16.10.09

SAYA DUNGU TWITTER

"P1 WIMAX Service has been restored to full operations in all affected areas. 1 day will be waived in your next bill because we're sorry. Enjoy your P1 WIMAX!"



So far... So goooooood!

15.10.09

EDISI RE-POST : STUDENT @ WORKERS?

PostScript : Tarikh asal penulisan adalah pada 24/8/2009. Kenapa ia tidak jadi disiarkan? Korang speculate laa sendiri. Tapi terasa macam tak kena pada masanya ketika itu. Kini ia telah basi dan aku percaya entri ini tidak akan melukakan hati sesiapa. Keh keh…



“Ada yang nak kat ko, ko pegi reject. Yang tak nak kat ko, ko terhegeh-hegeh pulak.”

Ye, di sebalik tajuk entri yang berbunyi seperti ingin memperdebatkan soal isu hak asasi, sebenarnya entri kali ini tak lebih dari sekadar jiwang semata-mata.

‘Ramai’ sungguh peminat aku yang tertanya-tanya: “Kenapa ko neh memilih sangat Jai? Kalo hensem ke, banyak duit ke, takpe laa jugak…”

Aku bersifat memilih kerana aku yang mencari. Sepertinya jika aku ingin membeli busana, sudah tentu aku akan memilih persalinan yang paling hensem untuk dipadankan dengan skala body aku yang macho seperti Awie ini.

Tapi kalau ada nak yang bagi t-shirt free kat aku, dan ‘muat untuk aku pakai’, dengan selambanya aku menerima dengan hati terbuka tanpa sebarang perasaan malu. Tak kisah laa kalau baju tu nampak buruk dan kotor sekalipun. Yang penting selesa untuk aku sarungkan. Sebab aku bukan gila berfesyen pun.

Boleh tangkap tak metafora di atas? Ye, aku seorang yang memilih tetapi tidak memilih. Sebarang pilihan yang aku buat adalah bergantung pada situasi semasa dan selalunya ia bersifat spontan. Faham?

Tapi, satu-satunya perkara yang aku sukar berkompromi adalah untuk memutik perhubungan berbait-baitkan ayat bunga-bunga cinta dengan mereka-mereka yang bergelar student.

Kerana itu aku lebih gembira sekiranya mengetahui target bakal mangsa… eh silap, calon jodoh aku sedang bekerja atau menanam anggur. Kenapakah fenomena ini berlaku? Adakah kerana faktor ekonomi?

Ohh, aku bukanlah mata duitan atau bercirikan dasar materialistik biarpun aku mengidam nak memiliki 9 buah kereta pelbagai segmen, 2 motor superbike, banglo dua tingkat setengah beserta 7 bilik tidur 5 bilik mandi, lengkap dengan swimming pool dan bilik karaoke; hakikatnya aku tidak memilih calon jodoh yang kaya raya. Kerana aku sedar aku pun papa kedana je.

The thing is; aku neh cepat rimas oke! Tak boleh laa selalu nak berkepit je. Berdasarkan kajian semasa dan pemerhatian terhadap orang sekeliling sebelum ini, aku dapati perhubungan emosi antara dua jantina yang masing-masing memiliki komitmen kerja tersendiri, adalah lebih sukar untuk menghabiskan masa bersama-sama berbanding mereka-mereka yang bergelar student. Bentuk perhubungan ini adalah sangat penting untuk aku pilih kerana aku seorang yang lembab membuat kerja. Maka apabila jarang bersama, adalah masuk akal untuk aku mengambil masa yang panjang dan secukupnya untuk mengenal hati budi masing-masing sebelum memikirkan untuk mengambil langkah selanjutnya. Setiap hasil ‘kerja’ aku yang bersifat terburu-buru seringkali membinasakan diri aku sendiri. Disebabkan perhubungan itu melibatkan dua jiwa, maka aku tak mahu ketidaksempurnaan aku ini turut membinasakan pihak si dia pulak nanti.

