29.8.08

Siri 4 MERDEKA: Perjuangan Tak Pernah Selesai…

Bila Sang Pujangga bermadah kata :



Tanpa disangka-sangka, tetiba aku mendapat maklumbalas untuk siri ketiga MERDEKA, menyatakan isu yang aku sentuh ketika itu kurang sengat dan kurang hangat. Ada pula yang mencadangkan supaya aku bersifat lebih patriotik berbanding sekadar mencari sensasi sempena sambutan kemerdekaan negara kita yang ke-51 tahun ini.


Susah nak baca hati orang ni. Apatah lagi untuk memuaskan semua pihak. Dan ini bukanlah perkara baru yang aku pelajari, malahan ia telah menjadi satu halangan paling getir yang perlu diharungi pejuang kemerdekaan kita dahulu.


Pendapat aku: Sekiranya kita (mahu) menganggap diri kita patriotik dan mengaku sayangkan negara; maka kita perlu mengambil berat terhadap senario politik semasa. Politik di sini yang membawa maksud pembangunan urus tadbir negara melalui cara berdiplomasi berjunjungkan prinsip demokrasi; merupakan satu entiti penting yang akan mencorakkan perkembangan negara dari hari demi hari.


Dengan bermaksud mengambil berat; bukanlah bermakna menunggu maklumat itu datang kepada kita. Politik adalah sejenis cabang ilmu, dan tiada ilmu yang datang percuma (aku bukan bercakap dari sudut kewangan). Ia perlu disulami dengan usaha untuk mencari dan ditimba.


Bergantung harap pada media arus perdana yang mengaku mereka saluran yang terbaik mendapatkan berita yang telus, amanah dan benar ternyata bukan pilihan bijak. Ini kerana media arus perdana tertakluk di bawah dasar kerajaan atau lebih tepat lagi Kementerian Penerangan. Dan kementerian ini diterajui oleh ahli politik (berbibir tebal) yang mewakili sesebuah parti politik memerintah. Walaupun mulut sebegitu manis dan ‘berbuih’ mencurahkan janji untuk tidak bersifat berat sebelah dalam soal pentadbiran negara, tetapi umum kita mengetahui janji seorang ahli politik itu amat berat untuk dipegang.


Kenapa? Berbalik kepada rumusan awal aku tadi; sukar untuk kita puaskan hati semua pihak. Ahli politik perlu menjaga hati para pengundi serta pelobi-pelobinya. Kerana itulah demokrasi diatur untuk mengangkat suara majoriti. Sekiranya pendekatan ini tidak digunapakai, maka selama-lamanyalah sebarang penyelesaian takkan tercapai.


Aku tidak katakan perkara ini sesuatu yang baik, tetapi setakat ini itulah cara paling optimum yang boleh kita praktikkan di zaman ini. Seperti setiap perkara dalam dunia ini, semua benda tetap ada positif dan negatifnya. Ada pro dan kontranya. Ada ‘Yin’, dan juga ‘Yang’nya. Penggunaan sistem ‘suara majoriti memerintah seluruhnya’ yang kita amalkan hari ini sebenarnya akan menimbulkan sentimen pemberontakan pada pihak minoriti. Inilah yang kita kenali sebagai ‘golongan pembangkang dalam sidang parlimen negara.


Setelah aku jalankan kajian (tangkap muat) untuk mendengari suara dua pihak bertelagah ini, aku dapat rumuskan kita sedang di ambang golongan majoriti dan minoriti hampir seimbang dan sama lantang (50-50) sekaligus meramalkan pergolakan yang lebih sengit dalam keghairahan ahli-ahli politik kita merebut kuasa.


Berbekalkan semangat cintakan kemerdekaan yang tertanam dalam diri kita, adalah amat penting untuk kita mengambil bahagian sekurang-kurangnya sebagai pemerhati (andai kita belum layak mengundi) yang aktif dan bersifat adil. Idealisma ‘merdeka’ yang dibawa oleh pejuang kita setengah abad yang lalu menyeru kita untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara, perpaduan kaum dan institusi demokrasi negara kita tercinta ini. Maka, atas dasar itulah, 4 siri entri ini dihasilkan sehingga tibanya kita di kupasan terakhir yang berkisarkan erti kemerdekaan sebenar.


Kempen pilihanraya Permatang Pauh berbunyi ‘Merdeka Dari UMNO/BN; Merdeka Dari Kesengsaraan’. Ia turut dicanang di seluruh negara oleh negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Di pihak UMNO pula (kerajaan pusat dan pembangkang di 5 negeri), usaha ini ditempelak kerana menafikan jasa perjuangan kemerdekaan yang dirintiskan oleh pemimpin UMNO 50++ tahun yang lepas.


