2.1.10

HMI : KOLEKSI GEMILANG

Vokal Jaclyn Victor dikenali ramai kerana kemantapannya. Ia juga kekal konsisten apabila Jac perlu menyanyi lagu yang mempunyai nada tinggi. Tapi Jac belum ada kosert solo seperti yang pernah dijayakan Datuk Siti Nurhaliza. Jadi kita tak tahu samada kualitinya benar-benar teruji atau tidak.

Beliau kini sudah bergelar artis profesional maka persoalan itu tidak sepatutnya timbul. But it’s nice kalau kita dapat menguji semaksimum yang mungkin sejauh mana Jac boleh menarik pitchingnya.

Dalam album terbaru Jac, beliau ada menyanyikan semula lagu Gemilang, disertai juga dengan medley puluhan lagu lain yang antaranya pernah tersenarai dalam anugerah-anugerah tertinggi seni nyanyian negara.



Walaupun video yang aku tampilkan ini rakaman di dalam studio, tetapi aku tetap harus memuji beliau terutama bila beliau menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu. Ye, aku tau ramai lagi artis yang beliau cover memiliki kehebatan vokal masing-masing tetapi kalau anda terasa ingin nak berkaraoke lagu Amy Search, haruslah anda tepuk dada tanya selera berulang-ulang kali.

Tak sabar nak menunggu beliau menyanyikan lagu ini secara live.

1.1.10

CERITA 1970

Terasa seperti mahu mencilok idea orang lain di tahun baru ini. Keji kan? Aku curik dari blog ini.



PERKARA : Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari-Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

1. TUJUAN

1.1 Garis Panduan ini disediakan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam dalam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam supaya tidak berlaku perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

1.2 Garis Panduan ini juga menjadi asas rujukan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menganjur majlis perayaan orang bukan Islam bersama dengan orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan syubhat atau acara yang bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai Islam.

2. PENDAHULUAN

2.1. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mengadakan majlis-majlis perayaan sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan lain-lain. Perayaan tersebut adalah Hari Raya Idul Fitri, Tahun Baru Cina, Depavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. Ia disambut melalui konsep penganjuran “rumah terbuka nasional”, bertujuan meningkatkan persefahaman dan sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum serta fahaman agama di negara ini.

2.2 Persoalan timbul di kalangan masyarakat Islam tentang apakah hukum turut merayakan perayaan agama lain. Ada pendapat yang mengatakan hukum merayakan hari perayaan agama lain adalah haram. Mereka bimbang perbuatan tersebut boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa kefahaman bahawa semua agama adalah sama.

2.3 Dalam mengatur hubungan antarabangsa, kaum dan agama di negara ini agar tidak menimbulkan kekeliruan dan prasangka dalam pergaulan khususnya bagi umat Islam, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakarahnya pada 1 dan 2 Oktober 1970 yang secara khusus menyentuh mengenai rumah ibadat telah memutuskan;

“Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka”

2.4 Pada dasarnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan orang bukan Islam. Pandangan yang membenarkan orang Islam merayakan hari perayaan orang Islam adalah berdasarkan pandangan berikut;


i. Kekeliruan dari sudut hukum tentang merayakan hari perayaan agama lain atau dalan konteks masa kini “rumah terbuka nasional” adalah berpunca daripada fahaman yang kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu. Jika maksud merayakan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia maka ia adalah diluar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka. (Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

ii. Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi seseorang Islam yang turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas`alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).

2.5 Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan berikut;

i. Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)

ii. Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)

2.6 Berdasarkan persoalan hukum tersebut maka pihak yang menganjurkan majlis tersebut perlu meneliti adakah perayaan yang dianjurkan mempunyai unsur agama atau semata-mata bercirikan kebudayaan. Kedua-dua unsur ini perlu diteliti dalam memastikan sambutan perayaan tersebut tidak menyinggung sensitiviti keagamaan terhadap orang awam yang menyertainya.

