Masuk ke kedai 7 Eleven pada jam 11.45 malam membuatkan aku sedikit tergezut. Tetiba nampak macam meriah je. Dengan kelibat dua kanak-kanak yang mungkin baru meniti alam persekolahan rendah, serta kaunter yang penuh dengan makanan-makanan ringan, aku terasa macam kat shopping complex pulak; cuma terasa lebih sempit je.
Walaupun niat aku kurang murni ketika masuk ke situ, aku tahu etika pelanggan yang perlu aku patuhi dan menunggu giliran sebelum aku dilayan petugas kaunter. Agak ambik masa jugak laa tapi aku tak kisah. Aku bukan nak cepat pun.
Al kisah si bapa kanak-kanak tersebut membayar harga barangan yang telah diambil, dan tercetus satu nada suara, “Huh, Cornetto?” Aku terkesima seketika kerana menyedari jam dah menghampiri 12 malam. Kejadah makan eskrem memalam buta neh?
Selesai sahaja urusan pembelian oleh aku, rupa-rupanya baru aku perasan bahawa customer yang ramai-ramai tadi tu sebenarnya terdiri dari satu keluarga.
Di luar premis, si bapa menegur anaknya yang kecil, “Nak makan Cornetto konon, abah bagi makan telur sampai bulan depan baru tau,” si anak tergelak mengejek. Si ibunya pula manja melayan anaknya untuk membuka bungkusan kertas eskrem tersebut.
Dan mereka turut memiliki sepasang teruna dan dara berusia belasan tahun sebagai anggota keluarga mereka. Si abangnya yang telah membeli 3 jenis snek makanan ringan membelek-belek hasil pembeliannya tadi. “Along nak habiskan semua ke?” Si dara bersuara.
“Ahh, ko diam ngah. Kalo hilang satu, aku carik ngko je jap gi. Takde orang lain dah...” abangnya bernada keras biarpun bersuara perlahan.
Segerombolan, mereka menuju ke parking kereta. Aku terkejut lagi. Rupanya mereka beramai-ramai cuma menaiki Kelisa. Ketika ini soal talipinggang keledar tempat duduk belakang tidak lagi menjadi persoalannya. Apatah lagi melihatkan si ibu yang cuma tambah satu 'X' je lagi dalam saiz bajunya berbanding aku, tak boleh aku nak bayangkan bagaimana mereka berkompromi untuk berkongsi ruang.
Aku teringat ketika aku kecik-kecik dulu. Aiskrim ‘cup’ paling kecil yang harganya 50 sen (zaman tu) disebut sebagai Cornetto oleh mak aku. Permainan susun bongkah yang dibeli di pasar malam disebut Lego oleh bapak aku. Malah kakak-kakak aku sering merujuk ‘jajan’ sebagai Chick-a-Dees biarpun mungkin jenama lain seperti Rota atau Super Ring yang kami beli.
Hakikatnya taktik psikologi yang digunakan bapak aku berkesan, sekurang-kurangnya untuk membuatkan kami buta jenama dan tidak double-standard dalam memilih produk yang kami beli. Biar rupanya nampak sama, asalkan harganya murah. Berbanding hari ini, kanak-kanak yang cuma memiliki PS-One pun sudah galak diejek dan dimalukan oleh rakan-rakan yang memiliki PS2.
Di sebalik keningku yang terangkat melihat senario keluarga tadi, aku tersenyum kecil kerana bangga akan jatidiri bangsa melayu. Bagi aku, apa yang aku lihat tadi tetap tak tumpah seperti yang keluarga aku pernah alami berbelas tahun lalu. Kagum aku, di sebalik kos sara hidup yang semakin demand, dengan ibubapa pening kepala mahu membayar sewa rumah, hutang kereta, bil astro, yuran bas sekolah dan sebagainya, masyarakat melayu masih mengekalkan perhubungan keluarga yang ceria dan rapat.
