26.1.09

ANJAKAN PARADIGMA BANGSA MALAYSIA

Tertarik untuk mengulas tentang beberapa topik yang cuba diketengahkan sesetengah pihak. Ramai yang menyalahkan bangsa Melayu serta pemikiran kolot orang timur di negara kita sebagai punca kekangan transformasi modenisasi negara.

Ada yang menyatakan kita masih takut dan tidak mahu berfikiran terbuka untuk membincangkan isu-isu sensitif yang semakin tahun semakin memberi kesan negatif terhadap struktur sosial negara kita. Ada yang mahu membincangkan soal pendidikan seks, soal hak kesama-rataan gender, isu hak asasi manusia (Miranda Right), pandangan serong dan negatif masyarakat terhadap mangsa rogol, penagih dadah, penghidap Aids, bekas banduan, pesalah sosial (pengkhalwat, gay dan murtad). Di sana sini masyarakat masih membincangkan kewajaran untuk isu ini dibincangkan secara terbuka - bincang sebelum berbincang. Yang ajaibnya, soal tiada kena mengena pula yang lebih diberi perhatian. Ada yang mengkritik pemain bolasepak kita tak boleh maju kerana fizikal yang berbeza dengan orang Eropah (pandangan tradisionalis), dan ada yang kata orang melayu terlalu dimanjakan dengan imbuhan-imbuhan istimewa, disebabkan itu melayu mundur dari segi ekonomi kerana tidak berdaya saing (pandangan modenis).

Apa yang menjadi persoalan adalah perdebatan ini berterusan sehingga dimanipulasi dalam pentas politik sedangkan pihak yang ada kuasa berhubung perlaksanaannya terus berdiam diri berpeluk tubuh mengharapkan kebisuan dan tindak tanduk unilateral mereka akan membuahkan hasil ‘win-win situation’ buat semua rakyat Malaysia.

Adalah sememangnya satu hakikat bahawa negara kita amat menggalakkan kemajuan dari segenap aspek demi membina imej negara yang lebih berpengaruh dan berwibawa tidak kiralah dari sudut ekonomi atau dasar luar yang lebih diterima masyarakat antarabangsa. Namun pada masa yang sama kita juga dipupuk untuk berbangga dengan jatidiri bangsa, patriotisme negara serta semangat perpaduan yang disebut sebagai paling unik dalam dunia.

Jadi di sebalik sifat gah dan bangga diri ini, tertanya-tanya apakah usaha kita sebenarnya dalam mempertahankan mahupun mengukuhkan lagi aset rohani bangsa Malaysia ini? Sekali lagi aku ingin memberi perhatian bahawa impak modenisasi tidak boleh menutup mulut golongan pro-moden ini dari terus bersuara. Maka apakah langkah yang diambil bagi mengimbangi sosiologi dua paksi ideologi ini selain mengatakan “A pun kami terima, B pun kami setuju.”

Aku tak nampak apa, melainkan kelihatannya suara-suara pro-moden ini semakin mendominasi ruang yang ada agar suara mereka dapat disampaikan di seluruh negara. Semakin lama kita seakan-akan menuju ke arah negara Islam Sekular yang berprinsip ‘buat dosa tak apa, selagi masih hidup atas dunia’. Fokus kerisauan aku yang sebenar adalah kelenyapan budaya timur yang selama ini kita jaja sebagai keunikan Malaysia. Bila itu telah hilang nanti, tergadailah satu-satunya kelebihan yang kita miliki.

Bila bercakap tentang anjakan paradigma, ia lebih tepat dinilai sebagai ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’. Apa yang perlu kita semua sedari bahawa anjakan ini sebenarnya bukanlah satu keperluan, tapi satu proses kelangsungan transformasi negara; sama ada ke arah yang lebih positif mahupun negatif.

Wallahu’alam...

23.1.09

PENGURUS ATAU JURULATIH?

Untuk menjadi seorang pengurus atau jurulatih sebuah pasukan bolasepak, aku tidak memiliki ciri utama yang diperlukan; iaitu kemampuan ataupun ilmu bermain bola. Ya, aku kaki bangku. Seorang kaki bangku yang juga mungkin tangan bangku kerana tidak boleh perform sebagai goalkeeper sekalipun.