3. TAKRIF

3.1 Simbul

Maksud simbul dalam garis panduan ini adalah sesuatu yang mewakili sesuatu yang lain, lambang, tanda (Kamus Dewan).

3.2 Ciri

Maksud ciri dalam garis panduan ini adalah sifat (unsur, tanda) yang khusus pada sesuatu (yang membezakannya dengan yang lain) (Kamus Dewan).

3.3 Tunduk

Maksud tunduk dalam garis panduan ini adalah kepala atau muka condong ke hadapan (Kamus Dewan).

3.4 Upacara

Maksud upacara dalam garis panduan ini adalah majlis menurut adat (kebiasaan, agama), kermaian atau peralatan (menurut adat) (Kamus Dewan).

3.5 Budaya

Maksud budaya dalam garis panduan ini adalah tamadun, peradaban, cara berkelakuan (berfikir dsb), kemajuan (akal budi), kebudayaan (Kamus Dewan).

3.6 Dakyah

Maksud dakyah dalam garis panduan ini adalah penyiaran (penyebaran) sesuatu ideologi (doktrin, pendapat dsb) untuk mendapat sokongan, propaganda (Kamus Dewan).

3.7 Mempersenda

Maksud mempersenda dalam garis panduan ini adalah mempermainkan (dengan gurau senda), memperolok-olokkan, mengejekkan(Kamus Dewan).

3.8 Sensitiviti

Maksud sensitiviti dalam garis panduan ini adalah perihal perihal sifat mudah merasai sesuatu (mudah tersinggung, bergerak balas dsb (Kamus Dewan).

3.9 Kriteria

Maksud kriteria dalam garis panduan ini adalah beberapa ukuran (asas pertimbangan) untuk menentukan nilai (Kamus Dewan).

4. KRITERIA PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM YANG BOLEH DIHADHIRI OLEH ORANG ISLAM

4.1 Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam boleh dihadhiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

4.1.1 Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbul-simbul agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.


4.1.2 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.


Contohnya:

i. Memakai pakaian bewarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

4.1.3 Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli sunnah wal jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menyolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.


4.1.4 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyingung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.


4.1.5 Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.


5. PENUTUP

Sekiranya terdapat keraguan atau ketidakjelasan dalam mentafsir dan melaksanakan Garis Panduan ini hendaklah merujuk kepada;

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
Blok D7, Parcel D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502, PUTRAJAYA
Tel: 03-8886 4253



P/S : Entri ini bukan sahaja dibuat sempena Krismas yang dah lepas, tapi juga untuk 1 haribulan 2010 ini dan kesemua hari-hari kelepasan am yang berkaitan di Malaysia. Sekian, harap maklum.



Lalalalala...

31.12.09

AZAM – TIDAK SEMESTINYA NAMA ORANG

Seperti yang dijanjikan, aku akan memperincikan semula azam-azam aku tahun 2009 di entri kali ini untuk dibuat review sejauh mana pencapaian yang telah aku lakukan sementelah tahun 2009 bakal meninggalkan kita lewat hari ini.

Oh, terasa seperti entri ASCORP 2009 ku itu seolah-olah baru dipostkan bulan lepas. Sungguh cepat masa berlalu. Tapi bukan masa yang harus disalahkan, hakikatnya dunia akhir zaman ini, kita memang sering dilekakan dengan perkara-perkara yang tidak perlu menjadikan jadual hidup kita lebih padat dengan pelbagai aktiviti harian sekaligus membuatkan kita tidak sedar bahawa kita berada dalam kerugian, hanya kerana disebabkan masa kita yang tidak diisi dengan betul.

Kehidupan kita di Malaysia sendiripun sudah cukup berbeza berbanding 50 tahun lalu sebelum merdeka. Apatah lagi jika kita nak bandingkan dengan zaman Nabi 1400 tahun yang lalu.