Dengan si ayah yang suka memerli perihal susahnya mencari duit, dengan si ibu yang memanjakan anak, dengan si abang long yang dengki dengan adik-adik, dengan keletah anak-anak kecil yang memerintah nak itu dan ini tanpa belum mengerti kepayahan mencari rezeki, kita orang melayu di zaman ini sebenarnya tidak banyak berubah dari dua dekad yang lepas. Yang berbeza mungkin penggunaan handphone dan internet. Tapi jatidiri itu masih ada dan tersemat utuh.
Mereka, adalah potret sebuah keluarga sihat dari segi hubungan batinnya. Sesuatu yang enak dan selesa untuk aku amati. Sesuatu yang membuat aku tersenyum kecil sepanjang atas motorsikalku. Sesuatu yang telah aku hilang dan semakin lupa akan perasaannya kini.
10.2.09
JAM 11.45 MALAM
di-Post-kan oleh Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) pada Tuesday, February 10, 2009 5 KoMen
Label: Interpretasi Umum, Jiwang - ness Melanda, Pena Dari Meja Pujangga
5.2.09
Hari Ini Hari Apa?

Siapakah beliau? Beliau adalah Cristiano Ronaldo. Seorang pemain bolasepak bagi pasukan Portugal serta untuk sebuah kelab yang tidak ternama. Hari ini beliau berumur 24 tahun.
Pada usia 24 tahun, beliau sudah bergelar antara pemain yang terbaik di muka bumi. Dengan gajinya toksah nak kira laa, belum campur yuran tajaan iklannya lagi.
Membuatkan aku teringat peristiwa 6 tahun lalu. Ketika aku dan bapak aku sama-sama menonton bola.
“Abah, tengok Ronaldo tu. Umur dia baru sebaya Atan tapi dah boleh ganti Beckham.”
“Dia main bola dapat juta-juta. Ko main game dapat apa?”
Pedas sekali ayat bapakku itu. Tapi tak kisahlah. Dah memang kenyataan dan hakikat.
Pada harijadi ibu Ronaldo setahun atau dua tahun lepas (aku tak berapa nak ingat) beliau telah membelikan ibunya sebuah kereta Mercedes baru. Untuk harijadi beliau hari ini pula, taktau laa mak dia nak kasi apa, kan. Mungkin jersi design terbaru pasukan Real Madrid kot? (Heheh!)
Setakat ni hadiah yang paling mahal aku dapat dari mak aku pun adalah pembiayaan untuk aku mengambil lesen motor sewaktu aku berumur 16 tahun dahulu. Sekarang ni tatau laa kalau boleh dapat hadiah mahal-mahal lagi ke tidak.
Tapi kalau boleh dapat, agak-agak korang apa yang aku nak mintak?
1.Perodua Kelisa 1.0 model 2006 ke atas (dah siap pasang sport rim dan audio system) – RM25000+++
2.Laptop Compaq Presario B-1900 12.1 Inch Display (fokus kepada kuasa grafik dan RAM. Processor dengan kapasiti harddisk aku tak ambil pusing sangat sebab nak buat main game. Kalau dapat tahan lasak punya lagi laa aku berterima kasih) – RM2500++
3.Nokia Xpressmusic 5700 dengan memory card 2 gig, dan support 3G (nak buat second henset) –RM800+
Bila korang dah agak-agak time besday aku sampai nanti, bolehlah mula mencari barang-barang yang dinyatakan di atas serta membungkusnya dengan rapi agar dapat dijadikan hadiah untuk aku nanti. Oke?
~UN-TONG-LAHHH!~
di-Post-kan oleh Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) pada Thursday, February 05, 2009 0 KoMen
Label: Makan Bola, Pena Dari Meja Pujangga
26.1.09
ANJAKAN PARADIGMA BANGSA MALAYSIA
Tertarik untuk mengulas tentang beberapa topik yang cuba diketengahkan sesetengah pihak. Ramai yang menyalahkan bangsa Melayu serta pemikiran kolot orang timur di negara kita sebagai punca kekangan transformasi modenisasi negara.