Dan yang paling merisaukan aku, soal fokus. Di antara dua insan bercinta yang masing-masing mempunyai kerjaya, fokus mereka terhadap dunia romantis selalunya berlandaskan konsep ‘try and error’; kalau dah takde jodoh nak buat cam mana. Sebaliknya pula dengan para-para student ini yang selalunya hilang fokus terhadap pelajaran, sedangkan semua orang setuju bahawa ilmu itu lebih penting dari berbini/berlaki.

Dan kalau laa aku ni good enough or worth for, takpe laa jugak. Masalahnya aku sendiri pun tatau apa nilai terbaik yang aku miliki. Jadi untuk mendamba cinta yang sejati dari mana-mana insani yang sedang menuntut di kolej atau universiti, aku memang tak berani. Sedangkan yang aku cuma boleh offer pun adalah: ‘cuba try test tengok sekali’ (sambil angkat-angkat kening dengan gaya menggoda).

Jadi, bila aku cakap aku lebih prefer membina hubungan dengan non-student, sila laa jangan cepat sangat tuduh aku shallow atau mengamalkan prinsip diskriminasi. Aku tau aku bukan insan terbaik untuk menilai diri kamu, tapi aku tau keperluan untuk aku menilai diri sendiri terlebih dahulu. Mencegah lebih baik dari mengubati. Dan sepi tak bermakna tak boleh mencari.



~”Belum tiba masanya lagi…”~

13.10.09

EDISI RE-POST : PENDET-NYA AKAL MANUSIA

PostScript : Asalnya entri ini ditulis sebelum raya dan sebelum gempa bumi melanda di Padang. Ia tercetus setelah aku menonton petikan video klip di malingsia.com dalam usaha aku cuba memahami masalah yang berlaku antara dua negara berikutan satu tarian yang diberi nama tarian pendet. Alhamdulillah perkara ini telah berlalu dan kini kita pula digamit untuk menghulurkan sadaya upaya bantuan kita terhadap saudara kita di sana yang dirundung malang.



Kerisauan menjadi pemangkin kepada entri aku kali ini berhubung isu konfrontasi Malaysia-Indonesia yang hangat berlangsung minggu lepas. Mendengar berita tentang pelajar-pelajar Malaysia di Yogjakarta yang tidak ketentuan hujung pangkal nasib mereka, secara peribadinya aku merasa sedikit tempiasnya kerana terdapat salah seorang insan yang aku ambil berat sedang berada di sana ketika ini.

Insya-Allah semuanya akan selamat. Insya-Allah polemik ini akan berlalu sepertimana kisah-kisah konfrontasi dua negara berjiran ini seperti sebelumnya. Insya-Allah negara Indonesia tidak ditimpa bala lagi seperti di Acheh (3 tahun lepas) dan Jawa yang berlaku baru-baru ini. Insya-Allah di bulan mulia ini tambahan Syawal bakal menjelma memberi kita hidayah untuk bermaaf-maafan sesama kita.

Tapi yang aku tak boleh nak lari dari ulas adalah mengenai rakaman penjelasan Norman KRU selaku penerbit dokumentari yang menjadi pencetus kontroversi ini. Beliau memang bapa pemodenan arus muzik negara. Beliau memang pelopor industri rap dalam bahasa melayu jauh terdahulu sebelum Too Phat muncul dengan single ‘Anak Ayam’ mereka. Beliau memang idealis yang ingin melihat industri seni kita setanding kemajuannya dengan negara-negara jiran.Beliau memang berani untuk bermain dengan CGI di layar skrin serta mempelbagaikan pula sektor perniagaan yang diceburinya.

Aku pernah kata aku bencikan konsep ‘Ketuanan Melayu’. Adakah kerana aku memiliki motif politik? Kerana aku ingin melobi Pakatan Rakyat supaya akhirnya mereka dapat menggantikan kerajaan pusat? Tidak. Bila aku cakap aku bencikan ‘Ketuanan Melayu’, sebenarnya tak lebih untuk menjaga survival melayu itu sendiri.