Sudah tentu kedua-duanya mempunyai kepentingan parti politik masing-masing. Namun bagi pihak kita (rakyat), kita harus sedar kewujudan parti-parti politik ini bukannya bertujuan untuk memberi kekuasaan pangkat dan kekayaan harta pada mereka yang terlibat, sebaliknya hak kita yang harus dibela.


Pengundi di Permatang Pauh membuktikan betapa relevannya perjuangan PKR di sebalik kempen serangan agresif hasil konspirasi-konspirasi belakang tabir oleh pihak BN. Bermula dengan kes liwat, pertikaian hak kuota bumiputera di UiTM, pertembungan ideologi dalam PR, sumpah menyumpah, isu rasuah, kesemuanya tampak ralat kerana seringkali PKR yang menjadi mangsa akhirnya. BN dihukum keras apabila bukan sahaja kalah kerusi, tetapi terdapat peningkatan pula dalam majoriti undi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Nampaknya mereka masih belum belajar tentang keperkasaan kuasa rakyat Malaysia yang masih kenal erti simpati serta mahu menegakkan keadilan hakiki; bukan dengan hanya menyokong pihak-pihak yang mampu memberikan kekayaan harta dunia semata-mata.



Semalam Datuk Seri Anwar sudah menjejakkan kaki ke dewan rakyat buat kali pertama semenjak tempoh sepuluh tahun. Memberikan tamparan hebat terhadap pengaruh monopoli BN kerana Datuk Seri pernah berjanji untuk menang dan menjadi ketua pembangkang. Kedua-dua perkara ini dicapai dalam masa 2-3 minggu. Tarikh keramat 16 September yang bakal tiba 2-3 minggu lagi pasti menjadi igauan ngeri pucuk tertinggi pemimpin negara khususnya Datuk Seri Mohd Najib yang mencanang bertilamkan kamar Kompleks Seri Perdana Precint 10 Putrajaya. Baginya tilam di Sri Satria Precint 16 sudah terlalu hapak dengan lelehan cairan Botox memenuhi bantal Datin Paduka Rosmah selaku teman tidur (andai tiada urusan di Mongolia).


Kini yang menjadi isu utama bukanlah peranan Datuk Seri Anwar selaku ketua pembangkang kerana sidang akan mula bercuti mulai esok selama satu setengah bulan walaupun pembentangan Belanjawan akan dibuat petang ini (aku taknak guna perkataan Bajet sebab ia adalah bahasa penjajah dan tidak relevan dengan semangat kemerdekaan serta perjuangan parti kerajaan). Tetapi hala tuju negara serta Barisan Nasional menghadapi 16 hari yang akan datang ini. Semalam Datuk Seri Shafie Afdal mewakili ahli-hali parlimen di Malaysia Timur telah memulakan kempen perang terhadap provokasi Anwar ini dengan mengajak pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menandatangani ‘akujanji’ untuk terus setia pada kepimpinan Pak Lah dan Najib. Dipercayai dua minggu akan datang ini, kita akan terus disajikan dengan perang saraf antara dua pihak yang masing-masing mahu menjadi parti pemerintah.


Tsunami politik dalam PRU-12 yang masih disebut-sebut sehingga ke hari ini dikatakan berpunca dari permuafakatan luarbiasa parti-parti pembangkang. Walhal ini bukanlah perkara baru. Pada PRU-11, PAS dan DAP pernah membentuk gagasan Barisan Alternatif yang ketika itu masih penuh dengan kepincangan. Hatta PKR yang terbentuk sebelum kemenangan besar PRU-12 pun sebenarnya merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia. Kini sebuah gagasan baru yang lebih dinamik dipancarkan menerusi imej Pakatan Rakyat. Nak tak nak aku terpaksa bersifat skeptikal melihat sejarah penubuhan Parti Perikatan (nama asal Barisan Nasional) berulang kembali.



Hairan? Tak pun. Kerana rata-rata pemimpin PKR merupakan bekas ahli UMNO dan BN. Merekalah yang dikatakan bertanggungjawab membawa semangat perpaduan di kalangan pemimpin tertinggi DAP dan PAS. PKR bukan bercorak ‘ke arah Negara Islam’ ataupun ‘menuju Negara Sekular’. Mereka ini masih berjuang atas prinsip sama dengan UMNO/BN, cuma direformasikan perjuangan mereka lantaran melihat ada kepincangan serta penindasan dalam wadah politik Barisan Nasional serta UMNO khususnya.


