8.8.11

HANGENNN!!!

Di bulan baik, di bulan mulia, di bulan penuh keberkatan ini, hajat di hati nak mengurangkan kemencarutan pada bibir mulut walaupun tahu ia tetap terpateri dalam kotak suara hati.

Banyak betul isu mengaitkan soal agama menjak dua menjak neh. Aku, walaupun sekeji ini tapi aku nak menegaskan sekali lagi bahawa aku amat pantang bila akidah dipermainkan, ajaran agama diperkotak-katikkan.

Nak berpolitik, tak salah. Nak mengaitkan agama dengan politik juga tak salah. Tapi, resmi seperti orang yang mengaku beragama, ilmu di dada tu setakat mana je lah yang anda ada? Kita masih dalam proses belajar. Yang rasanya takkan tamat sampai mati. Tak kira laa bidang ilmu agama ke, politik ke, kehidupan ke, game bola ke hape ke. Sedar tak sedar, setiap hari ada saja benda baru yang kita belajar setiap hari.

Tapi ada empat isu terbaru yang aku rasa sangat tak puas hati dalam diri, namun masih sengaja buat-buat tak peduli. Apakah isu tersebut? Meh aku terangkan dulu kasi jelas isi hati.


Isu 1 - Makcik Hajjah Sitt al-Wuzara

Ulasan : Amboi nama. Rasanya geng-geng blogger dah ramai yang tahu isu neh pasal isu dah lama. Gambar-gambar fotosyop tu pun dah tersebar luas sampaikan orang boleh cam even yang di-censored pixelnya sekalipun. Baru hari neh ada pendedahan di GaySec berkenaan identiti pemilik akaun facebook dan blog tersebut. Benar tak benar, fitnah tak fitnah, wallahu’alam. Namun andainya benar, takyah laa kita wat-wat terkejut pun ye. Identiti yang didakwa adalah dimiliki seorang gadis Islam (sebab nama dia ada binti) yang agak-agak comel laa ala-ala Korean girl gitu. Itu dari segi rupa, dari segi bahasa?

Macam aku cakap, aku sengaja malas nak ambik tau atau buat-buat peduli sebab tak kira apa pun kebenaran yang tersembunyi di sebalik kisah ini, hakikatnya ini tak lebih dari sekadar satu cetusan provokasi. Apa niat dia, apa kehendak dia? Hanya dia dan tuhan je yang tahu. Namun natijahnya jika dicongak-congak, amatlah besar sekali. Positif? Negatif? Rasanya isu yang dipimpin dari semangat kebencian jarang ada positivitinya. Heh!

Isu 2 – Mohd Ashraf Hafiz

Ulasan : Beliau dah pun pergi menghembuskan nafas yang terakhir. Kalu kita nak bercakap atas kapasiti arwah itu sendiri rasanya ralat kot. Dia ada banyak lagi cabaran dan halangan bakal ditempuhi di alam barzakh nanti.

Namun apa yang kita dapat belajar dari kisah ini? Apakah ia okey hanya sekadar menatap dan meratap sahaja sementara menunggu kisah-kisah sensasi lain yang bakal muncul di paparan mukadepan sokkabar-sokkabar tempatan? Adakah kita mahu terus-terusan menjatuhkan hukum berlandaskan persepsi dan pemerhatian jarak jauh semata? Adakah kita nak merelevankan setiap tingkahlaku manusia-manusia yang semakin pelik dari hari ke hari? Apa tindakan kita seterusnya?

Entah, aku malas nak komen. Sebab orang pun kebanyakan malas nak dengar dan ambek tau melainkan hanya komen semata. :P

Isu 3 – AMS : Apostates in Malaysia and Singapore

Ulasan : Ini group yang aku terjumpa di facebook. Malas aku nak linkkan sebab prinsip aku memang tak suka nak promotkan benda yang memang aku tak suka. Ini satu lagi kekdah provokasi agama alaf baru. Bernaung di bawah nama kebebasan bersuara, kebebasan beragama, bebas segala-galanya. Adakah medium kebebasan ini yang harus dipersalahkan? Asasnya begini; barang sebagus mana pun kalau diberikan pada orang bangang maka bangang jugalah hasilnya.

Boleh aje aku nak like page tersebut sambil mengomen beberapa status yang aku rasakan ala-ala stended budak kecik nak main mengejek nama bapak. Tapi sejauh manakah pula graf hipokrasi diri aku neh yang sanggup aku langgar? Like, bererti suka. Sekian. Malas betul aku nak melayan.