‘Ketuanan Melayu’ yang menjadi nadi generasi belia seperti aku hari ini memiliki beberapa ciri utama. Antaranya, bergantung harap pada Dasar Ekonomi Baru, dengki dengan peniaga Cina, menghina bangsa India dengan gelaran-gelaran seperti keling dan Pariah, setia pada raja dan kerajaan tanpa alasan yang munasabah (walaupun mengaku hidup dalam negara demokrasi), dan satu lagi yang tak kurang pentingnya, serta ingin aku perbincangkan di sini; sifat Berlagak Kerana Benar, Gagap Kerana Takut Tersalah Kata. Inilah ciri yang aku dapat lihat dengan jelas ketika sesi temubual media Indonesia dengan Norman KRU ini.

Beliau kelihatan sangat menjaga tuturnya demi memberi penjelasan terbaik untuk menamatkan polemik ini secepat mungkin. Pada masa yang sama apabila diserang dengan soalan-soalan berbentuk manipulasi, dengan pantas beliau menafikan sebarang bentuk penglibatan beliau dan meletakkan tanggungjawab kepada pihak lain. Adakah beliau menipu di situ? Tidak! Seperti yang aku sebut tadi; Berlagak Kerana Benar. Ketika beliau menjawab soalan ‘siapa yang bersalah dalam hal ini’, beliau menyebut “pihak Discovery Channel yang harus bertanggungjawab…” Walaupun beliau ada memberi penjelasan bagaimana isu ini akan cuba diselesaikan kemudiannya, namun kita sebagai penonton sendiri sudah boleh melihat perubahan nada dalam suara beliau yang mungkin samada menyesal akibat terlepas cakap atau bengang kerana dipaksa menjawab soalan sensitif ini.

Hairan aku, bukankah bagi sebuah syarikat bertaraf International seperti KRU Production sepatutnya ada mengupah consultant untuk berhadapan dengan permasalahan seperti ini? Tidak adakah pegawai perhubungan awam yang lebih arif dengan bidang kerja mereka dalam memberi penjelasan kepada media yang sepatutnya menjadi jurucakap rasmi mereka? Itu tak penting. Yang penting apakah impak yang akan diterima buat rakyat dua negara ini akhirnya akibat sikap suka menuding jari kemudian sorok tangan di belakang ini?

Isu polemik yang timbul ini sebenarnya apa? Mengenai budayakah? Mengenai kedaulatankah? Mengenai hak isu asasi manusiakah? Hakikatnya apa yang berlaku sekadar satu plot yang aku anggap sebagai honest mistake.

Seriously, siapa yang melakukan provokasi di sini? Adakah Malaysia kerana ingin membuat dokumentari sejarah budaya yang secara tidak langsung memang akan membabitkan Indonesia? Atau Indonesia yang sangat bergantung harap pada industri pelancongan melihat perkara ini sebagai percubaan untuk mencuri nasi dalam periuk mereka? Mungkinkah Singapura terlibat sama disebabkan promo dokumentari ini dikeluarkan pihak Discovery Channel di sana?

Hakikatnya budaya melayu di Malaysia ini memang datangnya dari Indonesia. Hakikatnya bukan semua petugas di Discovery Channel Singapura itu orang asia dan tahu sejarah pengkaitan budaya dua negara. Hakikatnya memang patut Indonesia merasa berkecil hati lantaran ramai pihak-pihak kita di sini yang memandang rendah pada mereka.

Adakah aku menyentuh pula mengenai isu nasib buruh Indonesia di Malaysia? Atau mengenai orang gaji Indonesia didera orang Malaysia? Mungkinkah mengenai perebutan sempadan pulau-pulau di nusantara? Takpun perihal muzik-muzik Indonesia yang ingin disekat dan dipandang sebagai sampah oleh segelintir rakyat Malaysia?

Hakikatnya mudah; yang menjadi katalisnya adalah persepsi kita sendiri. Jalankan ujikaji anda dengan cara bertanyakan rakan-rakan, sahabat handai anda tentang persepsi mereka terhadap warga jiran kita ini. Pasti ada di antara anda yang akan ternganga mendengarnya. Lihat saja bagaimana Mazidul Akmal Sidek memainkan isu pendatang asing dalam 360 sehingga mengeluarkan komen-komen seperti ‘mereka berlagak samseng, pengotor dan tak sedar diri menumpang di negara orang’.