Eh, tiba-tiba buat ceramah agama pulak.

Baiklah. Secara kolektifnya, azam tahun lepas aku merangkumi lima perkara asas yang saling bergantung di antara satu sama lain untuk membina kualiti hidup aku selaku orang yang perlu sedar bahawa aku kini bukan lagi di bawah tanggungan mak bapak aku. Ya, sindrom selaku anak manja membuatkan aku lambat untuk belajar berdikari, tapi tidak bermakna bahawa aku sememangnya mahu lepas tangan sambil menyanyikan lagu ‘Que sera-sera, whatever wil be, will be’. Aku tahu aku perlu banyak melakukan perubahan drastik demi untuk membina jatidiri yang lebih cemerlang supaya aku dapat hidup sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun lagi akan datang.

Berikut adalah azam aku untuk tahun 2009:


1. Membeli laptop – membuang terlalu banyak masa mengadap PC di rumah mengajar aku bahawa sesungguhnya kehidupan aku berlandaskan sekitar hiburan multimedia yang dibekalkan teknologi canggih ini. Seumpamanya sekiranya anda membeli iPhone semata-mata kerana anda gemarkan perhubungan internet ‘on-the-go’, aku pula memerlukan PC untuk melayan nafsu aku menonton DVD filem-filem Hollywood terbaru, bermain game bolasepak mahupun The Sims, menulis cetusan minda (yang sebelum ini sering dicoret dalam diari tetapi seringkali hilang saban tahun akibat tak ingat letak kat mana), mendengar lagu-lagu MP3 dan ‘banyak’ lagi. Memandangkan aku tidak memiliki kesempatan masa untuk mengadap PC di rumah 24 jam, maka pemilikan laptop adalah amat perlu supaya aku boleh kekal menghiburkan diri di mana saja aku berada terutama ketika di tempat kerja. Alhamdulillah setelah bermuhasabah diri lebih kurang sebulan lamanya, akhirnya aku berjaya memberanikan diri untuk membeli sebiji laptop yang memiliki kuasa diperlukan.

2. Rajin membuat overtime – pekerjaan aku ini gajinya amat sedikit jika dibandingkan dengan kerja lain. Maklum laa pekerja bidang di bawah Akta Buruh ini tak boleh demand banyak sangat macam orang lain. Tak boleh nak claim bonus atau cuti tahun. Cara terbaik untuk membuat sebanyak mungkin pendapatan yang diperlukan bagi mengisi keperluan ekonomi aku saban bulan, aku sedar aku perlu rajin membuat overtime pada setiap peluang yang ada. Azam ini tercapai berikutan pembelian laptop membuatkan aku tak perlu selalu pulang ke rumah dan lebih rajin untuk meluangkan masa untuk bekerja, maka Alhamdulillah gaji aku kini sudah meningkat lebih 100% berbanding ketika aku bekerja sebagai freelance despatch pada tahun lepas.

3. Mencari awek baru – selaku lelaki yang memiliki sembilan nafsu, sudah pasti aku jeles melihat orang lain berpacaran sambil ada tempat mengadu terutama ketika perasaan jiwang tiba-tiba melanda diri di tengah malam. Hasrat aku untuk mencari teman cintan didorong juga perasaan aku yang mahu ‘mengetest’ market untuk melihat sejauh mana lakunya aku sebagai lelaki yang sebenarnya memang tak hensem langsung pun. Namun setelah banyak kali berfikir secara sendirian, aku teringat akan pesan seseorang yang mengatakan “Jika awak berkawan dengan saya niat nak main-main, lebih baik awak lupakan saja sebab saya tanak berkongsi dosa dengan awak.” Terbaca pula entri Cik Tirah beberapa bulan lepas, aku berasa setuju dengan pandangan beliau iaitu dalam Islam ni takde istilah kapel. Sekiranya anda kepinginkan seseorang sebagai pasangan anda, lebih baik anda pasang niat untuk mendirikan rumahtangga bersamanya. Dengan itu ia tidak lagi bermaksud kapel, tapi lebih kepada konsep tunang cuma anda tidak mengikut adat melayu dengan memberikan cincin dan hantaran-hantaran lain seumpamanya. Perhubungan yang sebegitu bagi aku lebih afdal kerana kita akan meletakkan diri kita dalam satu komitmen yang dilandaskan pada tujuan murni iaitu mahu membina masjid. Masalahnya sekarang aku belum bersedia nak berkahwin dengan sesiapa sementelah aku sendiri sedang berusaha belajar untuk menangggung diri sendiri. Jadi azam yang ini telahpun aku tangguhkan terlebih dahulu semenjak bulan 6 atau 7 yang lepas sehinggalah ke satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