Atas sebab itulah apabila aku bermain game FIFA Manager, adalah tidak masuk akal sekiranya aku diberi tanggungjawab menguruskan sesi latihan untuk sesebuah pasukan. Maka aku lantik dua pembantu pengurus yang berpengalaman untuk mencorak bentuk latihan berkumpulan serta latihan intensif yang memberi tumpuan dari sudut taktikal.

Jadi apa fungsinya aku dalam arena pengurusan bolasepak? Jangan lupa bahawa aku masih merupakan ketua pengurus. Segala soal belanjawan termasuk perpindahan pemain masih tertakluk di bawah kuasa aku. Sekiranya jurulatih pasukan memilih individu tertentu sebagai calon favourite untuk diserap dalam pasukan, tugas aku pula adalah memilih pemain yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan. Selaku pengarah teknikal juga, aku bertanggungjawab untuk merancang kem latihan dan mengatur perlawanan persahabatan yang boleh memberi pulangan dari segi wang mahupun perkembangan setiap pemain. Aku juga akan membuat assestment sekurang-kurangnya setahun ke hadapan demi memastikan objektif pasukan pada musim akan datang kelihatan realistik untuk dicapai.

Demi prestij, sememangnya tugas aku agak banyak dan besar, dan aku sentiasa memberi komitmen terbaik agar level aku dapat meningkat sekaligus menerima kenaikan gaji yang mendadak selepas pembaharuan kontrak aku nanti. Namun yang pastinya, segala-galanya tetap jua terletak pada rejim latihan yang akan menentukan kekuatan sebenar pasukan secara hakiki.


Di Eropah, sistem yang aku amalkan ini adalah agak janggal kerana kebiasaannya seorang pengurus akan menjadi ketua jurulatih. Seorang jurulatih yang baik (tahu ilmu bermain bola dan selok belok pengurusan sesi latihan) adalah orang yang lebih tahu bagaimana untuk menguruskan pasukan samada sekiranya memerlukan pertambahan skuad atau menyusun formasi terbaik. Mungkin mereka tidak memiliki kepakaran pengurusan kewangan yang diperlukan lantas bertindak melantik ketua eksekutif untuk membuat keputusan yang bijak supaya pasukan tidak bangkrap di kemudian hari. Namun yang pastinya pengurus tetap adalah ketua bagi setiap pekerja melihatkan ramai pengurus yang overruled keputusan pakar kewangan ini. Akhirnya mereka menemui jalan buntu apabila hutang menimbun.


Di Malaysia, berbeza pula caranya. Tugas kejurulatihan dan pengurusan merupakan dua jawatan yang berbeza. Ini mungkin kerana pasukan-pasukan besar di Malaysia didalangi oleh persatuan negeri yang menerima imbuhan modal dari kerajaan pemerintah. Pasukan kebangsaan sendiri pun dinaungi Sultan Pahang menunjukkan golongan Diraja ini amat berkepentingan dalam sistem urus tadbir pasukan-pasukan bolasepak kita. Maka atas dasar ini, perlunya ada seorang pengurus pasukan yang memiliki ilmu ‘public relation’ atau ‘kabel yang kuat’ bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar.


Dalam soal ini, aku nak menyentuh tentang corak pentadbiran pasukan bolasepak negara serta persatuan-persatuan yang menyertai liga yang dipertandingkan. Azman Adnan (bekas pemain kebangsaan) pernah muncul dalam sebuah rancangan televisyen menyarankan dua usul untuk dikaji yang bagi aku adalah amat masuk akal sekali.


Pertama, mereka janganlah pandang ke belakang. Yakni tidak usah kembali ke dasar lama biarpun ia pernah membuahkan hasil ketika itu. Kerana zaman kini sudah berubah. Dan sememangnya kalau mahu maju, kita kena terus kehadapan. Sebagai contoh, tindakan FAM mengharamkan pemain import untuk musim ini kelihatan merugikan dan sedikit dungu kerana kita seolah-olah kebuntuan idea, lalu mengambil jalan mudah melarikan diri dari masalah berbanding dengan cuba menyelesaikannya dengan resepi dan gaya tersendiri.