Ada yang menyatakan kita masih takut dan tidak mahu berfikiran terbuka untuk membincangkan isu-isu sensitif yang semakin tahun semakin memberi kesan negatif terhadap struktur sosial negara kita. Ada yang mahu membincangkan soal pendidikan seks, soal hak kesama-rataan gender, isu hak asasi manusia (Miranda Right), pandangan serong dan negatif masyarakat terhadap mangsa rogol, penagih dadah, penghidap Aids, bekas banduan, pesalah sosial (pengkhalwat, gay dan murtad). Di sana sini masyarakat masih membincangkan kewajaran untuk isu ini dibincangkan secara terbuka - bincang sebelum berbincang. Yang ajaibnya, soal tiada kena mengena pula yang lebih diberi perhatian. Ada yang mengkritik pemain bolasepak kita tak boleh maju kerana fizikal yang berbeza dengan orang Eropah (pandangan tradisionalis), dan ada yang kata orang melayu terlalu dimanjakan dengan imbuhan-imbuhan istimewa, disebabkan itu melayu mundur dari segi ekonomi kerana tidak berdaya saing (pandangan modenis).
Apa yang menjadi persoalan adalah perdebatan ini berterusan sehingga dimanipulasi dalam pentas politik sedangkan pihak yang ada kuasa berhubung perlaksanaannya terus berdiam diri berpeluk tubuh mengharapkan kebisuan dan tindak tanduk unilateral mereka akan membuahkan hasil ‘win-win situation’ buat semua rakyat Malaysia.
Adalah sememangnya satu hakikat bahawa negara kita amat menggalakkan kemajuan dari segenap aspek demi membina imej negara yang lebih berpengaruh dan berwibawa tidak kiralah dari sudut ekonomi atau dasar luar yang lebih diterima masyarakat antarabangsa. Namun pada masa yang sama kita juga dipupuk untuk berbangga dengan jatidiri bangsa, patriotisme negara serta semangat perpaduan yang disebut sebagai paling unik dalam dunia.
Jadi di sebalik sifat gah dan bangga diri ini, tertanya-tanya apakah usaha kita sebenarnya dalam mempertahankan mahupun mengukuhkan lagi aset rohani bangsa Malaysia ini? Sekali lagi aku ingin memberi perhatian bahawa impak modenisasi tidak boleh menutup mulut golongan pro-moden ini dari terus bersuara. Maka apakah langkah yang diambil bagi mengimbangi sosiologi dua paksi ideologi ini selain mengatakan “A pun kami terima, B pun kami setuju.”
Aku tak nampak apa, melainkan kelihatannya suara-suara pro-moden ini semakin mendominasi ruang yang ada agar suara mereka dapat disampaikan di seluruh negara. Semakin lama kita seakan-akan menuju ke arah negara Islam Sekular yang berprinsip ‘buat dosa tak apa, selagi masih hidup atas dunia’. Fokus kerisauan aku yang sebenar adalah kelenyapan budaya timur yang selama ini kita jaja sebagai keunikan Malaysia. Bila itu telah hilang nanti, tergadailah satu-satunya kelebihan yang kita miliki.
Bila bercakap tentang anjakan paradigma, ia lebih tepat dinilai sebagai ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’. Apa yang perlu kita semua sedari bahawa anjakan ini sebenarnya bukanlah satu keperluan, tapi satu proses kelangsungan transformasi negara; sama ada ke arah yang lebih positif mahupun negatif.
Wallahu’alam...
di-Post-kan oleh Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) pada Monday, January 26, 2009 2 KoMen
Label: Interpretasi Umum, Poli - Tikus
23.1.09
PENGURUS ATAU JURULATIH?