4. Kembali meng’online’kan diri – hidup dalam dunia maya beberapa tahun lepas memperkenalkan aku dengan geng lanun di Yahoo Messenger. Di samping menambahkan rantaian sosial, sebenarnya kehidupan baru aku di alam maya itu telah banyak mengajar aku akan realiti kehidupan. Sedikit sebanyak membuatkan aku sedar bahawa dunia luar tidak sama seperti yang aku jangkakan/mahukan selama ini. Jadi aku telah belajar untuk tidak mengulangi kesilapan lama dan mahu berubah menjadi orang yang lebih baik. Medium seperti Myspace dan blogspot telah banyak membantu aku mengisi masa lapang di samping cuba mencari kekuatan diri yang boleh aku trampilkan di dunia nyata. Sekiranya tidak, maka selama-lamanya aku akan terperangkap dalam dimensi dunia tertutup yang aku cipta sendiri di mana di dalamnya akulah raja akulah hamba. Menyedari ini bukan perkembangan yang baik dalam usaha aku untuk berubah, maka aku memahami keperluan untuk aku kembali online sambil melihat dunia sekeliling menggunakan teknologi maklumat sedia ada. Akhirnya aku berjaya mendapatkan jalur lebar dengan harga dan speed bersesuaian yang aku perlukan agar aku dapat terus aktif berblog serta mengintai dari kacamata orang lain juga. Alhamdulillah buat kali ketiga.

5. Menyimpan sekurang-kurangnya RM100 sebulan dalam ASB – jika sebelum ini pendapatan aku cuma menjangkau RM600-RM700 sebulan, sememangnya aku mengalami kesukaran untuk menyimpan duit barang RM50 cuma sekalipun. Ada masa aku dapat simpan, ada masanya tidak. Setelah aku menyematkan 4 azam di atas, aku memikirkan dengan gaji aku yang sudah berganda kini, dapatlah aku kembali melambakkan simpanan ASB aku supaya dividen akhir tahun aku bercambah dengan banyak sekaligus boleh melayan kehendak aku yang ada masanya mahu meng’upgrade’ henset, ada pula ketika terasa seperti gatal mahu bercuti ke pulau-pulau peranginan di seluruh Malaysia. Namun, walaupun dengan gaji yang bertambah, hakikatnya hutang aku juga turut bertambah. Belum lagi kalau nak congak kos sara hidup yang semakin meningkat. Ye laa, sebelum ini aku cuma makan di kedai sekali sehari (working days) kini aku perlu menyediakan ongkos untuk makan kedai 2 kali sehari. Tambahan pula di sekitar Cyberjaya/Putrajaya ini bukan mudah nak dapat harga makanan yang murah. Maka hasrat aku nak buat simpanan tetap ini masih juga tak kesampaian sebaliknya cuma mengikut lebihan wang yang ada andaikata tiada keperluan untuk berbelanja lebih.