Walhal mereka juga manusia. Serumpun dengan kita pulak tu. Sepertimana banyaknya kepincangan segelintir rakyat kita yang berdosa dan zalim terhadap kita, begitu jugalah mereka seadanya. Telah diberitahu pada kita sekalian umat Nabi Muhammad; tiada manusia di dunia ini yang sempurna. Mengapa nak dipertikaikan kehadiran mereka dengan 1001 bentuk kebencian? Dan jangan ingat nasihat ini ditujukan pada rakyat Malaysia saja, blogger Malingsia pun patut terasa sama pedasnya.

Jangan kita lupa, melayu di Malaysia hari ini tidak akan wujud tanpa kehadiran anak raja dari kerajaan Majapahit di Indonesia. Yang membataskan kita bukanlah isu kedaulatan sebenarnya, tapi faktor masa akibat kerakusan Imperialis zaman dulu kala yang membuatkan kita seakan berbeda. Kini kita cuma sepatutnya bersyukur dengan apa yang kita sama-sama ada.


Salam Nusantara dari saya untuk anda semua.

11.10.09

EDIDI RE-POST : SELEPAS 15 JAM

PostScript : Entri yang sepatutnya tersiar sebelum Episod ke-16 Nur Kasih disiarkan. Sudah agak tidak relevan kini kerana twist yang berlaku dalam plot terbaru Nur Kasih setelah kemunculan semula Katrina dengan memakai purdah, sesungguhnya tidak terlintas langsung dalam pemikiran aku dan bakal memberi kejutan lagi untuk episode-episod akan datang. Apa pun anda harus ingat bahawa ini adalah entri sebelum episod Aidil bertemu Aliya buat pertama kali di kedai buku di Jeddah.



Persoalannya, benarkah Adam telah berubah? Persoalannya, sanggupkah Nur Amina melupakan segala seksaan batin yang pernah menyeksanya? Persoalannya, apakah nasib Katrina dan siapa yang akan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku padanya? Persoalannya, apakah benar Aidil sudah membuang perasaan cintanya terhadap gadis bernama Nur Amina ini?

Episod seterusnya akan merungkai rentetan perjalanan hidup Nur Amina dan Adam selaku suami isteri yang sah hanya pada syarak. Di sekeliling beliau, begitu banyak kedapatan suara yang mahu dia menerima kembali Adam. Termasuk dari Ummi dia, mak mentua dia, Aidil malah Adam sendiri begitu mendambakan untuk menjalani kehidupan bahagia bersama Nur. Apakah ‘happy ending’ itu wujud dalam dunia mereka berdua?

Mari kita merungkai konflik yang berlaku. Fakta : Adam pernah mengatakan bahawa Nur Amina “is not my type”. Fakta : Nur terpikat dengan kehenseman dan kemachoan Adam semenjak beliau mengenalinya di bangku sekolah lagi. Fakta : Adam memaksa Nur menipu kedua orangtuanya dan meninggalkan Nur keseorangan tanpa wang dan hala tuju selama empat tahun, walhal segala kebajikan Nur ketika itu sepatutnya terletak di bawah tanggungjawab dia. Fakta : Aidil masih lagi mencintai Nur setelah bergelar adik iparnya sendiri. Fakta : Nur lebih selesa bersama Aidil dan banyak terhutang budi dengan beliau.

Jadi apa yang bukan faktanya? Masih ingatkah anda ketika Nabila cuba mengusik Nur dengan mengatakan Nur menyimpan perasaan terhadap Aidil? Nur menafikan dan membalas dengan kata-kata seperti “aku anggap dia macam abang aku sendiri laa”. Padahal Nabila merasakan hubungan beliau dengan abang beliau sendiri pun tidak semesra dan romantik macam Nur dan Aidil.

Dan ketika Adam mengetahui tentang kisah kemesraan mereka berdua yang diceritakan Sarah, Adam ada berkonfrontasi dengan Nur perihal isu ini. Nur dengan yakinnya menyebut “tidak ada sedetik pun perasaan cinta Nur untuk abang Aidil, percayalah”.