Untuk menjadi seorang pengurus atau jurulatih sebuah pasukan bolasepak, aku tidak memiliki ciri utama yang diperlukan; iaitu kemampuan ataupun ilmu bermain bola. Ya, aku kaki bangku. Seorang kaki bangku yang juga mungkin tangan bangku kerana tidak boleh perform sebagai goalkeeper sekalipun.
Atas sebab itulah apabila aku bermain game FIFA Manager, adalah tidak masuk akal sekiranya aku diberi tanggungjawab menguruskan sesi latihan untuk sesebuah pasukan. Maka aku lantik dua pembantu pengurus yang berpengalaman untuk mencorak bentuk latihan berkumpulan serta latihan intensif yang memberi tumpuan dari sudut taktikal.
Jadi apa fungsinya aku dalam arena pengurusan bolasepak? Jangan lupa bahawa aku masih merupakan ketua pengurus. Segala soal belanjawan termasuk perpindahan pemain masih tertakluk di bawah kuasa aku. Sekiranya jurulatih pasukan memilih individu tertentu sebagai calon favourite untuk diserap dalam pasukan, tugas aku pula adalah memilih pemain yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan. Selaku pengarah teknikal juga, aku bertanggungjawab untuk merancang kem latihan dan mengatur perlawanan persahabatan yang boleh memberi pulangan dari segi wang mahupun perkembangan setiap pemain. Aku juga akan membuat assestment sekurang-kurangnya setahun ke hadapan demi memastikan objektif pasukan pada musim akan datang kelihatan realistik untuk dicapai.
Demi prestij, sememangnya tugas aku agak banyak dan besar, dan aku sentiasa memberi komitmen terbaik agar level aku dapat meningkat sekaligus menerima kenaikan gaji yang mendadak selepas pembaharuan kontrak aku nanti. Namun yang pastinya, segala-galanya tetap jua terletak pada rejim latihan yang akan menentukan kekuatan sebenar pasukan secara hakiki.
Di Eropah, sistem yang aku amalkan ini adalah agak janggal kerana kebiasaannya seorang pengurus akan menjadi ketua jurulatih. Seorang jurulatih yang baik (tahu ilmu bermain bola dan selok belok pengurusan sesi latihan) adalah orang yang lebih tahu bagaimana untuk menguruskan pasukan samada sekiranya memerlukan pertambahan skuad atau menyusun formasi terbaik. Mungkin mereka tidak memiliki kepakaran pengurusan kewangan yang diperlukan lantas bertindak melantik ketua eksekutif untuk membuat keputusan yang bijak supaya pasukan tidak bangkrap di kemudian hari. Namun yang pastinya pengurus tetap adalah ketua bagi setiap pekerja melihatkan ramai pengurus yang overruled keputusan pakar kewangan ini. Akhirnya mereka menemui jalan buntu apabila hutang menimbun.
Di Malaysia, berbeza pula caranya. Tugas kejurulatihan dan pengurusan merupakan dua jawatan yang berbeza. Ini mungkin kerana pasukan-pasukan besar di Malaysia didalangi oleh persatuan negeri yang menerima imbuhan modal dari kerajaan pemerintah. Pasukan kebangsaan sendiri pun dinaungi Sultan Pahang menunjukkan golongan Diraja ini amat berkepentingan dalam sistem urus tadbir pasukan-pasukan bolasepak kita. Maka atas dasar ini, perlunya ada seorang pengurus pasukan yang memiliki ilmu ‘public relation’ atau ‘kabel yang kuat’ bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.
Dalam soal ini, aku nak menyentuh tentang corak pentadbiran pasukan bolasepak negara serta persatuan-persatuan yang menyertai liga yang dipertandingkan. Azman Adnan (bekas pemain kebangsaan) pernah muncul dalam sebuah rancangan televisyen menyarankan dua usul untuk dikaji yang bagi aku adalah amat masuk akal sekali.
