29.9.11

SYAJARAH (POHON)

Di dalam petikan Sinar Harian hari ini, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam ada menyebut; “kita tidak meletakkan atau menonjolkan keganasan (dalam buku teks sejarah di sekolah) kerana kita tidak mahu merosakkan pemikiran mereka, sebaliknya mahu mendidik persepaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.”

Ia merupakan sisipan isi perbincangan wacana Sinar Harian yang bertajuk Merdeka, Wajarkah Sejarah Ditulis Semula? Ayat tersebut adalah berikutan persoalan yang ditimbulkan Saifuddin Nasution tentang mengapakan peristiwa-peristiwa penting seperti Memali dan Kampung Medan tidak menjadi sebahagian pengisian sejarah kepada anak muda masa kini.

Sudah tentu perdebatan ini timbul dek kerana dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS mengenai kisah Mat Indera tidak berapa lama hari tu.

Ini adalah blog aku, blog peribadi, maka aku juga nak ulas dari sudut peribadi aku sendiri.

Anda mungkin familiar dengan istilah bohong sunat atau orang putih gelar sebagai white lies. Dari segi hukum Islam, usahlah ditanya kepada aku sebab aku tak reti nak menjawab sementelah banyak pula kajian yang perlu dilakukan untuk dijadikan fatwa dan sebagainya. Tapi apa yang aku nak tekankan di sini adalah konsepnya.

Adakah kita boleh menganggap penulis buku sejarah bagi syllabus pelajar sekolah telah melakukan white lies hanya semata-mata kerana mereka bersifat selektif dalam mengketengahkan isi yang mahu disampaikan pada para pelajar?

Aku rasa tidak. Kerana mereka tidak menipu. Mereka hanya dengan begitu licik ataupun connivingly tidak menceritakan perihal sebenar, dan disokong dengan alasan yang mereka rasakan adil.

Adakah ini satu perbuatan bermoral? Untuk bab ini, ia terlalu subjektif untuk diperkatakan kerana graf moral itu sendiri di antara satu manusia dengan yang lainnya tidak sekata. Kita boleh berpaksikan pada hipokrasi dengan mengatakan kita perlu buat itu dan buat ini untuk memastikan kita menjadi insan yang baik dan cemerlang sahsiah dirinya. Namun yang terbaik yang kita boleh buat sebenarnya cumalah menetapkan apakah paras minimum moral yang boleh diterima rakyat Malaysia. Kita tidak boleh berkata secara definitive bahawa setiap ajaran kepada murid sekolah itu tadi akan menampilkan hasil sebegini dan sebegitu sekian rupa.

Yang aku cuba bangkitkan adalah kesan akibat dari perbuatan kita sendiri. Manusia memang selalu buat salah. Itu aku tahu. Aku selalu buat salah. Zizan pun selalu buat salah dan selalu minta maaf (haha, lari topik). Tapi di samping kita selalu memikirkan bagaimana mahu menjernihkan kembali air yang telah keruh, kita selalu lupa bahawa apakah nasib mereka-mereka yang sudah terlebih dahulu meneguk air berkeruh tadi?

Baru-baru ni di Facebook aku ada terserempak dengan satu ‘hate page’ ataupun page yang dibuat atas dasar benci. Jika ia bermotif politik atau berniat mengganggu sensitiviti agama, aku boleh paham lagi kerana pemain-pemainnya adalah bertaraf orang besar, malah mungkin ada pengaruh antarabangsa juga. Tapi ‘hate page’yang aku jumpa ini berkenaan seorang gadis sekolah yang entahkan tingkatan berapa, digunakan identitinya untuk tujuan seolah-olah mahu menjaja tubuh di Facebook. Dan anasir yang telah mencipta fake account ini jugalah yang bertanggungjawab mempromosikan page ini serta mengajak handai taulan untuk mengutuk-ngutuk sipolan tadi di wall page tersebut.

Aku tak mahu ambik tahu apa yang menjustifikasikan tindakan anasir ini kerana aku memang tanak masuk campur. Cuma aku terfikir, andai hamba Allah yang berbuat angkara itu tadi mahu bertaubat, mampukah beliau kembali ke masa lampau untuk memperbetulkan setiap perbuatan salah yang beliau telah lakukan? Andaikatalah mangsa beliau tadi bertindak luar dugaan dengan membunuh diri dan sebagainya, apakah perkara terbaik yang beliau boleh ambil pun sebenarnya?

