13.10.09

EDISI RE-POST : PENDET-NYA AKAL MANUSIA

PostScript : Asalnya entri ini ditulis sebelum raya dan sebelum gempa bumi melanda di Padang. Ia tercetus setelah aku menonton petikan video klip di malingsia.com dalam usaha aku cuba memahami masalah yang berlaku antara dua negara berikutan satu tarian yang diberi nama tarian pendet. Alhamdulillah perkara ini telah berlalu dan kini kita pula digamit untuk menghulurkan sadaya upaya bantuan kita terhadap saudara kita di sana yang dirundung malang.



Kerisauan menjadi pemangkin kepada entri aku kali ini berhubung isu konfrontasi Malaysia-Indonesia yang hangat berlangsung minggu lepas. Mendengar berita tentang pelajar-pelajar Malaysia di Yogjakarta yang tidak ketentuan hujung pangkal nasib mereka, secara peribadinya aku merasa sedikit tempiasnya kerana terdapat salah seorang insan yang aku ambil berat sedang berada di sana ketika ini.

Insya-Allah semuanya akan selamat. Insya-Allah polemik ini akan berlalu sepertimana kisah-kisah konfrontasi dua negara berjiran ini seperti sebelumnya. Insya-Allah negara Indonesia tidak ditimpa bala lagi seperti di Acheh (3 tahun lepas) dan Jawa yang berlaku baru-baru ini. Insya-Allah di bulan mulia ini tambahan Syawal bakal menjelma memberi kita hidayah untuk bermaaf-maafan sesama kita.

Tapi yang aku tak boleh nak lari dari ulas adalah mengenai rakaman penjelasan Norman KRU selaku penerbit dokumentari yang menjadi pencetus kontroversi ini. Beliau memang bapa pemodenan arus muzik negara. Beliau memang pelopor industri rap dalam bahasa melayu jauh terdahulu sebelum Too Phat muncul dengan single ‘Anak Ayam’ mereka. Beliau memang idealis yang ingin melihat industri seni kita setanding kemajuannya dengan negara-negara jiran.Beliau memang berani untuk bermain dengan CGI di layar skrin serta mempelbagaikan pula sektor perniagaan yang diceburinya.

Aku pernah kata aku bencikan konsep ‘Ketuanan Melayu’. Adakah kerana aku memiliki motif politik? Kerana aku ingin melobi Pakatan Rakyat supaya akhirnya mereka dapat menggantikan kerajaan pusat? Tidak. Bila aku cakap aku bencikan ‘Ketuanan Melayu’, sebenarnya tak lebih untuk menjaga survival melayu itu sendiri.

‘Ketuanan Melayu’ yang menjadi nadi generasi belia seperti aku hari ini memiliki beberapa ciri utama. Antaranya, bergantung harap pada Dasar Ekonomi Baru, dengki dengan peniaga Cina, menghina bangsa India dengan gelaran-gelaran seperti keling dan Pariah, setia pada raja dan kerajaan tanpa alasan yang munasabah (walaupun mengaku hidup dalam negara demokrasi), dan satu lagi yang tak kurang pentingnya, serta ingin aku perbincangkan di sini; sifat Berlagak Kerana Benar, Gagap Kerana Takut Tersalah Kata. Inilah ciri yang aku dapat lihat dengan jelas ketika sesi temubual media Indonesia dengan Norman KRU ini.

Beliau kelihatan sangat menjaga tuturnya demi memberi penjelasan terbaik untuk menamatkan polemik ini secepat mungkin. Pada masa yang sama apabila diserang dengan soalan-soalan berbentuk manipulasi, dengan pantas beliau menafikan sebarang bentuk penglibatan beliau dan meletakkan tanggungjawab kepada pihak lain. Adakah beliau menipu di situ? Tidak! Seperti yang aku sebut tadi; Berlagak Kerana Benar. Ketika beliau menjawab soalan ‘siapa yang bersalah dalam hal ini’, beliau menyebut “pihak Discovery Channel yang harus bertanggungjawab…” Walaupun beliau ada memberi penjelasan bagaimana isu ini akan cuba diselesaikan kemudiannya, namun kita sebagai penonton sendiri sudah boleh melihat perubahan nada dalam suara beliau yang mungkin samada menyesal akibat terlepas cakap atau bengang kerana dipaksa menjawab soalan sensitif ini.