Cabaran untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang dan calon yang dicanang-canang selaku Perdana Menteri Malaysia keenam kini, adalah bagaimana untuk memuaskan hati kedua-dua pihak yang tidak selari; PAS dan DAP. Untuk membawa erti perpaduan yang telah dipacu BN selama ini ternyata tidak masuk akal kerana mereka pada dasarnya telah membantah idea ini semenjak setengah abad yang lepas. Maka PKR perlu merumus idea baru dan segar agar diterima kedua-dua parti ini sekaligus mengutamakan penjagaan hak pembelaan rakyat seiring dengan nama gagasan ini. Barulah ‘reformasi’ namanya! Apatah lagi PRU-13 masih jauh dihadapan, terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi ‘bakal pembangkang’ mereka nanti. Susah, cukup susah nak puaskan hati semua pihak.


Kesian Anwar!


Kita merdeka, bererti kita (atau orang-orang kita) layak untuk memimpin negara sendiri. Rakyat pula diberi peluang untuk memanfaatkan hasil tanah bumi kita serta menjalankan tanggungjawab selaku khalifah sebaik-baiknya. Simple bunyinya, tetapi perjuangan untuk mendapat dan mempertahankannya tetap bukan mudah, tidak kira setengah abad yang lepas mahupun setengah abad yang akan datang.


MERDEKA!!!


Oh ye. Aku turut teruja untuk ‘mengopi-pasta’ sebuah artikel yang aku terserempak ketika melawati laman web tranungkite.net sewaktu ghairah mahu melihat keputusan di Permatang Pauh pada hari Selasa yang lepas. Enjoy…




Selama sepuluh hari berturut turut akhirnya konsert "Jom Liwat" di Permatang Pauh melabuhkan tirainya hari ini. Konsert yang ‘julung julung’ kali diadakan anjuran Barisan Natang ini disiarkan secara langsung oleh media elektronik dan media cetak negara ini.

Selama sepuluh hari penonton dan pendengar didendangkan dengan lagu lagu baru dan lagu evergreen menyentuh jiwa dan raga.


Konsert dimulakan dengan diva wanita masa kini iaitu Sherry Zatt membawa lagu menaikkan semangat 'berjihad Lah' khas untuk putera dan puteri, dan disusuli dengan rapper muda berbakat besar, C.fool, artis yang sedang meyinarkan B****tnya bagi menggamatkan lagi suasana konsert tersebut yang sememangnya gamat. Beliau mendendangkan lagu nasyid kotemporari berjudul “Wata'alahi”, yang menjadi siulan dan ikutan masa kini.


Ariff Nyah artis tempatan, tidak melepaskan peluang selaku tuan rumah turut menyumbangkan 2 lagu kanak kanak 'Mari Mengaji (hingga dapat beli PhD)’ dan lagu ‘Raja Kenduri'.


Konsert diteruskan dengan penampilan Ejam, bekas vokalis kumpulan G.E.R.O.K terus menghangatkan kedinginan malam dengan lagu balada rock lama yang diberi nafas baru iaitu 'Ku Kehilangan Kotak' dan diakhiri dengan berduet bersama ahli kumpulan lama beliau iaitu N.D.Nalla menyanyikan lagu'Kenangan Terindah'.


Konsert tidak bermakna tanpa kehadiran Kera Jantan (K.J) kerana vokalnya yang "underground" itu menjadi sandaran pihak penganjur untuk menarik minat muda-mudi tempatan. Jika lagu top nya sebelum ini ‘Pade Doh’ tidak mendapat sambutan di Klate, kali ini beliau membawa satu lagu baru yang berjudul 'Aku Penggali Kubur' ditujukan khas untuk pengundi Barisan Natang. N. Ajis selaku lead vokal kali ini turut memecah rekod membuat penampilan tanpa henti sepuluh hari berturut turut, masih lagi tidak jemu-jemu mendendangkan lagu hits lamanya, 'Misteri Mimpi Altantuya' sambil berjalan jalan menemui makcik dan pakcik yang tangkap leleh dan karat biru itu.


Akhir sekali di penghujung konsert, ketua pihak penganjur iaitu P.diddyLAH (juga dikenali dengan alter-ego sebagai The Sleepers dan Raja Janji) berharap penonton akan terhibur dan berjanji lagi akan membangunkan taraf konsert di Permatang Pauh setelah konsert mega “MERAWAT KELANTAN TOUR” gagal mendapat sambutan tidak berapa lama dahulu.


Sama samalah kita saksikan dan nantikan kesudahan konsert ini.


(di-edit oleh Mr. Akeji)

Post a Comment

Any Comment? Anybody?