Kedua pula, soal kebajikan pemain perlu diberi perhatian, Tidaklah bermakna perlu diadakan skim KWSP dan sebagainya. Yang menjadi perhatian adalah soal gaji. Kerana gaji pemain bola ini cuma boleh diraih dalam sekitar 10-15 tahun kerjaya mereka. Kerana itulah pemain-pemain profesional dunia memiliki nilai gaji yang kedengaran tak masuk akal sedangkan gaji yang mereka terima itu sebenarnya berpatutan dengan komitmen, mutu permainan serta hanya untuk tempoh yang agak singkat berbanding dengan kerjaya lain dalam dunia.

Rumusan yang boleh aku buat adalah; pandangan sesetengah pihak supaya FAM menurunkan tahap liga kepada Semi-Pro atau Amatur adalah tidak masuk akal sekiranya kita mahukan komitmen yang lebih tinggi dari pemain. Jangan jadikan isu pemain Malaysia tidak berkualiti dari segi fizikal. Pemain kita mampu menjalani latihan seperti di Eropah, cuma kita perlukan sistem pengurusan dan kejurulatihan yang baik andaikata kita mahu membina skuad yang mantap. Sekurang-kurangnya untuk melepasi kelayakan Piala Dunia dalam masa 10 tahun akan datang.


Soal pemain import pula, musim lepas memperlihatkan respon positif dari peminat yang kembali memeriahkan stadium untuk menyaksikan penyerang-penyerang handalan beraksi, membawa kepada pertambahan keuntungan hasil tiket. Selain faktor perkembangan ekonomi pasukan, ahli pasukan tempatan yang lain pula berpeluang belajar dan menimba pengalaman dari corak permainan mereka ini. Soal pemain tempatan dipinggirkan sepatutnya tidak timbul kerana kita ada sistem kuota yang ketat, bukan seperti England. Malah kuota kita lebih sempit dari yang ditetapkan di Liga Sepanyol.

Memandangkan isu pembayaran gaji yang menjadi punca utama, masalah ini telah aku amati ketika sedang bermain FIFA Manager. Pihak pengurus sepatutnya terpaksa akur dengan belanjawan yang telah dibentangkan pengurusan tertinggi yang diputuskan melalui status kewangan dalam bank. Walaupun belanjawan ini agak fleksibel, tetapi persatuan tetap ada hak untuk mengekang pengurus dari membuat sebarang perbelanjaan berisiko tinggi.

Maka FAM sepatutnya menumpukan ke arah perlaksanaan sistem ini. Biarpun mungkin sedikit sukar untuk mencampuri atau menegur urusan persatuan-persatuan negeri, namun atas nama perkembangan bolasepak negara, perkara ini perlu dilaksanakan. Ini kerana asimilasi kedua pihak ini sangat penting. Sekiranya pemain pasukan negeri tidak berkualiti, bagaimana FAM nak menjalankan tugas memperkasakan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa?

Aku, memang kaki bangku. Tapi kalo setakat Khairy Jamaludin tu, celah gigi aku. Heheh!




~Kerek Sehh!~

19.1.09

Kedai Kecil Bernama ‘Cubus’

Sedarkah anda akan kewujudan sebuah kedai yang bersifat seperti ada daya tarikan mistik untuk membuatkan para pengunjungnya seakan ketagih untuk melepak di sana? Tidak, aku bukan bercakap tentang premis perjudian atau rumah urut. Kat sana memang ketagih pun tapi ramai yang tahu dan sedar akan keburukannya. Yang aku sedang berbicara ni adalah tentang kedai mamak.

Kedai mamak sering digunakan sebagai tempat persinggahan atau pertemuan sosial buat aku dan kawan-kawan. In this case, kedai mamak bernama Impian Maju menjadi lokasinya. Aku samakan ia seperti Succubus (Incubus untuk jantina lelaki), iaitu makhluk wanita syaitan yang peranannya adalah menggoda para lelaki, merubah sifat mereka, lalu menyedut segala kekuatan sehinggalah para lelaki-lelaki ini hancur atau mati.