Pertama, mereka janganlah pandang ke belakang. Yakni tidak usah kembali ke dasar lama biarpun ia pernah membuahkan hasil ketika itu. Kerana zaman kini sudah berubah. Dan sememangnya kalau mahu maju, kita kena terus kehadapan. Sebagai contoh, tindakan FAM mengharamkan pemain import untuk musim ini kelihatan merugikan dan sedikit dungu kerana kita seolah-olah kebuntuan idea, lalu mengambil jalan mudah melarikan diri dari masalah berbanding dengan cuba menyelesaikannya dengan resepi dan gaya tersendiri.
Kedua pula, soal kebajikan pemain perlu diberi perhatian, Tidaklah bermakna perlu diadakan skim KWSP dan sebagainya. Yang menjadi perhatian adalah soal gaji. Kerana gaji pemain bola ini cuma boleh diraih dalam sekitar 10-15 tahun kerjaya mereka. Kerana itulah pemain-pemain profesional dunia memiliki nilai gaji yang kedengaran tak masuk akal sedangkan gaji yang mereka terima itu sebenarnya berpatutan dengan komitmen, mutu permainan serta hanya untuk tempoh yang agak singkat berbanding dengan kerjaya lain dalam dunia.
Rumusan yang boleh aku buat adalah; pandangan sesetengah pihak supaya FAM menurunkan tahap liga kepada Semi-Pro atau Amatur adalah tidak masuk akal sekiranya kita mahukan komitmen yang lebih tinggi dari pemain. Jangan jadikan isu pemain Malaysia tidak berkualiti dari segi fizikal. Pemain kita mampu menjalani latihan seperti di Eropah, cuma kita perlukan sistem pengurusan dan kejurulatihan yang baik andaikata kita mahu membina skuad yang mantap. Sekurang-kurangnya untuk melepasi kelayakan Piala Dunia dalam masa 10 tahun akan datang.
Soal pemain import pula, musim lepas memperlihatkan respon positif dari peminat yang kembali memeriahkan stadium untuk menyaksikan penyerang-penyerang handalan beraksi, membawa kepada pertambahan keuntungan hasil tiket. Selain faktor perkembangan ekonomi pasukan, ahli pasukan tempatan yang lain pula berpeluang belajar dan menimba pengalaman dari corak permainan mereka ini. Soal pemain tempatan dipinggirkan sepatutnya tidak timbul kerana kita ada sistem kuota yang ketat, bukan seperti England. Malah kuota kita lebih sempit dari yang ditetapkan di Liga Sepanyol.
Memandangkan isu pembayaran gaji yang menjadi punca utama, masalah ini telah aku amati ketika sedang bermain FIFA Manager. Pihak pengurus sepatutnya terpaksa akur dengan belanjawan yang telah dibentangkan pengurusan tertinggi yang diputuskan melalui status kewangan dalam bank. Walaupun belanjawan ini agak fleksibel, tetapi persatuan tetap ada hak untuk mengekang pengurus dari membuat sebarang perbelanjaan berisiko tinggi.
Maka FAM sepatutnya menumpukan ke arah perlaksanaan sistem ini. Biarpun mungkin sedikit sukar untuk mencampuri atau menegur urusan persatuan-persatuan negeri, namun atas nama perkembangan bolasepak negara, perkara ini perlu dilaksanakan. Ini kerana asimilasi kedua pihak ini sangat penting. Sekiranya pemain pasukan negeri tidak berkualiti, bagaimana FAM nak menjalankan tugas memperkasakan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa?
Aku, memang kaki bangku. Tapi kalo setakat Khairy Jamaludin tu, celah gigi aku. Heheh!
~Kerek Sehh!~
di-Post-kan oleh Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) pada Friday, January 23, 2009 0 KoMen
Label: Makan Bola
19.1.09
Kedai Kecil Bernama ‘Cubus’
Sedarkah anda akan kewujudan sebuah kedai yang bersifat seperti ada daya tarikan mistik untuk membuatkan para pengunjungnya seakan ketagih untuk melepak di sana? Tidak, aku bukan bercakap tentang premis perjudian atau rumah urut. Kat sana memang ketagih pun tapi ramai yang tahu dan sedar akan keburukannya. Yang aku sedang berbicara ni adalah tentang kedai mamak.