Isu 4 – Serbuan JAIS di gereja

Ulasan : Mengambil kira lokasi kejadian serta teraju-teraju utamanya yang melibatkan tulang belakang kerajaan negeri Selangor, maka haruslah isu ini dijebakkan dalam kancah permainan politik. Kerana politik di Malaysia ini memang pelik. Ketaksuban melangkaui logikaliti minda. Apa yang benar, apa yang salah, apa yang hak, apa yang batil, itu semua belakang kira asalkan pihak kita menang tanpa bertanding. Kerana semua orang tahu adat pertandingan yang sengit itu menagih daya usaha keringat dan masa, pelaburan wang dan iltizam yang bukan sedikit, dan cukup menjerihkan sekali. Maka, by hook or by crook, aku sahaja yang betul, korang semua sudah tentunya salah. :P

Itu ulasan berteraskan politik ekstrem, namun apa pula pandangan sebenar golongan-golongan marhaen di bawah sini? Manusia yang di-offer 20k untuk menggadai agama adalah manusia yang tidak boleh diterima apa jua bentuk alasan yang mereka beri. Such as; “aku rompak bank tu sebab anak bini aku mintak 1 set iPhone ngan BB, tak campur iPad, G-Tab segala bagai lagi.” Atau “aku bunuh dia sebab satu hari nanti dia memang akan mati pun. Cuma aku ada sebab kukuh nak dia mati maka aku percepatkanlah proses itu.”

Haruslah ditampar sahaja muka mereka laju-laju.

Marah, marah jugak. Simpan aje laa hangin itu di dalam hati kalau tahu diri sendiri memang tak tau nak buat apa. Seronok jugak jadi orang yang pentingkan diri sendiri neh.

Hati berangin – tetiba teringat gula-gula Hacks. Isk, makruh membayangkan benda yang bukan-bukan neh.

1.8.11

BLOG GOAL BERSIRI

Entri terakhir saya bertajuk A.B.A.H : Dari Azraii Bin Abdul Hamid Untuk Abahnya.

Terlalu melankoli saat itu sehingga saya hanya berjaya menyiapkan lebih kurang 20% sebelum ia di-scrap-kan. Pada masa itu, saya memikirkan apa sahaja boleh berlaku pada bila-bila masa di waktu itu maka usahlah saya cuba menguji sejauh mana kemampuan saya untuk menghasilkan entri epik sebegitu. (Cewah, epik? Poyo!)

Kini dah hampir seratus hari berlalu. Nampak saya seakan lebih selesa menggunakan micro-blogging walaupun saya tak ada twitter. (Heyyy, update status kat FB lima minit sekali pun boleh dianggap micro-blog hape!)

Pelbagai peristiwa, dari pengalaman memotong rambut kesayangan, Bersih 2.0, bolasepak dan berbagai lagi yang bermain di persekitaran saya menyediakan input yang mencukupi untuk saya sekurang-kurangnya menghasilkan entri bersaiz 50 muka.

Memang, semenjak setahun kebelakangan pun memang volume entri saya kelihatan hidup segan, mati tak mau jugak kan? Ahh… itu bukan persoalannya. Persoalannya saya sepatutnya sudah berada di landasan terbaik untuk memulakan kembali projek bebelan saya seperti dahulu kala.

Mengambil kira kedatangan musim Ramadhan yang baru kali ini yang acapkali memaksa saya banyak merenung dan menjustifikasikan aspek kendiri di pagi hari mungkin boleh menjadi pemangkin kepada pengisian berguna dalam blog saya bagi pasca era seterusnya. Atau mungkin jugak saya neh sebenarnya seorang yang memang suka melawan arus dengan memperbanyakkan umpatan di blog sewaktu bulan puasa. :P Ada relevannyakah kenapa saya pilih masa sekarang untuk restart/reboot balik? Apakah saya telah mengumpul material-material padat untuk saya jadikan keypoint yang boleh dibuat isu perbincangan? Tidak. Saya sememangnya sejenis makhluk yang suka buat sesuatu perkara berdasarkan impuls.

Ini adalah intro. Intro versi yang entah ke berapa. Jadi malaslah saya nak memilih tema tajuk yang boleh saya paksikan di sini. Cukuplah sekadar dapat dijadikan pengkhabaran bagi sesiapa yang terbaca dan ada terminat pula untuk terus membaca.

