22.11.10

SUSUN SELIPAR

Tengah hari tadi, Encik Ijal ada mem-feed-kan video budak kena libas dengan rotan sebab ponteng sekolah kat facebook beliau. Aku terus terkenang betapa ngerinya aku masa kecik dulu setiap kali ternampak mak aku menggenggam penyangkut baju dawai besi kat rumah. Itu tandanya ada laa yang nak kena sebat tuh.

Zaman sekarang penyangkut baju plastik lebih disukai ramai. Tapi kalau digunakan untuk melibas, tak lut dek budak-budak. Sempat pecah berkecai dulu penyangkut tu nanti. Zaman aku dulu, seringkali jugak aku dengan kakak-kakak aku buat dek je bila dengar mak aku terpekik dari dapur suruh buat itu dan ini. Biasanya kitorang ‘sibuk’ dengan menonton TV atau buat hal masing-masing. Tapi automatiknya bila mak aku muncul kat ruang tamu dengan penyangkut baju di tangan, tiba-tiba semua bersepah lari tak cukup tanah. Ada yang masuk bilik kunci pintu laa apa laa. Aku pernah cabut keluar rumah (masa tu aku duduk apartment kuarters kat tingkat 3) sambil melompat 4-5 anak tangga sekaligus untuk ke tingkat bawah.

Sejurus membuatkan aku terkenang pula aktiviti permainan budak-budak taman kami waktu petang sebelum maghrib. Aku tak berapa ingat nama game tu tapi kalo tak silap aku Susun Selipar. Tapi mungkin jugak antara kami memanggil ia sebagai Cop Bola. Ia agak mudah, tidak terlalu terikat sangat dengan peraturan bagai-bagai, bertenaga dan memerah keringat, penuh dengan aksi-aski stunt takleh blah dan acara berpasukan. Maka ia dijamin meriah!

Permainannya mudah, melibatkan dua pasukan – tak kira laa berapa ramai pun, berbelas-belas orang setiap pasukan lagi best – yang boleh kita beri nama sebagai Team Susun dengan Team Kejar (istilah aku reka sendiri. :P). Bahan-bahan yang diperlukan adalah dua pasang selipar jepun atau apa-apa saja selipar yang bersesuaian asalkan bukan Crocs (damn you Crocs!) dan sebiji bola tenis. 3 biji, err… 3 buah selipar akan disusun dalam bentuk ala piramid asalkan tegak berdiri dan sebelah lagi selipar yang tinggal akan dilemparkan seakan boomerang untuk menjatuhkan struktur selipar tadi. Team Susun akan melempar sementara Team Kejar akan standby belakang selipar dengan bola tenis digenggam di tangan. Sebaik sahaja selipar dijatuhkan, permainan penuh aksi akan bermula.

Biasanya tukang melempar terdedah dengan risiko awal untuk dicop kerana beliau paling hampir dengan bola. Namun sekiranya ahli Team Kejar tak dapat sasaran yang terdekat, mereka boleh saling pass bola untuk cop seberapa ramai orang untuk mematikan mereka. Ahli-ahli Team Susun yang berjaya mengelak bola boleh menyusun strategi untuk kembali ke tapak susun selipar. Jika selipar sempat disusun semula dalam keadaan tegak maka mereka menang. Jika Team Kejar dapat mengecop kesemua ahli Team Susun pula, Team Kejar akan menang. Pemenang boleh memilih untuk menukar peranan pasukan tapi kebiasaannya semua orang nak jadi Team Kejar sebab dapat melompat-lompat sambil merejam bola sesuka hati.

Tapi sebab zaman neh aku agak kecik lagi untuk main bersama kakak-kakak aku dan geng mereka (beza aku dengan dorang 5 tahun) jadi selalunya aku jadi ‘pelampung’ je. Bestnya jadi pelampung neh sebab aku takde berpihak mana-mana team. Asal dapat bola je aku boleh cop sesapa yang aku suka. Muahahaha. Manja sungguh aku. Bukan takat manja kat rumah je, kat padang permainan pun terbawak-bawak sama.

Adegan paling seronok bila buat aksi stunt melompat longkang sambil merejam. Kalau boleh buat aksi slow motion waktu tu alangkah gempaknya. Dan saat paling mendebarkan bila Team Susun menyangkakan mereka terselamat takde sapa perasan dorang tengah susun selipar, tiba-tiba kena debik dari jarak dekat arah belakang. Sungguh menghampehkan sekali perasaan itu.

Selain permainan itu rasanya kami ada main permainan lain macam ‘Pukul Berapa Datuk Harimau?’ tapi aku ingat-ingat lupa laa. Rule permainan pun banyak yang aku dah lupa.

Kalau dah takde benda lain nak buat, main masak-masak je dah laa. Mula-mula berlakon tidur, pastu ada sorang buat bunyi ayam berkokok – bangun pagi. Pastu jalan-jalan keliling taman kutip daun dengan ranting kayu. Bawak balik ‘rumah’ untuk dibuat masakan tengahhari. Bila aku pikir-pikir balik, rasa macam nak ketuk dahi sendiri je – macamlah dah takde permainan lain boleh main. Wakakaka.

Aku tak ingat aku pernah main kawen-kawen ke tak sebab aku takleh bayang aksi permainan aku tu. Keh keh. :P

Lepas artikel neh siap ditulis, tangan aku menggatal laa search istliah Susun Selipar kat gugel, sekali hambek ko nah – siap ada website lagi list-list permainan budak-budak yang korang boleh check balik.

Permainan Tradisi

Game no 19 – Lawan Bola merupakan game faveret zaman aku sekolah rendah masa aku tinggal kat Pahang. Hehe.