Sometimes, we took a thing or two in our life for granted.
Tak berapa lama dahulu, aku sangat mendambakan penghargaan. Maksud aku, aku tahu aku tak menyumbang apa-apa. Namun sekelumit cuma perhatian pastinya akan membuat aku kembang semangkuk di bahagian lubang hidung dan ‘pungkoq’.
Dipendekkan cerita, aku pernah dihadiahkan sehelai tuala. Bukan tuala lelaki, mahupun tuala wanita (opss). Hanya tuala biasa, bersaiz sedang-sedang sahaja.
Aku hidup berprinsipkan praktikaliti – walaupun berbunyi poyo nak mampus – tapi kebiasaannya benda yang aku sayang, akan aku gunakan dan tuai zat serta faedahnya sehingga ke tahap maksimum. Mungkin kerana itulah skrin laptop aku cuma mampu bertahan selama setahun aje. Keh keh.
Tuala ini, jika dilihat pada mata kasar, tiada sesiapa yang akan menganggap ia istimewa. Namun setiap kali aku memerah keringatnya untuk bertugas mengelap apa-apa yang patut (sila jangan pikir yang bukan-bukan) pasti aku akan tersenyum sambil melihat parap yang dicetak di kaki tuala tersebut. Biasanya aku gunakan untuk mengelap benda-benda yang sensitif. Err, maksud aku, skrin laptop, keyboard, skrin henset dan sebagainya – atas tujuan mahu meminimakan kekotoran supaya senang nak basuh dan sentiasa kelihatan baru. Ia, cukup banyak berjasa, tanpa aku sedari.
Al-kisahnya di 1 Syawal yang lepas - ketika aku di tempat kerja - aku membawa bekal juadah seperti lemang, nasi himpit, rendang, kuah kacang dan bahulu cip coklat. Aku tahu dengan selera dinasor aku neh, keadaan akan jadi messy. Bukan Lionel Messi, tapi messy. Ala-ala kotor sebab aku pasti bekal kuah yang aku bawak tu mesti tertumpah ketika aku men-drift di jalanan di pagi raya yang lengang dan sunyi.
Namun, segala langkah berjaga-jaga telah diambil. Cuma, satu perkara yang aku tak tersangka - adalah ketika tersedak menelan bahulu bersaiz mega - tangan gatal aku pantas mencapai secawan sirap di atas meja. Dan ia tertumpah tanpa sengaja. Seakan sepantas kilat menyambar antena rumah, sepantas itu jugalah air sirap itu berubah menjadi tsunami kecil menuju ke arah laptop. Dengan menggunakan kuasa bulan, eh silap, kuasa refleks, tangan aku yang sekali lagi kegatalan dengan begitu pantas menyambar tuala yang amat aku sayangi itu untuk menghalang kemaraan ombak berwarna merah bak darah. Dan baru ku sedari, tuala berwarna kuning langsat itu hukumnya akan berubah warna secara drastik. Dan menghapuskan semua usaha-usaha aku menatangnya bagai minyak yang penuh selama ini.
Tidak, aku tidak give-up sebegitu mudah. Dunia dah berubah, zaman dah maju, kita dah cipta Clorox. Masalah ini, cuma satu masalah yang kecil. Sepatutnya.
Aku rendamkan, aku bilaskan, aku perahkan, aku sidaikan tuala itu di pagar yang berdekatan, dengan harapan ia akan sempat kering sebelum syif kerja aku tamat nanti. Hidup ini tidaklah begitu susah, jika kita tahu cara-cara untuk mengharunginya.
Dan, manusia itu, tidak lari dari sifat cela. Sifat yang tidak sempurna. Cuai, lalai, acapkali menjadi penghukum kita. Aku, terlupa mengangkat kain jemuran sebelum memecut kereta aku lagak Sebastian Loeb mahu pulang ke rumah.
Cuai dan lalai adalah satu cabang ketidaksempurnaan. Tetapi kebodohan itu adalah satu skil yang manusia asah setiap hari. Pujangga dahulu pernah berkata, “kita semua dilahirkan dalam kejahilan; tetapi ia memerlukan kerja keras untuk sentiasa kekal bodoh.”
Entah mengapa, atas kebodohan aku sendiri; aku boleh menganggap insiden ini sebagai sekadar satu eksiden, dan tak memerlukan sebarang post-mortem, atau tindakan selanjutnya yang perlu aku ambil kemudian hari. Lantas, hari berganti hari, aku kian terlupa. Sehinggalah aku menanyakan soalan maut kepada ibu aku :
“Mak, tuala kecik Atan tu mana mak?”
“Entah lah!” ringkas, padat, dan sensasi sekali jawapan itu. Dalam sedetik, rantaian memori mula menggamit satu demi satu. Bagaimana aku boleh lupa akan signifikasi tuala tersebut dalam kehidupan aku yang serba kekurangan makna ini? Bagaimana aku boleh terlupa untuk mengangkat kain di jemuran sedangkan aku sendiri yang sepatutnya bertanggungjawab melaksanakan tugas itu? Dan bagaimana aku boleh tak sedar untuk buat tindakan susulan di hari berikutnya?
Akhirnya aku sedar, nasib tuala itu kini tidak lagi berada dalam genggamanku. Setelah berhari-hari berlalu, entah ke mana ia diterbangkan angin yang tak pernah bertiup pada kadar halaju yang sama. Status hakmilik kekal itu kini sudah terhapus. Tanggungjawab untuk menjaga tuala itu dengan sepenuh jiwa tidak lagi akan dapat dicapai. Dan hakikatnya, simbolik kehilangan tuala itu bermakna aku sudah melepaskan apa yang sepatutnya sudah lama ku lepaskan. Kerana, hanya tangan ini yang setia menggenggam selama ini - sedangkan di hujung tuala sebelah sana, ia cuma sekadar ditiup angin tak bernyawa yang bersifat rawak sahaja. Selama ini, aku hanya bermain tarik tuala dengan sang bayu cuma.
Kadangkala, manusia perlu mengambil keputusan yang bodoh; bukanlah kerana manusia itu mahu membuktikan kebodohannya, tetapi hanya semata-mata kerana ia adalah kelangsungan dari perbuatan bodoh yang pernah kita lakukan sebelum itu. Jika bukan kerana kebodohan itu, kebodohan yang ini tidak akan timbul. Dan jika kita cuba melestarikan tindakan, atau keputusan yang dibuat dengan sebijaksana mungkin, ia tetap akan kelihatan bodoh. Umpama orang yang mengambil satu pusingan lengkap di roundabout semata-mata untuk membelok ke simpang jam 9. Kebodohan itu kadangkala tidak boleh dielak. Walaupun kita yang memilih untuk membodohkan diri sendiri pada awalnya.
Maka dengan itu, janganlah menjadi seperti aku.
Sekian.
Sistem Kad Akses Akan Dilaksana Di Flat PPR Tahun Hadapan Untuk Tangani
Perangai Penghuni Liat Nak Bayar ‘Maintenance’
-
Bermula tahun hadapan, flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan mempunyai
sistem kad akses yang dilaksanakan di bawah Program Residensi Rakyat.
Menurut Me...
38 minutes ago
1 KoMen:
huhu. ada sedih dalam citer ni. :(
Post a Comment