Rasa macam tak sabar pula mahu membuka pekung di dada saya yang seksi ini.

12.3.11

RACISM

Tak lama dahulu sebelum Liga Super bermula, pernah dipostkan di facebook senarai pemain Kelantan bagi musim baru. Dan nyata-nyata ramai yang mengomen dengan nada bangga kerana hampir kesemuanya (jika tidak silap) adalah pemain anak jati Kelantan.

Secara jujurnya aku suka orang Kelantan. Aku sukakan mereka bukan kerana sifat atau perilakunya tapi lebih kepada demografik Kelantan itu sendiri. Di Kelantan dialek bahasanya adalah dialek universal antara semua kaum. Tidak kira apa bangsa pun mereka bebas untuk hidup dan mencari rezeki dan sebagainya; namun mereka masih bangga berkecek Kelantan. Samada ia kerana terpaksa akibat keperluan setempat atau tidak - apa yang penting adalah dialeknya benar-benar hidup dan disemai zatnya dalam setiap roh masyarakat di sana. Tidak hairan apabila ada seorang pelajar Cina di sana yang teruja untuk mempelajari bahasa arab di sekolah sehingga membolehkan beliau dipilih sebagai tokoh Maulidur Rasul yang lepas. Ini kerana jika berkecek Kelantan pun mereka fasih, mengapa tidak Arab? Walaupun sebenarnya aku akan jadi lebih teruja kalau beliau nak mempelajari subjek Pendidikan Islam. :P

Namun aku agak anti dengan sentimen berpuak-puak ini. Bila ada yang kata, “Ohh, dia neh anak Kelantan” atau “dia neh orang melayu kita”. Rata-rata ramai yang dah memang tahu aku penyokong pembangkang. Tetapi yang realitinya aku adalah anti-Umno disebabkan merekalah yang paling lantang melaungkan konsep ketuanan bangsa ini di pentas nasional.

Dari segi ajaran Islam yang aku faham setakat ini, tidak ada diajar mengenai konsep berpuak-puak. Jika ada yang bersetuju pun, mereka mumgkin akan kata secara kasarnya kita terbahagi kepada dua golongan; golongan kafir dan golongan umat Islam. Namun itupun aku masih kurang bersetuju. Kerana apa? Kerana garisan batasan definisi bagi kedua-dua maksud ini pun sangat kabur. Sebagai contoh; di dalam segerombolan umat Islam, tidak adakah di antara mereka yang munafik, atau mungkin sudah murtad sekalipun? Hanya tinggal Islam pada nama.

Dan untuk mengatakan golongan kafir itu sendiri adalah ahli neraka; selagi mereka belum mati dan diadili sendiri oleh Allah S.W.T, maka kita masih tidak berhak menjatuhkan hukum ke atas mereka. Kita bercakap mengenai hukum persepsi dan perspektif dan bukannya hukum undang-undang. Dari segi logiknya, satu hari nanti mereka boleh juga menjadi seorang pejuang Islam yang menegakkan syiar agama. Ini tidak mustahil. Lihat saja pada sejarah Saidina Umar Al-Khattab. Pada satu ketika beliau cukup digeruni oleh orang Islam sehingga memaksa orang Islam untuk beribadah secara sembunyi. Malahan apabila adiknya sendiri memeluk Islam tanpa pengetahuannya beliau sanggup menumpahkan darah saudara kandung sendiri akibat kebenciannya ke atas Islam pada masa itu. Namun hanya sehari selepas peristiwa itu beliau sendiri memeluk Islam dan ditakuti pula oleh golongan kafir Quraisy.

Berdasarkan hujah tersebut (cewah) ini menunjukkan Islam tidak mengajar kita untuk skeptikal dan membeza-bezakan antara satu puak dengan puak yang lain dari sudut superiority dan sebagainya. Dan semua orang jelas bahawa untuk menganut Islam adalah tidak mengira bangsa. Malah ayat paling famous dalam perdebatan laman-laman web politik (PAS vs. Umno) pun adalah “dalam kubur besok takda soalan yang tanya kau tu bangsa apa”.

Jadi aku merasa agak janggal apabila melihat sesetengah orang merasa bangga kerana darah yang mengalir dalam tubuh mereka. Jangan silap faham, aku tidak kata salah untuk berbangga. Cuma masalahnya tak ramai yang sedar istilah sebenar untuk bangga dan juga istilah riyak.

