lagi kerana kita sedang melangkah to the next step.



Muncul tahun 1997 ketika aku dipersiapkan oleh guru-guru sekolah untuk menghadapi UPSR, cerita-ceriti tentang kejatuhan nilai Ringgit, penggabungan bank-bank komersial tempatan, serta nama Penyangak Matawang George Soros menghiasi muka hadapan suratkhabar dan meniti di bibir-bibir pembaca berita Buletin Utama.


Apa yang disifatkan sebagai kemelesetan ekonomi yang bahangnya terasa dek punca pra-zaman globalisasi tanpa disangka-sangka menjadi titik tolak yang penting untuk aku menilai semula kestabilan politik negara yang selama ini aku anggap berada dalam landasan terbaik menuju tahun 2020.



Di tahun inilah menyaksikan satu peristiwa besar dalam negara yang sempat aku saksikan secara langsung di kaca tv di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja beberapa bulan (atau tahun) lepas pernah aku saksikan dalam mesyuarat agung UMNO, memuji-muji dan berikrar setia terhadap kepimpinan Tun Mahathir; akhirnya dipecat dari jawatan dan ditahan atas tuduhan liwat.


Memiliki reputasi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang sangat popular ketika itu selaku orang kanan Tun Mahathir, tidak dapat dinafikan berita ini mendapat reaksi negatif dari kebanyakan pihak. Apatah lagi penyokong-penyokong kuat Datuk Seri Anwar yang cuma membilang hari untuk Tun Mahathir membuat peralihan kuasa setelah sekian lama bertapak di tampuk pemerintahan tertinggi negara.


Di sinilah permulaan kubu kuat UMNO; kawasan parlimen Permatang Pauh menjadi pertaruhan paling mahal yang pernah UMNO hilang. Aku selaku pro-Mahathir (bukan Mahatirisme ekk!) memandang dari sudut positif untuk kekal berpihak pada kepimpinan Tun kerana misi untuk melihat negara bersiap sedia di atas landasan menuju ke era ‘Negara Maju Tahun 2020’ adalah sangat relevan dan praktikal selagi Tun Mahathir terus diberi peluang untuk menjalankan kerja-kerjanya.


Cerita selanjutnya ramai yang tahu. Anwar merengkok dalam tahanan ISA, demonstrasi jalanan melaungkan Reformasi besar-besaran diadakan, kemunculan Parti Keadilan Nasional, Mahathir memperkenalkan Koridor Raya Multimedia, pembukaan Putrajaya, mengumumkan pula persaraan secara langsung di kaca tv, peralihan kuasa kepada Pak Lah, Anwar dibebaskan, selanjutnya tentang UMNO hilang lagi 4 negeri setelah gagal dalam cubaan menawan kembali Kelantan pada PRU-12 pada bulan Mac yang lepas.


Sedar tak sedar, dah 10 tahun yang berlalu. Begitu banyak perbezaannya pada hari ini. Tun Mahathir sendiri bukan lagi ahli UMNO. Pakatan yang wujud dari sebelah parti pembangkang tidak pernah dijangka begitu utuh mengasak parti kerajaan memerintah. Dan antara yang paling penting, kerusi parlimen Permatang Pauh yang kini tidak lagi bertuan.



Datuk Seri Anwar pernah mewakili kawasan parlimen ini selama 16 tahun lamanya. Datin Seri Dr. Wan Azizah pula mengambil alih tempatnya atas tiket parti pembangkang PKN selama hampir 10 tahun.


Jelas, Permatang Pauh sebenarnya bukan bekas kubu kuat UMNO, tetapi kubu kuat Datuk Seri Anwar yang diwarisinya turun temurun.


16 September, tarikh yang pertama kali aku dengar disebut Anwar ketika di Keramat.


Insya-Allah, kita akan melangkah ke Putrajaya tidak berapa lama lagi dari sekarang. Diharap kesabaran dan doa saudara kalian akan mengiringi kita…” antara petikan yang aku pun ingat tak ingat je sebenarnya.


Putrajaya? Tentulah aku terkejut pada ketika itu kerana aku hadir ke ceramah berikutan tertarik dengan janji Anwar ‘hari ini kita jadi kerajaan, esok saya turun harga minyak’. Memang intipati awal yang aku mahukan atau jangkakan adalah kesediaan ahli-ahli Pakatan Rakyat ini untuk mencari jalan membantu rakyat yang ketika itu baru saja menerima tempias bala kenaikan harga minyak di seluruh negara sebanyak 46 peratus.


