Tak lama dahulu sebelum Liga Super bermula, pernah dipostkan di facebook senarai pemain Kelantan bagi musim baru. Dan nyata-nyata ramai yang mengomen dengan nada bangga kerana hampir kesemuanya (jika tidak silap) adalah pemain anak jati Kelantan.
Secara jujurnya aku suka orang Kelantan. Aku sukakan mereka bukan kerana sifat atau perilakunya tapi lebih kepada demografik Kelantan itu sendiri. Di Kelantan dialek bahasanya adalah dialek universal antara semua kaum. Tidak kira apa bangsa pun mereka bebas untuk hidup dan mencari rezeki dan sebagainya; namun mereka masih bangga berkecek Kelantan. Samada ia kerana terpaksa akibat keperluan setempat atau tidak - apa yang penting adalah dialeknya benar-benar hidup dan disemai zatnya dalam setiap roh masyarakat di sana. Tidak hairan apabila ada seorang pelajar Cina di sana yang teruja untuk mempelajari bahasa arab di sekolah sehingga membolehkan beliau dipilih sebagai tokoh Maulidur Rasul yang lepas. Ini kerana jika berkecek Kelantan pun mereka fasih, mengapa tidak Arab? Walaupun sebenarnya aku akan jadi lebih teruja kalau beliau nak mempelajari subjek Pendidikan Islam. :P
Namun aku agak anti dengan sentimen berpuak-puak ini. Bila ada yang kata, “Ohh, dia neh anak Kelantan” atau “dia neh orang melayu kita”. Rata-rata ramai yang dah memang tahu aku penyokong pembangkang. Tetapi yang realitinya aku adalah anti-Umno disebabkan merekalah yang paling lantang melaungkan konsep ketuanan bangsa ini di pentas nasional.
Dari segi ajaran Islam yang aku faham setakat ini, tidak ada diajar mengenai konsep berpuak-puak. Jika ada yang bersetuju pun, mereka mumgkin akan kata secara kasarnya kita terbahagi kepada dua golongan; golongan kafir dan golongan umat Islam. Namun itupun aku masih kurang bersetuju. Kerana apa? Kerana garisan batasan definisi bagi kedua-dua maksud ini pun sangat kabur. Sebagai contoh; di dalam segerombolan umat Islam, tidak adakah di antara mereka yang munafik, atau mungkin sudah murtad sekalipun? Hanya tinggal Islam pada nama.
Dan untuk mengatakan golongan kafir itu sendiri adalah ahli neraka; selagi mereka belum mati dan diadili sendiri oleh Allah S.W.T, maka kita masih tidak berhak menjatuhkan hukum ke atas mereka. Kita bercakap mengenai hukum persepsi dan perspektif dan bukannya hukum undang-undang. Dari segi logiknya, satu hari nanti mereka boleh juga menjadi seorang pejuang Islam yang menegakkan syiar agama. Ini tidak mustahil. Lihat saja pada sejarah Saidina Umar Al-Khattab. Pada satu ketika beliau cukup digeruni oleh orang Islam sehingga memaksa orang Islam untuk beribadah secara sembunyi. Malahan apabila adiknya sendiri memeluk Islam tanpa pengetahuannya beliau sanggup menumpahkan darah saudara kandung sendiri akibat kebenciannya ke atas Islam pada masa itu. Namun hanya sehari selepas peristiwa itu beliau sendiri memeluk Islam dan ditakuti pula oleh golongan kafir Quraisy.
Berdasarkan hujah tersebut (cewah) ini menunjukkan Islam tidak mengajar kita untuk skeptikal dan membeza-bezakan antara satu puak dengan puak yang lain dari sudut superiority dan sebagainya. Dan semua orang jelas bahawa untuk menganut Islam adalah tidak mengira bangsa. Malah ayat paling famous dalam perdebatan laman-laman web politik (PAS vs. Umno) pun adalah “dalam kubur besok takda soalan yang tanya kau tu bangsa apa”.
Jadi aku merasa agak janggal apabila melihat sesetengah orang merasa bangga kerana darah yang mengalir dalam tubuh mereka. Jangan silap faham, aku tidak kata salah untuk berbangga. Cuma masalahnya tak ramai yang sedar istilah sebenar untuk bangga dan juga istilah riyak.