Bangga adalah sepertinya ketika anak yang kita tatang sepenuh jiwa sepanjang hidupnya berjaya mendapatkan markah tinggi di dalam peperiksaan di sekolah. Ia adalah satu kepuasan yang terbit setelah mengenangkan betapa bersusah payah kita mencari rezeki untuk memberi anak kita itu makan dan pakai, betapa sakitnya telinga bila anak kita menangis, merengek dan mengadu untuk dibelikan permainan yang kita tahu akan melekakannya dan menganggu prestasi pembelajaran, betapa menggigilnya tangan untuk merotan anak yang masih kecil kerana mereka tak mahu solat. Kejayaan mereka itu menjadi satu kebanggaan buat kita kerana mereka adalah darah daging kita sendiri. Hmm, nampak sama macam isi perenggan aku yang sebelum ini bukan? Mungkin sama, tapi tak serupa.

Kerana perasaan bangga ini boleh bertukar menjadi riyak. Riyak adalah apabila kita pusing keliling kampung mencanangkan bahawa anak kita yang mendapat markah tinggi itu tadi berjaya menempatkan diri dalam universiti terkemuka. Riyak adalah apabila mengatakan anak kita sudah berjaya walhal kita sendiri tak tahu samada benar atau tidak anak kita akan bergraduasi dari universiti tersebut dengan segulung ijazah. Dan hakikatnya ada pula kata pepatah mengatakan kejayaan seseorang tidak diukur pada ijazahnya. Ada nampak tak bezanya di sini? Di antara perasaan untuk mengatakan sesuatu itu lebih baik dari yang lainnya, dan juga perasaan untuk menikmati kejayaannya dalam skop kepuasan diri sendiri. Inilah garisan kabur yang aku cakapkan tadi.

Beberapa minggu lepas aku berpeluang menonton sebuah rancangan di History Channel bertajuk Race and Intelligence : Science's Last Taboo. Aku akui History Channel bukanlah channel terbaik dalam kelas dokumentari dan sebagainya sebab ada sesetengah program mereka yang kelihatan sangat murah dan terlebih sensasi semata-mata. Namun apa yang dibincangkan rancangan ini membuka mata aku untuk cuba melihat isu ini dari segala sudut yang mungkin ada. Kita tak boleh kata secara pasti kerana perencanaan Allah itu sememangnya satu misteri yang seluas alam semesta. Jadi kita cuma boleh mengolah sedikit secara fragmentasinya untuk memahami apa yang kita mahu tahu. Dan aku rasa aku faham bahawa kewujudan sesuatu kaum adalah untuk menyesuaikan diri mereka dengan penempatan yang mereka tinggal kerana struktur geografi bumi yang kaya dengan variasi iklim berbagai-bagai. Jadi jika Charles Darwin mahu mengatakan teori evolusi itu adalah fakta sains yang tidak boleh disangkal dan sekaligus menafikan kewujudan tuhan, aku boleh mengatakan teori revolusi itu sendiri menjelaskan kekuasaan tuhan mahukan segenap manusia bertebaran di seluruh pelosok dunia untuk menuai sumber bumi yang kaya raya ini.

Kesimpulannya mudah. Perbedaan bangsa itu memang wujud. Dan kita boleh berbangga. Dan kita boleh menjaga warisan. Kita boleh mahukan identiti kita terbela. Tapi bila kita mula melangkahkan diri kita menyeberangi batasan antara bangga dan riyak, maka kesudahannya kita sudahpun melakukan syirik yang kecil.

Ramai yang kata begitu mudah untuk kita ‘ter’buat dosa. Sebenarnya lebih mudah untuk mendapatkan (dan menggandakan) pahala. Cuma buat pahala neh kureng best sikit orang kata. Hahahaha. :P

Say no to racism.

1.3.11

:|

Wow, dah dua bulan tak membebel rupanya.




21.12.10

I SUKA PAKAI PAD

Hah, mula laa tu. Mula laa nak mencanang mulut menyebarkan kontroversi tuh. :P

Sebenarnya ramai dah boleh menjangka yang aku nak cerita pasal iPad. Kan? Kan?