Secara rumusannya aku berjaya mencapai 3 daripada 5 teras azam yang telah aku gariskan untuk tahun 2009 ini. Bagi azam 2010 aku, masih belum aku ketahui jumlahnya yang sebenar. Masih dalam rangka kertas cadangan tetapi aku tetap berpegang kepada pendirian tidak mahu menceritakan butirannya kepada sesiapa sebelum tirai 2010 berlabuh nanti. Doakan agar akal aku dapat mencari azam yang bersesuaian dan baik-baik sahaja dan mudah-mudahan aku dapat mencapainya dalam jangkamasa tempoh satu tahun akan datang. Insya-Allah.

30.12.09

JANJI : EPISOD 2

Benci. Benci aku. Aku benci membuat janji. Asyik-asyik nak memungkiri. Asyik-asyik tak boleh tepati.

Satu-satunya janji yang aku berani, adalah janji pada diri sendiri; dan itu pun aku buat dengan berhati-hati, kerana aku tahu bukan semua boleh aku hajati. Aku tetap ada batas kemampuan diri.

Bila orang menagih janji, aku mempersetujui, dengan niat mahu menyertai, serta menyumbang ihsan yang aku mampu, atas dasar ia sesuatu yang perlu.

Bila tiba masa yang ditunggu, aku tidur seperti batu. Dikejut-kejut berbagai cara tuju, tetap tak terbukak jugak mata aku. Akhirnya masa berlalu, rasa kecewa pahit hempedu.

Aku tak sengaja. Aku tak terlupa. Cuma kadangkala, aku mangsa kepada masa.

Seandainya masa tak menghukumku, kadangkala soal duit pula menjadi kekanganku. Selain itu, kamu perlu tahu bahawa keutamaanku kepada keluargaku. Andai mereka memerlukanku, tiada guna kamu menyeru.

Okeh, secara simplenya, aku cuma nak cakap ini. Sekiranya ada rancangan yang diatur, tinggalkan ruang kosong untuk aku. Seandainya aku dapat pergi, aku akan pergi. Seandainya tidak, aku akan menolak. Seandainya wang yang menjadi pertaruhan, tak ajak aku pun aku tak akan meroyan. Anggap sahaja aku ini pemain simpanan: “Kalau Ajai join, best jugak, kalau Ajai tak join pun tetap best jugak.”

Aku lebih suka hidup secara spontan. Biar kehadiranku ini bergantung pada kesempatan. Jikalau hari ini kau ajakkan, hari ini juga aku akan bagi jawapan. Kalau minggu depan, kita tengok macam mana keadaan.

Aku dah malas berjanji. Aku cukup suka memungkiri. Lagipun, apalah gunanya perancangan andai ia tak dapat persetujuan?

Lalalalalala…

29.12.09

ALL ABOUT IMPROV : EPISODE 2

Jika semalam kita sudah bincangkan komedi improv dari kacamata barat, hari ini aku nak menyentuh mengenai industri seni lawak di Malaysia pula.

Di Malaysia, kita sudah dibiasakan dengan konsep sketsa tak kira sama ada lakonan di studio atau lakonan babak-babak yang telah disusun awal mengikut skrip. Bercakap tentang studio, kita memang amat mengenali sitcom seperti Senario dan pelbagai lagi yang sama waktu dengannya. Bagaimanapun ada lakonan babak seperti sitcom Jangan Ketawa dan terbaru adalah Alamak yang disiarkan di Astro. Di RTM pula, mereka lebih selesa melakonkan sketsa berlandaskan kisah setempat atau kemasyarakatan yang dikupas secara am seperti konsep yang pernah kita tonton dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Rancangan Ah-Ha yang pernah aku petik semalam lebih berlandaskan improv yang dicedok dari Amarika kerana jika kita melihat gabungan idea Din Beramboi, Harith Iskandar dan Afdlin Shauki ternyata banyak yang dibuat secara spontan ketika sketsa-sketsa tertentu dirakam. Ini tidak hairan kerana aku percaya Afdlin merupakan antara peminat setia improv apabila mencedok konsep Whose Line Is It Anyway secara bulat-bulat ke dalam rancangan Spontan yang diterbitkannya yang boleh ditonton di Astro Warna ketika ini.