Rata-rata ramai yang tahu betapa aku tersentap dengan berita yang terbit dari keputusan tidak panjang akal Kabinet Menteri Pak Lah. Di hati aku melihat harapan yang ada kini terarah ke pucuk pimpinan negara yang baru yang boleh dimanfaatkan rakyat. Tidak seperti Tun Mahathir; pada anggapan aku Pak Lah lebih suka mencampak masalah dan bebanan kepada rakyat berbanding Tun yang mencampak masalah beliau ke dalam lokap ISA.


Tapi, rancangan Anwar untuk terus bertapak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya? Bagaikan tidak masuk akal bagi aku. Melalui cara apa? Penggulingan kuasa? Belum pernah dipraktikkan di negara ini, dan selaku belia yang lahir di zaman Tun Mahathir, serta masih berpegang pada prinsip Pro-Mahathir sehingga kini, mungkin agaknya aku dah terbiasa dengan polisi keras Tun yang pastinya tidak akan membenarkan perkara sebegini berlaku tidak kira dengan menggunakan apa cara sekalipun.



Bagaimanapun, ini bukan lagi era Mahatirisme. Tun Mahathir sendiri telah dibapak-mentuakan (sinonim dengan istilah anak-tiri, cuma disesuaikan mengikut usia) oleh parti yang beliau sendiri daftarkan satu ketika dahulu. Zaman hari ini merupakan era Pak Lah yang bermodalkan insan dan mahu menanggung kerugian dengan cara kehilangan insan juga. Sedikit sebanyak khabar angin yang belum dapat aku sahihkan kebenarannya berkenaan hubungan Pak Lah dan Anwar yang dikatakan sesetangah orang sebagai sepupu itu, membuatkan kening mata kiri aku sedikit terangkat ala-ala Ziana Zain tapi belum mencecah tahap The Rock lagi.


Perkembangan positif yang kita lihat baru-baru ini berkenaan program Debat membuka mata banyak pihak betapa segala-galanya itu adalah bersifat mungkin. Hakikatnya fikiran cetek aku yang mengatakan ‘tidak mungkin’ sebenarnya datang dari kejahilan aku sendiri tidak mengkaji dan meneliti sejarah perjalanan politik negara yang banyak kali membuatkan aku menjerit “WHAT?!!” setelah mempelajari kisah-kisah yang pernah berlaku dalam arena politik semasa zaman aku belum lahir.


Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO pernah meninggalkan parti tersebut ketika sedang menghampiri matlamat menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebuah negara yang merdeka. Tun Mahathir pernah mengkritik Tunku Abdul Rahman secara terang-terangan ketika Tunku masih bergelar Perdana Menteri. UMNO pernah berpecah kepada dua puak yang melahirkan sayap baru dikenali sebagai Semangat 46 yang pernah aktif membangkang sekitar era awal 90-an dahulu. PAS pernah menyertai Barisan Nasional (yang memang aku tak pernah belajar dalam buku sejarah). UMNO yang ditubuhkan Datuk Onn Jaafar sebenarnya sudahpun diharamkan bekas Hakim Negara. UMNO yang ada pada waktu ini adalah UMNO yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir di mana Tun bersama isteri memiliki nombor keahlian 0001 dan 0002.


Semua perkara ini begitu asing buat aku melambangkan betapa jahilnya aku (dan mungkin anda) meniti era setengah dekad negara kita telah bergelar wilayah merdeka. Di bumi di mana kita menjadi warganegaranya. Di tempat kita diberi peluang mencari rezeki berjunjungkan hak perlembagaan termaktub menjaga kepentingan masa depan bangsa kita dan anak-anak kita.


Kurang dua bulan dari sekarang, parlimen Permatang Pauh mungkin menjadi lokasi penentu masa depan Malaysia. Datuk Seri Anwar dilihat sebagai relevan untuk tampil mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang bukan ahli/presiden UMNO. Yang tinggal cuma masa dan strategi beliau yang sedang disusun bagi mencapai hasrat tersebut.


Bagi anda yang merasakan mungkin anda telah jahil ilmu politik tempatan hasil sogokan media-media arus perdana yang nyata begitu berat sebelah apabila berbicara soal politik, maka pemertian anda amat perlu difokuskan pada pilihanraya kecil Permatang Pauh ini untuk melihat samada sejarah baru bakal dicipta. Wait…, ‘samada’?


Hell no! Hakikatnya tidak kira apa jua yang berlaku di sana kelak, akan turut menjadi rentetan baru dalam dokumentasi perjalanan sejarah negara kita yang kita cintai ini. Be part of national history, as a sign that shows you’re truly Malaysian!


Post a Comment

Any Comment? Anybody?