Sebelum aku bercerita mengenai iPad, aku nak clearkan persoalan dalam kepala hotak anda tuh. Tidak, saya BELUM lagi memiliki iPad. Maka jangan risau. Tiada siapa yang boleh jeles dengan saya sementelah saya pun tak mampu seperti anda, anda dan anda juga.

Lagipun, kerja aku neh bukannya ada bonus akhir tahun macam sesetengah pihak tu. Kalau tidak, nak jugak aku planning angkat sebijik, ye dak?

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut (panjang benor mukadimahnya) tak lengkap rasanya kalau aku tak menyentuh sedikit mengenai iPhone sebab dua menatang neh adik beradik je (tak termasuk adik tiri dorang iaitu iPod Touch).

Aku… benci… iPhone. Telahpun aku perjelaskan dalam entri ini. Secara asasnya, kalau aku dapat hadiah iPhone 4 sebijik pun akan aku usaha untuk tolak kepada mereka-mereka yang berkeinginan lalu aku trade-in dengan dua bijik smartphone Android serta Window Mobile.

Bukannya bermaksud aku tak puas hati dengan teknologi dorang cuma aku merasakan valuenya overrated. Dan jugak beberapa sebab yang lain. Korang cek je lah entri tak lapuk dek hujan aku tuh (melainkan kalau korang online dalam hujan, mungkin akan berkulapuk jugak kot). Haha. Malas nak repeat taip banyak kali.

Berbalik kepada iPad. Aku pernah pegang sekali je. iPad 16GB. Kawan punya. Itupun dia dapat menang cabutan bertuah masa dinner apa entah. Perasaannya memang mengujakan seumpama memegang iPhone buat kali pertama. Memang sebijik pun cuma dalam versi lebih super-sized. Paparannya boleh di-rotate 360 darjah. Boleh zoom in zoom out pakai jari. Main game bla bla bla dan sebagainya. Basically aku rasa menjelang akhir tahun 2010 neh rata-rata dari kita sudahpun tahu fungsi iPad dan cara menggunakannya. Jika tak pernah bersua bertentang muka pun, sekurang-kurangnya ada yang telah menonton video-video tutorial penuh menganjeng di seantero youtube.

Namun, jika aku mengatakan aku tak suka iPhone, mengapa aku boleh kata aku suka iPad pulak? Haa, di sini laa perbedaannya. Walaupun aku suka berangan tinggi melangit, namun gadget-gadget yang aku mengidam nak beli kebiasaannya praktikal bagi aku. Bila aku cakap praktikal bukanlah bermaksud aku mencipta seribu satu alasan supaya aku boleh merelevankan keinginanku yang tidak bertempat itu. Bagi aku semudahnya begini; ukurlah baju di badan sendiri namun jangan putus asa untuk terus bermimpi. Nak pasang angan-angan pun biar yang masuk akal dan sesuai dengan diri. Kalau kita terus-terusan berpijak di bumi nyata sentiasa pun maka tak akan terciptalah kapal terobang kat dunia neh. Kan? Kan?

Baiklah. Apa perbezaan sebenar iPad dan iPhone? Pertama, ia bersaiz besar. Maka valuenya berpadanan dengan ongkos yang perlu dikeluarkan. Memang satu ketika dulu heboh diberitakan bahawa pengeluar handphone sedaya upaya menghasilkan handphone terkecil di dunia. Lebih kecil lebih mahal harganya. Tapi apa sudah jadi? Mereka menyedari dengan mengecilkan ruang kapasiti tidak bererti ia mampu menampung teknologi yang memuaskan hati. Jadi mereka kembali melihat pada resmi berlian. Berlian, tidak kira apa pun perbezaannya, semakin besar semakin mahal laa harganya. Kerana ia memberi kepuasan kepada pemilik untuk menayang di sini sana.

Di sini lah konsep kepraktikalitian (ada ke perkataan neh?) iPad. Dengan skrin yang sebesar itu, pengguna akan lebih berpuas hati bila melayari internet, menonton movie hatta bermain game sekalipun. Ketiga-tiga medium hiburan ini, jika digunakan di rumah, kebiasaannya pengguna sememangnya akan lebih puas hati sekiranya dapat menggunakan skrin besar berpuluh-puluh inci.

Cuma konsep yang ingin dibawa oleh Apple ini adalah mobility. iPhone terkenal kerana ia adalah sebuah handphone – yang sudah semestinya mobile. Tetapi masih ada pengguna yang teralih arah kepada netbook dan laptop kerana ia membawa konsep yang sama tetapi kepuasan yang lebih. Maka pihak Apple memutuskan untuk menginjek steroid terhadap teknologi iPhone itu tadi. Stended laa, Amarika!