Kerana ini, aku selalu memikirkan akan akibat setiap yang kita lakukan, walaupun selalu jugak dicemuh oleh rakan seperjuangan dengan mengatakan aku terlalu banyak berfikir atau aku terlalu bersifat negatif dan sebagainya, namun sejauh mana beban berat tanggungjawab yang berani kita pikul sebenarnya?

Di dalam kes penulisan fakta sejarah di dalam buku teks tadi, aku terlihat ada satu perkara yang mungkin mereka terlepas pandang. Walaupun matapelajaran Sejarah yang diajar dalam konteks sekolah rendah dan sekolah menengah ini dianggap sebagai asas sahaja, tetapi kita kena ingat yang golongan yang kita ajar ini adalah golongan belasan tahun. Anak muda remaja yang emosinya, semangatnya dipengaruhi hormon aktif yang mana jika tersalah salur, boleh buruk padahnya.

Seawal usia bawah 10 tahun, kita masih lagi boleh menakut-nakutkan mereka agar sentiasa mendengar cakap kita. Tapi bila sudah remaja, pendekatan itu menjadi lain. Mereka akan lebih banyak bertanya, mempersoalkan, dan sering kedengaran perkataan ‘kenapa’ dan ‘mengapa’ yang membuatkan kita terkadang malas nak melayan.

Golongan inikah yang sesuai untuk kita berbohong?

Okeh, mungkin tidak berbohong. Macam yang aku katakan awal tadi, sekadar menyembunyikan perihal sebenar.

Namun apa natijahnya? Apa akan berlaku apabila, remaja-remaja tadi berinjak ke usia 20-an, menuntut di universiti-universiti yang mana bahan kajiannya lebih menyeluruh, lebih kritis, dipengaruhi pulak bahan wacana dari perspektif dunia luar dan sebagainya, dan bila timbul golongan mereka-mereka yang telah rasa ‘tertipu’ dengan sejarah negara sendiri? Boleh bayangkan tak apa kesannya ketika itu?

Kita seolah menggalakkan satu budaya menjual tanpa memasar. Seperti yang sering dipraktikkan banyak MLM beberapa tahun lalu. Yakni, “ini ada barangnya, ambillah, dan bayar kat aku. Jangan ditanya apa guna barang ini, jangan ditanya mengenai kualitinya, jangan ditanya dari mana ia terhasil, yang kamu perlu tahu, bahawa kamu sudah berurusan dengan aku, maka kamu adalah bisnesman.”

Budaya ini bukan saja menular dalam konteks syllabus pembelajaran, ia juga mempengaruhi unsur politikal, patriotisma, malah dalam pembelian kereta nasional sekalipun. Ia sebenarnya mempunyai kesan yang berpotensi menjadi begitu dahsyat, jika anda berfikir ke tahap ekstrim. 50 tahun peristiwa sudah berlalu, namun kisah Mat Indera ini telahpun menjadi isu. Apa akan berlaku pada generasi akan datang, 100 tahun lagi di masa depan?

Ketika kempen hari merdeka yang disambut pada 16 haribulan lepas, kedengaran di corong-corong radio suara-suara yang mengatakan “kita haruslah cintakan negara dan jalur gemilang kerana ia milik kita.”

Aku tidak nafikan pentingnya semangat patriotisma, tapi yang aku musykilkan, resam orang kita, barang free dibuang-buang, barang yang dibeli jugalah ditatang penuh sayang. Jadi, apakah sebenarnya nilai yang kita cuba ‘jual’kan kepada warga Malaysia jika produknya itupun kita tidak dibenarkan untuk persoalkan dari mana asalnya.

Memetik kata-kata seorang sahabat aku, “budak-budak sekarang neh Jai, sekali sekala kena bagi tengok darah. Kalau asyik bagi tengok pelangi je, lama-lama jadi gay pulak diorang tu nanti.”

*Penulis bukanlah tokoh akademik sebab ayat pun tunggang langgang, sekadar pandangan peribadi sahaja.