Bangga adalah sepertinya ketika anak yang kita tatang sepenuh jiwa sepanjang hidupnya berjaya mendapatkan markah tinggi di dalam peperiksaan di sekolah. Ia adalah satu kepuasan yang terbit setelah mengenangkan betapa bersusah payah kita mencari rezeki untuk memberi anak kita itu makan dan pakai, betapa sakitnya telinga bila anak kita menangis, merengek dan mengadu untuk dibelikan permainan yang kita tahu akan melekakannya dan menganggu prestasi pembelajaran, betapa menggigilnya tangan untuk merotan anak yang masih kecil kerana mereka tak mahu solat. Kejayaan mereka itu menjadi satu kebanggaan buat kita kerana mereka adalah darah daging kita sendiri. Hmm, nampak sama macam isi perenggan aku yang sebelum ini bukan? Mungkin sama, tapi tak serupa.
Kerana perasaan bangga ini boleh bertukar menjadi riyak. Riyak adalah apabila kita pusing keliling kampung mencanangkan bahawa anak kita yang mendapat markah tinggi itu tadi berjaya menempatkan diri dalam universiti terkemuka. Riyak adalah apabila mengatakan anak kita sudah berjaya walhal kita sendiri tak tahu samada benar atau tidak anak kita akan bergraduasi dari universiti tersebut dengan segulung ijazah. Dan hakikatnya ada pula kata pepatah mengatakan kejayaan seseorang tidak diukur pada ijazahnya. Ada nampak tak bezanya di sini? Di antara perasaan untuk mengatakan sesuatu itu lebih baik dari yang lainnya, dan juga perasaan untuk menikmati kejayaannya dalam skop kepuasan diri sendiri. Inilah garisan kabur yang aku cakapkan tadi.
Beberapa minggu lepas aku berpeluang menonton sebuah rancangan di History Channel bertajuk Race and Intelligence : Science's Last Taboo. Aku akui History Channel bukanlah channel terbaik dalam kelas dokumentari dan sebagainya sebab ada sesetengah program mereka yang kelihatan sangat murah dan terlebih sensasi semata-mata. Namun apa yang dibincangkan rancangan ini membuka mata aku untuk cuba melihat isu ini dari segala sudut yang mungkin ada. Kita tak boleh kata secara pasti kerana perencanaan Allah itu sememangnya satu misteri yang seluas alam semesta. Jadi kita cuma boleh mengolah sedikit secara fragmentasinya untuk memahami apa yang kita mahu tahu. Dan aku rasa aku faham bahawa kewujudan sesuatu kaum adalah untuk menyesuaikan diri mereka dengan penempatan yang mereka tinggal kerana struktur geografi bumi yang kaya dengan variasi iklim berbagai-bagai. Jadi jika Charles Darwin mahu mengatakan teori evolusi itu adalah fakta sains yang tidak boleh disangkal dan sekaligus menafikan kewujudan tuhan, aku boleh mengatakan teori revolusi itu sendiri menjelaskan kekuasaan tuhan mahukan segenap manusia bertebaran di seluruh pelosok dunia untuk menuai sumber bumi yang kaya raya ini.
Kesimpulannya mudah. Perbedaan bangsa itu memang wujud. Dan kita boleh berbangga. Dan kita boleh menjaga warisan. Kita boleh mahukan identiti kita terbela. Tapi bila kita mula melangkahkan diri kita menyeberangi batasan antara bangga dan riyak, maka kesudahannya kita sudahpun melakukan syirik yang kecil.
Ramai yang kata begitu mudah untuk kita ‘ter’buat dosa. Sebenarnya lebih mudah untuk mendapatkan (dan menggandakan) pahala. Cuma buat pahala neh kureng best sikit orang kata. Hahahaha. :P
Say no to racism.
“Macam ‘Familiar’ Kes Ni…” – Papar Pegang Seterika, ‘Mini Series’ Guaman Di
TikTok Dikritik Netizen, Dianggap Tidak Menjaga Sensitiviti Keluarga
-
Sebelum ini, negara kita telah digemparkan dengan kes kematian seorang
Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),
Allahyarham Zu...
4 hours ago