Ia ternyata tampak lebih hebat kerana dibandingkan dengan netbook atau laptop, iPad masih kekal menjimatkan begitu banyak ruang untuk mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana. Seumpama membawa sebuah buku nota sahaja.

Dan ia amat praktikal bagi diri aku sebab aku suka buat ketiga-tiga benda itu (internet, movie, gaming) di merata-rata tempat aku bekerja. Tambahan pulak laptop aku sememangnya dah jahanam skrin, adalah satu membebankan kalau nak mengusung monitor komputer ke hulu ke hilir pulak dah.

Maka akan ada laa pihak-pihak yang terangkat kening memikirkan kemampuan aku untuk memiliki iPad. Ya, sememangnya aku begitu teliti dalam menggunakan frasa ‘ukur baju di badan sendiri’ kerana aku faham kalau skrin laptop pun tak mampu nak repair apa kejadahnya berhajat nak beli iPad?

Di sini aku memandang kembali sudut value for money dan praktikaliti. iPad yang paling murah berharga lebih kurang RM1600 tanpa 3G dan memori berkapasiti 16GB. Pertamanya, perlukah 3G? Aku sudah ada modem P1 lengkap dengan wireless connection jadi mengapa aku nak membebani diri melanggan 3G connection dari telco-telco lain pulak? Malahan ada banyak lagi wifi lain disediakan secara percuma yang aku boleh tumpang sekaki setakat nak on facebook atau menelaah wikipedia.

Bagaimana pula dengan kapasiti memori? Well sememangnya aku kalau boleh memang nak tamak mengidamkan 64GB yang berharga sekitar RM2200 itu tapi bila difikirkan semula, aku sudah ada laptop 250GB dan external hard disc 320GB. Secara logiknya memang jumlah ini akan kelihatan kecil di masa hadapan namun kalau aku nak mengejar kapasiti tertinggi maka aku akan terpaksa trade-in iPad setahun atau dua tahun sekali sebab Apple neh memang tamakkan duit pengguna jadi kapasiti ini akan bertambah setiap tahun. Tu belum kira version hitu version hini lagi.

Sedangkan kalau dengan hanya 16GB atau 32GB sudah cukup untuk merparking file-file sementara yang aku nak gunakan on-the-go, sementara penyetoran data (wahhh, ayat) bolehlah dilakukan di laptop. Tak cukup space jugak, kelak rembat laa hard disk baru. Muahahaha. Kerja leceh sikit, tapi jimat duit dan praktikal serta mampu milik dengan pendapatan aku. :P

Namun memikirkan semula nilai RM1600 (atau RM1900 untuk 32GB) tetap merupakanjumlah yang besar bagi aku. Sedangkan aku nak beli henset RM1200 hari tu pun rasa macam nak terjun bangunan je. Itupun keputusan diambil selepas jenuh berbulan-bulan bermuhasabah diri untuk menetapkan pendirian. Nak tunggu lagi berbulan-bulan sebelum aku angkat iPad kelak makin pudar laa keterujaan ini bila teknologi mereka silih berganti nanti.

Maka sekali lagi, terpaksa laa aku mengangan-angankannya sahaja dahulu buat masa ini. Tengok laa tahun depan rezeki aku macam mana.

Haih~ kalau laa aku ada bonus hujung tahun enam bulan gaji, kan ke best? :P

Tengah dalam dok berangan-angan, Cik Puteri Kura-Kura kita pulak mewar-warkan di fesbuk beliau contest untuk menang iPad. Contest dia tak ada laa susah sangat. Simple tapi remeh. Maknanya semua orang ada peluang nak menang tapi tak semua boleh menang. Memang adat contest laa tu namanya kan. Keh keh.

Jadi entri ini dihasilkan untuk membujuk rayu Cik Puteri kita tadi untuk joinkan contest neh bagi pihak aku. Kalau kita menang kita kerat dua laa iPad tu Intan. Kau separuh aku separuh. Wakakaka… Cam haram je suggestion.

Nah, video untuk sesiapa yang kalau ada masih tertanya-tanya apa seronoknya melayari internet menggunakan iPad. Bab movie dan gaming tu korang boleh bayangkan sendiri je laa ye. Ngeh ngeh.