24.12.09

MAI LAA KITA BERPAKAT-PAKAT

Dah lama rasanya tak cerita pasal politik. Bersempenaan dengan Konvesyen Pakatan Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini, begitu hebat nampaknya jalan yang sedang dirintis oleh ketiga-tiga parti komponen iaitu PKR, PAS dan DAP dalam usaha mereka mahu mencabar UMNO-BN untuk menuju ke arah sistem pemerintahan dua parti.

Apa yang aku harapkan berlaku adalah tumbangnya kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia selama lebih 50 tahun itu. Tidak, aku tidak kata BN itu busuk hingga ke ususnya. Ada di kalangan ahli BN yang masih teguh berpegang kepada amanah rakyat dan membuat kerja dengan berhemat dan jujur. Aku percaya Anwar Ibrahim sendiri pun tidak akan menafikan perkara ini lantaran beliau sendiri masih ada rakan-rakan dalam UMNO-BN.

Apa yang aku mahu lihat adalah satu bentuk reformasi yang menyeluruh. Dari struktur badan kehakiman, ketelusan agihan pendapatan, sehinggalah kepada kebebasan media yang mutlak. Aku memahami akan natijah kebebasan bersuara (freedom of speech) seperti yang diamalkan di barat. Aku juga fahami kebertanggungjawaban kita untuk menilai terlebih dahulu bicara kita sebelum kita secara tidak sengaja boleh menyakitkan hati orang lain. Tetapi kesedaran akan tanggungjawab itu diperolehi melalui didikan. Dan di Malaysia ini, kita tidak dididik untuk menilai sesuatu dengan baik apabila kita dimomokkan dengan berita-berita berat sebelah malah diapi-apikan dengan semangat bermusuhan di antara satu seteru politik dengan yang lain.

Secara peribadinya ketika aku mula-mula disampaikan berita bahawa Pakatan Rakyat mahu mendaftarkan diri sebagai satu pakatan parti yang sah, aku mula berasa was-was akan agenda yang akan didukungi mereka ini. Sedia maklum kita mengetahui Tsunami 8 Mac 2008 didorongi dengan penyertaan PKR secara agresif setelah Anwar Ibrahim mendapat kebebasan. Walaupun beliau tidak dibenarkan bertanding ketika itu, kelibat beliau saja sudah cukup untuk menggamit kembali penyatuan PAS dan DAP yang pernah dikenali sebagai Barisan AlternatIf pada 1999.

Dan Anwar Ibrahim pula merupakan bekas orang paling kanan UMNO sebelum beliau disingkirkan pada 1998. Maka tidak mahu tidak kita kena akui bahawa Anwar (atau PKR) merupakan serpihan UMNO. Ya, hari ini beliau boleh lantang mengecam dan mengutuk segala tindak tanduk UMNO tetapi beliau tidak boleh menafikan bahawa apa yang pernah beliau sokong 10 tahun lepas sebagai satu kesilapan teknik atau apa bentuk kesilapan sekalipun. Integriti beliau adalah pada fahaman beliau yang menyatakan beliau berada di pihak yang benar; tidak kiralah apa saja bentuk rakaman video atau dokumentasi 10 tahun yang lepas yang disebarkan kepada umum sekalipun.

Jadi apabila Pakatan Rakyat hendak disahkan sebagai parti rasmi, seumpamanya ketika UMNO menjemput MCA dan MIC untuk menyertai Perikatan ketika pasca merdeka dahulu; setelah Tunku Abdul Rahman kebuntuan idea apabila pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar tidak memberi restu untuk keahlian UMNO dibuka kepada bukan melayu. Ia sama prinsip dengan istilah ‘if you can’t beat them, join them’, cuma dengan sedikit twist di hujungnya.

Antara kekuatan yang aku lihat ada pada Pakatan Rakyat selain keazaman para pengundi yang semakin membenci puak UMNO-BN dan ingin melihat ego mereka tercalar; bagi aku Pakatan Rakyat merupakan satu pakatan yang dibentuk oleh rakyat, bukan oleh ahli politik itu sendiri. Kita kena ingat bahawa wakil rakyat sebenarnya bekerja untuk kita. Kita adalah majikan mereka dan mereka bukannya tuan kepada kita. Teknik pemerintahan pula tertakluk kepada dasar demokrasi yakni majoriti memerintah keseluruhan. Bukannya Perdana Menteri mengarahkan sesuka hati. Itu namanya kuku besi.

Ketakutan yang paling menggusarkan; andaikata Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sama seperti UMNO-BN, iaitu menutup suara-suara yang tak berpuashati dengan cara menyalurkan ia ke satu saluran kosong (biasanya digelar sebagai lembaga displin) supaya suara-suara ini tenggelam terus dengan hasrat mahu menjaga imej parti. Ini adalah antara resepi paling buruk yang pernah dijaja UMNO-BN. Dan untuk rakyat menyedari akan hal ini pun, mengambil masa 50 tahun untuk sedar dan bangkit menentang kezaliman kaedah ini. Makanya, apakah yang boleh dijanjikan Pakatan Rakyat agar perkara sedemikian tidak berulang?

Benar, pergolakan dalaman parti atau perbezaan dasar telah membuktikan rakyat akan menjadi jelik untuk terus memberi sokongan. Tetapi pendekatan bestari harus dijadikan landasan buat gagasan baru Pakatan Rakyat ini. Permasalahan utama kini adalah apabila kesemua pihak berkepentingan mengamalkan dasar berat sebelah secara terbuka. Kehakiman, Pilihanraya, Pencegahan Rasuah, kesemua ini dibawah organisasi Suruhanjaya pun tampaknya masih menyebelahi UMNO-BN pada prinsipnya. Belum lagi nak sentuh PDRM dan media. Seandainya ini dapat kebebasan, aku percaya gelanggang pertarungan boleh dibuka dengan lebih ‘jantan’ supaya rakyat sendiri dapat menilai apakah pilihan terbaik yang mereka ada.

Andaikata ini tidak menjadi asas perjuangan Pakatan Rakyat, maka maaflah aku nak kata; pi mai pi mai tang tu jugak depa neh…

Sekarang bukan masa nak bertelagah mengenai isu ‘poster siapa yang harus digantung di Batu Caves’ atau ‘siapakah yang mengamalkan kronisme’ atau juga ‘siapa tali barut Amerika sebenarnya’. Fahami apakah perjuangan politik yang sebenarnya, dan anda akan lebih terbuka mata untuk melihat kenapa Pakatan Rakyat PERLU menumbangkan Barisan Nasional pada PRU-13 nanti.

3 KoMen:

Mak Su said...

maksu tak paham bab2 politik ni, bab2 beli susu, beli lampin pakai buang pandai ler... ;)

Mohammad Al-Aiman said...

bila nk sembang politik mcm tempoh hari?
smpai org nk tutup kedai la kn kita sembang
dasat
dasat
haha
=D

Akeji Hiroshi (formerly known as Mr. Ajai) said...

maksu : itupun politik gak. politik rumahtangga namanye.

aiman : kalah sidang parlimen. wakakaka...

(aku tgh prektis ketuk meja neh)

Post a Comment

Any Comment? Anybody?