Apakah patut kita percaya dengan semua ini? Sedangkan semua orang setuju dengan ironi bahawa ini semua sekadar lakonan semata-mata (heh!). Namun, persoalan yang berbangkit, apa akan berlaku sekiranya Aidil menekan butang send selepas mencoretkan emel bernada ingin mengorat Nur secara terbuka beberapa tahun lepas? Bagi anda yang masih samar-samar, antara petikan emel beliau berbunyi seperti berikut : “Setiap hari, abang semakin tertunggu-tunggu berita dari Nur. Mungkin perasaan abang terhadap Nur kini telah berubah.”

Tetapi Aidil tidak menghantar emel tersebut. Maka kita tidak akan tahu apa yang mungkin berlaku selepas itu. Tapi kita masih boleh membuat spekulasi. Mungkin Nur tahu bahawa Aidil seorang yang warak dan arif mengenai hukum hakam agama. Mungkin Nur tahu Aidil merupakan lelaki yang lebih sesuai untuknya. Tapi mungkin Nur tidak mahu mengharap apa-apa kerana Nur merasakan dengan reputasi Aidil itu, tidak mungkin Aidil tergamak untuk merampas beliau dari adiknya sendiri. Meskipun begitu Nur masih tidak tahu Aidil sebenarnya ada menyimpan perasaan cinta terhadapnya. Nur masih tidak tahu betapa Aidil pula sanggup berkorban segala-galanya demi Adam. Nur masih tidak tahu segala perhatian dari Aidil yang pernah dia miliki sebelum ini datangnya dari perasaan cinta dan sayang tidak berbelah bahagi. Apa akan berlaku seandainya dia tahu?

Yang dia tahu dia tetap masih terpikat dengan Adam yang dikenalinya sebagai kacak, sensitif dan romantik itu. Cuma situasi semasa dan setelah dipermainkan perasaannya dengan begitu zalim sekali, membuatkan Nur lebih berhati-hati sebelum mengambil apa-apa keputusan. Kita semua sedia maklum bahawa Adam telah berubah. Maka sepatutnyalah bagi Nur untuk membantu Adam melengkapkan penghijrahannya.

Benarkah Adam hari ini bukan lagi Adam yang dahulu? Adam yang dahulu membenci Nur Amina dengan menganggapnya sebagai gadis bodoh dan mengikut kata-kata orangtua secara membabi buta. Adam yang dahulu berpeleseran dengan gadis bukan muhrim, tidur sekatil dan meneguk arak sesuka hati. Adam yang dahulu menganggap segala kaedah pendekatan mendidik yang digunakan arwah ayahnya sebagai kolot dan tidak masuk akal.

Apa yang menyebabkan Adam berubah? Kematian anaknya? Muhasabah diri ketika beliau menghabiskan masa dalam penjara di Australia? Ketenangan hati yang beliau perolehi setelah mendekati Islam? Dalam jangka waktu peristiwa-peristiwa ini, aku tidak dapat melihat katalis yang membuatkan Adam sedar bahawa dia kini telah ‘jatuh cinta’ dengan Nur Amina. Perasaan menyesal dan bersalah itu mungkin. Mungkin juga dia merasakan perlu untuk dia bertanggungjawab atas segala kesilapan. Mungkin dia merasakan dia berhutang dengan Nur untuk memberi Nur kebahagiaan yang sepatutnya dia miliki dulu. Tapi cinta? Cinta tidak akan berputik dalam masa sehari. Cinta itu perlu dipupuk, diberi baja, dibelai dan diberi zat secukupnya supaya ia berkembang mekar untuk selama-lamanya. Apakah benar kini dia mencintai Nur Amina melebihi Katrina sendiri sedangkan di satu ketika dia pernah meninggalkan Nur bergantung tak bertali demi berdamping dengan Katrina dua sejoli? Apakah perasaan yang begitu mudah berubah-ubah boleh didefinisikan sebagai cinta sejati?