Ini kerana aku melihat kedai mamak ini seumpama telah menjadi satu kemestian dan tak boleh diubah biarpun sebenarnya terdapat banyak lagi pilihan yang lain. Tak kira kalau tumbuhnya kedai melayu, atau Mekdi, atau Kepsi atau apa sekalipun di sekitarnya, hakikatnya kedai mamak ini tetap akan menjadi kunjungan setia aku dan kawan-kawan.

Apakah kami memang suka dengan keadaan ini? Mostly tidak bersetuju pun. Sudah acapkali aku mendengar suara-suara yang mencadangkan untuk kami berpindah lokasi melepak apabila melihatkan beberapa aspek yang tidak memuaskan hati kami di kedai mamak ini. Ada yang komplen dari segi layanan, gelas yang tidak dibasuh dengan sempurna sehingga teh tarik boleh berperisa limau pulak, ada yang mengatakan ayam gorengnya sudah dua hari dipanaskan. Tapi peliknya setiap kali nak buat plan berpindah, mesti tak menjadi.

Apakah kami telah di-mandrem? Hoho, dakwaan yang sangat keras di situ. Tetapi yang peliknya, terdapat bukti-bukti yang menyokong dakwaan ini.

Okeh, aku tidak bercakap dalam lingkungan aku dan kawan-kawan aku saja kali neh. Senang cerita apa kata kita melihat dari sudut yang lebih luas. Perasankah anda, kebanyakan mereka yang makan di restoran mamak jarang mintak kurangkan harga? Memang ada suara-suara yang komplen tentang harga yang tinggi tapi biasanya dorang tetap jugak bayar je harganya.

Berbeza di kedai lain (kedai melayu laa), boleh terbang pinggan mangkuk di atas meja andaikata tokey kedai meletakkan harga yang terlalu tinggi. Tak payah nak carik contoh, perihal kes ikan tongkol berharga RM45 itu pun pasti masih segar dalam memori anda.

Kisah yang berlaku di Terengganu (kalau tak silap saya) itu amat mendukacitakan. Ini kerana sikap keanak-anakan seorang lelaki tak sedar diri yang mengakui beliau telah melakukan seuatu yang betul. Ceritanya begini:

Al-kisah seorang hamba Allah yang memiliki seorang isteri yang sedang sarat mengandung, dipinta untuk dicarikan kepala ikan Tongkol. Mengidam, kata isterinya. Gusar kalau-kalau terkena kempunan, maka si suami pun keluar mencarik biarpun waktu itu sudah agak lewat untuk mencari juadah tersebut.

Sampainya beliau di satu restoran ini, beliau bertanyakan saki baki kepala ikan Tongkol yang masih tinggal. Tokey kedai mengatakan sudah habis dijual. Yang ada cumalah untuk dimakan beliau sahaja.

Menyedari ini sajalah satu-satunya peluang yang mungkin ada, si suami tadi pun memujuk rayu untuk membeli ikan tersebut. Beliau tahu sekiranya beliau berganjak ke kedai lain, mungkin beliau takkan dapat menemui apa yang dicari.

Melihat kesungguhan lelaki itu, makcik tokey kedai ini mungkin mahu menguji iman lelaki tersebut agar beliau tidak lagi memaksa untuk dijualkan ikan itu; lalu makcik tokey kedai meletakkan harga tak masuk akal iaitu RM45.

Tanpa disangka, lelaki itu mengambil jalan mudah dengan bersetuju lantas membayar RM50 dan diberikan pulangan baki RM5 (bayangan penulis sahaja).

Setelah pulang ke rumah dan menghadiahkan kepada isterinya apa yang diingini, mungkin tiba-tiba terdetik rasa kesal dalam jiwa lelaki ini kerana telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk juadah makan yang belum tentu mengenyangkan. Sedangkan duit tersebut boleh digunakan untuk isi minyak kereta selama seminggu. Ataupun mungkin juga setelah diceritakan akan kisah ini kepada isterinya, si suami dimarahi kerana dianggap diperbodoh-bodohkan makcik tokey kedai itu.