Hairan aku, bukankah bagi sebuah syarikat bertaraf International seperti KRU Production sepatutnya ada mengupah consultant untuk berhadapan dengan permasalahan seperti ini? Tidak adakah pegawai perhubungan awam yang lebih arif dengan bidang kerja mereka dalam memberi penjelasan kepada media yang sepatutnya menjadi jurucakap rasmi mereka? Itu tak penting. Yang penting apakah impak yang akan diterima buat rakyat dua negara ini akhirnya akibat sikap suka menuding jari kemudian sorok tangan di belakang ini?

Isu polemik yang timbul ini sebenarnya apa? Mengenai budayakah? Mengenai kedaulatankah? Mengenai hak isu asasi manusiakah? Hakikatnya apa yang berlaku sekadar satu plot yang aku anggap sebagai honest mistake.

Seriously, siapa yang melakukan provokasi di sini? Adakah Malaysia kerana ingin membuat dokumentari sejarah budaya yang secara tidak langsung memang akan membabitkan Indonesia? Atau Indonesia yang sangat bergantung harap pada industri pelancongan melihat perkara ini sebagai percubaan untuk mencuri nasi dalam periuk mereka? Mungkinkah Singapura terlibat sama disebabkan promo dokumentari ini dikeluarkan pihak Discovery Channel di sana?

Hakikatnya budaya melayu di Malaysia ini memang datangnya dari Indonesia. Hakikatnya bukan semua petugas di Discovery Channel Singapura itu orang asia dan tahu sejarah pengkaitan budaya dua negara. Hakikatnya memang patut Indonesia merasa berkecil hati lantaran ramai pihak-pihak kita di sini yang memandang rendah pada mereka.

Adakah aku menyentuh pula mengenai isu nasib buruh Indonesia di Malaysia? Atau mengenai orang gaji Indonesia didera orang Malaysia? Mungkinkah mengenai perebutan sempadan pulau-pulau di nusantara? Takpun perihal muzik-muzik Indonesia yang ingin disekat dan dipandang sebagai sampah oleh segelintir rakyat Malaysia?

Hakikatnya mudah; yang menjadi katalisnya adalah persepsi kita sendiri. Jalankan ujikaji anda dengan cara bertanyakan rakan-rakan, sahabat handai anda tentang persepsi mereka terhadap warga jiran kita ini. Pasti ada di antara anda yang akan ternganga mendengarnya. Lihat saja bagaimana Mazidul Akmal Sidek memainkan isu pendatang asing dalam 360 sehingga mengeluarkan komen-komen seperti ‘mereka berlagak samseng, pengotor dan tak sedar diri menumpang di negara orang’.

Walhal mereka juga manusia. Serumpun dengan kita pulak tu. Sepertimana banyaknya kepincangan segelintir rakyat kita yang berdosa dan zalim terhadap kita, begitu jugalah mereka seadanya. Telah diberitahu pada kita sekalian umat Nabi Muhammad; tiada manusia di dunia ini yang sempurna. Mengapa nak dipertikaikan kehadiran mereka dengan 1001 bentuk kebencian? Dan jangan ingat nasihat ini ditujukan pada rakyat Malaysia saja, blogger Malingsia pun patut terasa sama pedasnya.

Jangan kita lupa, melayu di Malaysia hari ini tidak akan wujud tanpa kehadiran anak raja dari kerajaan Majapahit di Indonesia. Yang membataskan kita bukanlah isu kedaulatan sebenarnya, tapi faktor masa akibat kerakusan Imperialis zaman dulu kala yang membuatkan kita seakan berbeda. Kini kita cuma sepatutnya bersyukur dengan apa yang kita sama-sama ada.


Salam Nusantara dari saya untuk anda semua.

2 KoMen:

Umi Nazrah said...

manusia ttp manusia. kita hanya dikurniakan sedikit yg amat kecerdikan oleh Allah.

Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) said...

10% je kalau kita ngikut teori si albert einstein. haih~

Post a Comment

Any Comment? Anybody?