Beliau mengakui akan kelemahan dirinya ini ketika menceritakan pada Aidil. Sepatutnya, ketika mengerjakan Umrah, beliau tahu beliau perlu ikhlas untuk meniti ke jalan Allah dan bukannya kepingin untuk bertemu semula dengan Nur setelah berpisah selama setahun. Dan Aidil secara tipikalnya memandang perkara ini dari sudut positif. “Seandainya cinta Adam pada isteri Adam membawa Adam ke jalan-Nya, maka cinta itu lebih mulia sifatnya,” memetik kata-kata Aidil.

Apakah ini menjawab persoalan samada Adam benar-benar telah berubah dan takkan kembali pada sifatnya selaku orang yang panas baran dan mementingkan diri sendiri? Di episod seterusnya (mengikut firasat aku) anda akan diperkenalkan dengan satu watak baru bernama Aliya yang dimainkan Ayu Raudhah yang seterusnya akan disunting oleh Aidil sebagai isterinya yang sah.

Selepas itu cuma tinggal 10 episod sahaja lagi sebelum kita tahu kesudahan cerita ini. Namun apa yang akan berlaku dalam episod-episod ini? Mungkinkah Nur akan mengetahui rahsia hati dan perasaan Aidil yang sebenar terhadapnya? Apa akan berlaku kemudian? Apakah nasib Adam dan isteri baru Aidil nanti? Adakah mereka akan dipaksa pula menyertai upacara ‘mari korbankan perasaan masing-masing and live miserably’ atau mungkinkah Nur dan Aidil pula yang akan terus diminta berkorban tanpa kesudahan? Apa pula yang sanggup mereka korbankan demi cinta selepas ini?

Samaada mereka ini memang merupakan pelakon-pelakon handalan yang berjaya mempotretkan emosi watak-watak yang didukungi mereka dengan baik, atau mereka sebenarnya memang tak reti berlakon sehingga membuatkan aku salah interpretasi terhadap drama bersiri ini. Apa pun aku tidak akan tahu jawapannya sehingga menonton episod ke-26 nanti.

“Ko memang dah tade keje lain ke Jai?” Keh keh keh.

10.10.09

EDISI RE-POST : ALTER EGO

Aku tidak pernah berhenti menulis. Aku cuma berhenti menge-post sahaja sekali-sekala. Kebanyakan entri aku yang tak ter-post adalah kerana faktor masa dan teknikal. Sebagai contoh, pernah terjadi beberapa minggu lepas di mana aku tak dapat akses internet dan tambahan pula blog aku neh dilumpuhkan pula akibat spammer yang mencuri password id aku ketika aku mengakses youtube (ye, aku gunakan google account neh almost for everything).

Hakikatnya aku tiada penyesalan untuk tidak menceritakan apa yang sudah basi (outdated) tetapi selaku seorang blogger yang lebih suka menulis berjela-jela berbanding cuba mencari isi, aku dapati ada keperluan untuk aku mempamerkan juga hasil penulisan ini berikutan aku sedang mengalami satu masalah yang paling aku takuti semenjak 2 minggu lepas.

Writer’s block – yes, it’s a real disease guys! Selama neh selalunya aku anggap ia sebagai penyakit mitos semata-mata; seperti amnesia dan lain-lainnya. Namun kini setiap kali aku membuka aplikasi MS-Word dan membuka kalimah bicara, akhirnya ia akan tamat dengan seribu satu karut marut, ayat-ayat yang tunggang langgang tatabahasanya serta tiada isi konkrit untuk dibahaskan.

Jadi kita ambil jalan mudah. Satu ketika dulu aku pernah sibuk meng-kopi pasta forwarded email tetapi zaman itu telah berlalu. Kini kalau aku bukak inbox, yang tinggal cumalah spammers yang tak sudah-sudah nak suruh aku klik iklan mereka agar mereka dapat beberapa sen dari penaja. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk merehatkan minda aku seketika jika tidak beberapa minggu sekalipun; dengan cara menyiarkan semula artikel-artikel berhabuk dalam hard disk aku yang belum sempat anda baca. Entri pertama yang aku pilih kali ini bertajuk ‘Alter Ego’

PostScript : Entri asal untuk comeback yang sepatutnya bertarikh 1 Ogos 2009 tapi digantikan pula dengan entri ini ‘Permulaan Sekali Lagi’ yang lebih detail dan masuk akal dengan situasi semasa.