Kedai mamak sering digunakan sebagai tempat persinggahan atau pertemuan sosial buat aku dan kawan-kawan. In this case, kedai mamak bernama Impian Maju menjadi lokasinya. Aku samakan ia seperti Succubus (Incubus untuk jantina lelaki), iaitu makhluk wanita syaitan yang peranannya adalah menggoda para lelaki, merubah sifat mereka, lalu menyedut segala kekuatan sehinggalah para lelaki-lelaki ini hancur atau mati.
Ini kerana aku melihat kedai mamak ini seumpama telah menjadi satu kemestian dan tak boleh diubah biarpun sebenarnya terdapat banyak lagi pilihan yang lain. Tak kira kalau tumbuhnya kedai melayu, atau Mekdi, atau Kepsi atau apa sekalipun di sekitarnya, hakikatnya kedai mamak ini tetap akan menjadi kunjungan setia aku dan kawan-kawan.
Apakah kami memang suka dengan keadaan ini? Mostly tidak bersetuju pun. Sudah acapkali aku mendengar suara-suara yang mencadangkan untuk kami berpindah lokasi melepak apabila melihatkan beberapa aspek yang tidak memuaskan hati kami di kedai mamak ini. Ada yang komplen dari segi layanan, gelas yang tidak dibasuh dengan sempurna sehingga teh tarik boleh berperisa limau pulak, ada yang mengatakan ayam gorengnya sudah dua hari dipanaskan. Tapi peliknya setiap kali nak buat plan berpindah, mesti tak menjadi.
Apakah kami telah di-mandrem? Hoho, dakwaan yang sangat keras di situ. Tetapi yang peliknya, terdapat bukti-bukti yang menyokong dakwaan ini.
Okeh, aku tidak bercakap dalam lingkungan aku dan kawan-kawan aku saja kali neh. Senang cerita apa kata kita melihat dari sudut yang lebih luas. Perasankah anda, kebanyakan mereka yang makan di restoran mamak jarang mintak kurangkan harga? Memang ada suara-suara yang komplen tentang harga yang tinggi tapi biasanya dorang tetap jugak bayar je harganya.
Berbeza di kedai lain (kedai melayu laa), boleh terbang pinggan mangkuk di atas meja andaikata tokey kedai meletakkan harga yang terlalu tinggi. Tak payah nak carik contoh, perihal kes ikan tongkol berharga RM45 itu pun pasti masih segar dalam memori anda.
Kisah yang berlaku di Terengganu (kalau tak silap saya) itu amat mendukacitakan. Ini kerana sikap keanak-anakan seorang lelaki tak sedar diri yang mengakui beliau telah melakukan seuatu yang betul. Ceritanya begini:
Al-kisah seorang hamba Allah yang memiliki seorang isteri yang sedang sarat mengandung, dipinta untuk dicarikan kepala ikan Tongkol. Mengidam, kata isterinya. Gusar kalau-kalau terkena kempunan, maka si suami pun keluar mencarik biarpun waktu itu sudah agak lewat untuk mencari juadah tersebut.
Sampainya beliau di satu restoran ini, beliau bertanyakan saki baki kepala ikan Tongkol yang masih tinggal. Tokey kedai mengatakan sudah habis dijual. Yang ada cumalah untuk dimakan beliau sahaja.
Menyedari ini sajalah satu-satunya peluang yang mungkin ada, si suami tadi pun memujuk rayu untuk membeli ikan tersebut. Beliau tahu sekiranya beliau berganjak ke kedai lain, mungkin beliau takkan dapat menemui apa yang dicari.
Melihat kesungguhan lelaki itu, makcik tokey kedai ini mungkin mahu menguji iman lelaki tersebut agar beliau tidak lagi memaksa untuk dijualkan ikan itu; lalu makcik tokey kedai meletakkan harga tak masuk akal iaitu RM45.