Perbincangan aku mengenai industri perlawakan negara dengan seorang pak lawak yang kecut telurnya apabila disuruh masuk ujibakat Raja Lawak; iaitu Encik Amri, beliau telah banyak mengambil contoh lawak Johan dan Zizan untuk dijadikan bahan rujukan. Johan dan Zizan merupakan peserta musim pertama Raja Lawak yang mana pada mulanya peserta-peserta awal ini masih dalam keadaan terpinga-pinga untuk cuba mencari identiti sebenar rancangan realiti tersebut. Cuma beberapa minggu selepas bertanding secara solo (yang mana sepatutnya digarap sebagai stand-up comic versi melayu) akhirnya mereka berdua dipadankan untuk membuat satu persembahan bersama. Kerana masih berasaskan konsep stand-up (tanpa prop), maka teknik improv telah digunakan beberapa kali oleh mereka ketika itu memperlihatkan hala tuju baru bidang komedi bahasa melayu/Malaysia. Sebagai contoh, Zizan membuka jaketnya dan mencampakkan dalam kereta (secara imaginasi) yang membuatkan Johan sedikit terkejut, menandakan mereka tidak berlatih untuk babak tersebut. Ini yang dipanggil sebagai ‘tawaran’ yang pernah aku cerita sebelum ini yang mana memerlukan Johan untuk membalas reaksi Zizan secara spontan dan bersesuaian.

Bagaimanapun jika diperhatikan secara teliti, sifat Johan sebenarnya lebih suka membina mukadimah terlebih dahulu sebelum memberikan punchline lawak yang hendak disampaikan. Ini bermakna Johan sudah bersedia awal dengan lawaknya tersendiri dan Zizan cuma dilihat lebih banyak mengikut rentak Johan. Namun keistimewaan Zizan adalah beliau seorang yang cukup spontan dan sentiasa ada idea untuk menerima tawaran Johan tersebut. Inilah konsep improv yang sebenar, sedikit berbeda dengan cara lawak otai-otai terdahulu seperti Sabri Yunus, Ali Mamak atau Abon yang mana mereka kebiasaannya berlatih terlebih dahulu untuk memastikan pasangan mereka faham dengan tawaran yang ingin disampaikan dan sudah bersedia lebih awal untuk menyambutnya.

Seorang lagi pelawak Malaysia yang cukup hebat dalam improv ini adalah Aznil Haji Nawawi biarpun beliau lebih dikenali sebagai Emcee (Master Ceremony) berbanding pelawak. Aku mengklasiifikasikan beliau sebagai pelawak kerana beliau pernah menunjukkan bakat komedi beliau dalam bentuk novel bertajuk ‘Yo! It’s Me, Okay!’ berbelas tahun yang dulu. Kerana itu gandingan beliau dan Din Beramboi dalam Radio Era tampak begitu serasi dan menjadi-jadi. Kerana Din Beramboi juga seorang yang pandai menyambut tawaran improv ini.

Aku sebenarnya tertunggu-tunggu untuk improv mula diperkenalkan secara giat dan aktif oleh pelawak Malaysia kerana bagi aku lawak improv lebih bijaksana disamping mengajak penonton untuk berfikir dalam cuba memahami lawaknya. Benar, aku setuju dengan pandangan bahawa Sepah tetap memiliki lawak berkualiti dan hakikat bahawa lawak itu perlu disampaikan secara santai tanpa perlu sebarang kerumitan kerana idea asalnya adalah untuk membawa minda penonton menjadi rileks; tetapi variasi yang ditawarkan improv sebenarnya membolehkan para pelawak mengekalkan momentum lawak mereka pada kadar jangkamasa yang lama dan tidak lapuk dek hujan. Kerana pelawak improv biasanya memiliki stail lawak yang tersendiri seperti kebanyakan pelawak lain, cuma pelawak improv sentiasa tak lekang dengan idea baru dan kepelbagaian yang unik untuk membuatkan para penonton tak kering gusi.