ALTER EGO



Alter seperti yang digambarkan oleh kamus Oxford Digital kat desktop aku bermaksud perubahan dari sudut karekter, penampilan ataupun komposisi. Sementara ego pula lebih bersifat self-esteem atau sifat kendiri. Dalam kata mudahnya maruah diri yang kita dukungi laa. Jadi adakah alter ego bermaksud nilai maruah kita yang sifatnya boleh diubah-ubah? Adakah ini bermakna bila aku memiliki alter ego selaku Akeji Hiroshi, maka nilai maruah aku berlainan berbanding ketika aku menjadi Ajai?

Entahlah, aku pun dok tiru orang je sebenarnya ni. Apa orang lain nak buat, aku pun gatal ikut nak buat. Orang kutuk Michael Jackson, aku ikut gelak sama. Orang sanjung R.I.P Mikail Jackson, aku pun gatal-gatal pergi download balik lagu-lagu lama dia. Orang lain ada masalah kekeliruan identiti sampaikan ada alter ego, aku yang takde masalah neh pun tetiba buat-buat macam ada masalah sama jugak. Masalah betullah…

Yang penting, dalam sudut penulisan aku bagi penggal baru blog aku neh (siap ada penggal-penggal pulak dah) aku akan cuba menulis dari dua perspektif bergantung kepada isu-isu berbangkit. Perspektif Ajai yang merupakan seorang yang berfikiran simple-minded, banyak menggunakan istilah “entah laa…” serta kuat berangan dan berimaginasi mengalahkan Mat Jenin.

Perspektif Akeji pula akan lebih kompleks dari itu. Dah macam ahli falsafah pun ada. Semua benda dia nak ada falsafah, prinsip tersendiri yang mana orang lain tak boleh tegur atau sentuh. Kalau try jugak konpem dia mengamuk pastu keji caci maki apa-apa yang patut. ‘Azwan Ali wannabe’ laa kot si Akeji neh (keh keh).

Tapi tak kira apa pun alter ego aku, aku tetap adalah insan sama yang korang kenali dulu. Mamat super romantik yang sifat jiwa-jiwanya tak boleh dinafikan lagi, serta suka buat lawak pervert tanpa mengira tempat dan masa. Touching, emo dan sensitif masih lagi antara sifat yang dibawa-bawa hingga kini. Dan penghargaan ke atas kehidupan serta benda-benda seni di sekelilingku masih menjadi pegangan. Tidak ada istilah baik atau perangai cam iblis dalam kamus hidup aku. Yang ada cumalah orang yang suka melawan arus. Kalau semua orang tengah berbaik-baik; tetiba aku cucuk jarum bagi bikin panas sama semua orang. Dan tatkala aku dikelilingi makbapak setan; tetiba aku jadi penceramah motivasi memberi nasihat hitu nasihat hini agar mereka tidak jauh tersesat dan kembali semula ke pangkal jalan yang benar.

Siapakah aku sebenarnya? Akulah bukti ketidaksempurnaan makhluk tuhan, di mana aku menyedarkan semua orang bahawa di dunia ini tidak ada orang baik yang tak pernah buat jahat dan tidak ada orang jahat yang tak pernah terfikir benda-benda baik. Akulah pemberi keseimbangan, akulah ‘yin’ dan aku jugalah ‘yang’ dalam dimensi korang. Akulah pelengkap segala-galanya. (Nampak tak ayat neh? Haa, neh ayat berunsurkan perspektif Akeji laa neh)

Sebagai penutup bicara, kalau korang perasan, aku memang jenis yang banyak bunyik. Bukan bermaksud aku ni peramah ke or suka bercakap; tapi ada je benda yang nak dikomplen atau tak puas hati. Ada je isu nak dijadikan renungan. Sampaikan ada member aku bertanya, “Ko nak tulis apa sampai berjela-jela kat blog ko Jai?” Aku kata, “Tunggu aje lah nanti…”