Tanpa disangka, lelaki itu mengambil jalan mudah dengan bersetuju lantas membayar RM50 dan diberikan pulangan baki RM5 (bayangan penulis sahaja).
Setelah pulang ke rumah dan menghadiahkan kepada isterinya apa yang diingini, mungkin tiba-tiba terdetik rasa kesal dalam jiwa lelaki ini kerana telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk juadah makan yang belum tentu mengenyangkan. Sedangkan duit tersebut boleh digunakan untuk isi minyak kereta selama seminggu. Ataupun mungkin juga setelah diceritakan akan kisah ini kepada isterinya, si suami dimarahi kerana dianggap diperbodoh-bodohkan makcik tokey kedai itu.
Lantas beliau mengambil keputusan untuk mengadukan perkara ini kepada pihak berwajib sementelah beliau sendiri adalah pegawai kerajaan yang bertugas di Putrajaya.
Lalu tersebarlah di dada-dada akhbar tempatan dengan headline berbunyi seperti “Ikan Tongkol Paling Mahal Dalam Dunia” atau “Ikan RM45 : Peniaga Restoran Menipu Pelanggan.”
Rata-rata si pembaca yang belum mengetahui kisah sebenar menganggap makcik tokey kedai sebagai peniaga tak bertanggungjawab kerana menjual ikan dengan harga sebegitu tinggi. Walhal cerita sebenar belum lagi diketahui. Begitulah nasib generalisasi terhadap kedai melayu ini.
Sedangkan di kedai mamak tidak berlaku pun perkara ini. Padahal mungkin ada kisah yang lebih teruk tapi tak kedengaran pula di media. Berapa orangkah di antara anda yang pernah bertanyakan sekiranya kedai mamak ini ada menghidangkan kari lembu atau tidak? Ini agak penting kerana sekiranya pelayan kedai tersebut mengatakan tidak ada, dikhuatiri kedai tersebut bukanlah kedai mamak (India Muslim) sebenar. Kerana orang india beragama Hindu tidak akan sanggup menyediakan kari lembu sebagai hidangan, sepertimana kedai melayu atau Islam tidak sanggup menjual babi salai di kedai mereka.
Ada blogger yang pernah menyatakan, meniaga makanan ini adalah yang paling mudah dan menguntungkan. Memang benar. Margin modal dan pulangannya adalah sangat besar. Kerana itu tidak kira bangsa apa pun, ramai peniaga yang memilih industri ini untuk mencari rezeki.
Aku pun tidak memiliki jawapan akan misteri kedai mamak ini. Mungkin kerana keselesaannya kot. Dengan pilihan diberi kepada pelanggan sama ada untuk makan di dalam (mempunyai kipas) atau di luar kedai (lebih seronok untuk bergelak besar bersama rakan-rakan) dan sesetengahnya juga menyediakan skrin layar besar untuk menonton bola.
Mungkin kerana itulah soal harga atau komplen yang pelbagai ini tak menjadi punca untuk kami bertukar lokasi. Ini kerana di pengakhirannya, yang lebih penting adalah kepuasan. Mazidul Akmal Sidek sendiri pernah melepak di sebuah Kopitiam popular di sebuah kompleks membeli belah tetapi tidak menyedari bahawa beliau membayar harga 60 sen untuk secawan air kosong. Sudah tentulah apabila beliau menyedarinya maka beliau membuat bising di studio Malaysia Hari Ini kerana beliau adalah wartawan. Tetapi berapa ramai pulak dari kita yang sememangnya sedar tapi sekadar memejamkan mata ketika membayar di kaunter?
~Harap-harap Otai Burger akan bukak cawangan restoran seperti Mekdi~
di-Post-kan oleh Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) pada Monday, January 19, 2009 7 KoMen
Label: Interpretasi Umum