Kita ambil contoh Wayne Brady yang memiliki bakat dalam bidang nyanyian. Apabila beliau terjun ke dalam bidang improv, beliau mengasah bakat beliau untukmencipta lirik secara spontan maka beliau bebas untuk membuat lawak mengikut tema yang diberi atau kesesuaian situasi semasa dalam nyanyian beliau. Di Malaysia, kita ada Dato’ Jamali Shadat yang berbakat untuk meniru mimik selebriti terkenal; tetapi tanpa improv, lawak beliau akan kelihatan sama atau linear sepanjang zaman dan tidak ada pembaharuan.

Aku menyokong lawak yang bijak kerana ia menggamit penonton untuk mentafsir sendiri lawak tersebut sebelum mendapati ia sebagai sesuatu yang kelakar. Apabila setiap individu membuat penilaian tersendiri, maka secara automatik ia akan diangkat sebagai satu cabang seni. Berikut adalah antara lawak-lawak Malaysia yang aku kira sebagai bijak yang aku kumpul melalui permerhatian sendiri serta cadangan dari pak lawak takde telur seperti yang aku ceritakan di atas tadi:

“…saya ternampak satu eksiden motor. Brader pembonceng motorsikal tu menjerit mintak tolong dan mengadu sakit. Saya tensen pastu saya sound dia : Bang, rilek bang. Rilek. Tak payah jerit-jerit bang. Tengok kawan abang tu, senyap je. Abang baru putus kaki, dia putus kepala tapi dia diam je…” – Zizan, Raja Lawak 1

“Kenapa adik karate adik punya kentut? Sebab adik mahu membebaskan diri adik dari kentut adik. Bila adik kasi potong sama itu kentut, maka kentut itu sudah tertinggal dan adik sudah bebas…” – Nabil, Raja Lawak 2

“Sepanjang aku jadi pramugara neh, aku ada dua pengalaman yang aku memang tak boleh lupa; ye laa sebab aku pun baru kerja dua hari kan…” – Sepah, Raja Lawak 3

Kenapa aku kata ini sebagai lawak bijak? Kerana ia memerlukan penyampaian yang sesuai dan bersahaja. Kalau salah cara, punchline itu mungkin tidak akan sampai kepada penonton. Tambah buruk lagi sekiranya anda ketawakan diri anda sendiri ketika membuat lawak-lawak tersebut, sudah pasti hasilnya akan nampak lebih tak kelakar.

Di sini baru kita dapat menilai pelawak mana yang memiliki bakat serius dalam bidang mereka, dan paling penting bagaimana kita mahu mencari pelawak yang boleh bertahan lama kerana kita mesti faham ini sajalah punca pencarian rezeki mereka. Sekiranya mereka benar-benar hebat, apa salahnya kita memberi peluang pada mereka menjadikan bidang lawak sebagai karier sepenuh masa mereka, bukan?

Oh, aku takde Astro kat rumah. Selalunya menumpang tonton di rumah kakak aku sahaja. Maka janganlah anggap entri ini sebagai entri mahu mempromosikan Raja Lawak 4 ataupun Astro Warna sekalipun sebab aku memang tak ambil peduli kecuali bila Raja Lawak dah sampai pusingan akhir nanti. Yang aku ingin tekankan di sini, adakah lawak improv ini memiliki masa depan yang cerah di Malaysia? Aku rasa Afdlin Shauki dan rakan-rakan pasti menyedari potensi ini dan sedang cuba membawa pentas lawak kita ke satu arah yang lebih dinamis dan berdaya saing tinggi. Sama-samalah kita tunggukan.