Lantas beliau mengambil keputusan untuk mengadukan perkara ini kepada pihak berwajib sementelah beliau sendiri adalah pegawai kerajaan yang bertugas di Putrajaya.

Lalu tersebarlah di dada-dada akhbar tempatan dengan headline berbunyi seperti “Ikan Tongkol Paling Mahal Dalam Dunia” atau “Ikan RM45 : Peniaga Restoran Menipu Pelanggan.”

Rata-rata si pembaca yang belum mengetahui kisah sebenar menganggap makcik tokey kedai sebagai peniaga tak bertanggungjawab kerana menjual ikan dengan harga sebegitu tinggi. Walhal cerita sebenar belum lagi diketahui. Begitulah nasib generalisasi terhadap kedai melayu ini.

Sedangkan di kedai mamak tidak berlaku pun perkara ini. Padahal mungkin ada kisah yang lebih teruk tapi tak kedengaran pula di media. Berapa orangkah di antara anda yang pernah bertanyakan sekiranya kedai mamak ini ada menghidangkan kari lembu atau tidak? Ini agak penting kerana sekiranya pelayan kedai tersebut mengatakan tidak ada, dikhuatiri kedai tersebut bukanlah kedai mamak (India Muslim) sebenar. Kerana orang india beragama Hindu tidak akan sanggup menyediakan kari lembu sebagai hidangan, sepertimana kedai melayu atau Islam tidak sanggup menjual babi salai di kedai mereka.

Ada blogger yang pernah menyatakan, meniaga makanan ini adalah yang paling mudah dan menguntungkan. Memang benar. Margin modal dan pulangannya adalah sangat besar. Kerana itu tidak kira bangsa apa pun, ramai peniaga yang memilih industri ini untuk mencari rezeki.

Aku pun tidak memiliki jawapan akan misteri kedai mamak ini. Mungkin kerana keselesaannya kot. Dengan pilihan diberi kepada pelanggan sama ada untuk makan di dalam (mempunyai kipas) atau di luar kedai (lebih seronok untuk bergelak besar bersama rakan-rakan) dan sesetengahnya juga menyediakan skrin layar besar untuk menonton bola.

Mungkin kerana itulah soal harga atau komplen yang pelbagai ini tak menjadi punca untuk kami bertukar lokasi. Ini kerana di pengakhirannya, yang lebih penting adalah kepuasan. Mazidul Akmal Sidek sendiri pernah melepak di sebuah Kopitiam popular di sebuah kompleks membeli belah tetapi tidak menyedari bahawa beliau membayar harga 60 sen untuk secawan air kosong. Sudah tentulah apabila beliau menyedarinya maka beliau membuat bising di studio Malaysia Hari Ini kerana beliau adalah wartawan. Tetapi berapa ramai pulak dari kita yang sememangnya sedar tapi sekadar memejamkan mata ketika membayar di kaunter?



~Harap-harap Otai Burger akan bukak cawangan restoran seperti Mekdi~

12.1.09

AKIDAH BUKAN UNTUK DI-AKIKAH

Sejujurnya aku tidak gemar membicarakan atau membincangkan soal agama kerana aku ini terlalu cetek ilmunya, dangkal pemikirannya dan jahil akan hukum hakam-Nya. Entri ini bukan dibuat atas dasar suka-suka atau mahu menjadi panduan buat semua. Aku sendiri tidak pernah menempel hadis dan sabda Nabi di blog ini berikutan aku tidak memiliki akses akan kesahihannya. Setakat terserempak kat mana-mana web/blog atau e-mel, seriously, aku tak berani untuk menanggung risiko ini.


Apakah risiko yang aku cuba maksudkan ini? Jawapannya mudah; takut tersalah sampai dan ada yang terpesong pula nanti. Pesong di sini membawa maksud tersimpang dari jalan yang sepatutnya tapi belum boleh didefinisikan sebagai sesat. Melalui apa yang telah aku pelajari dalam kehidupan singkat ini; sesungguhnya kata-kata itu lebih tajam dan berbisa dari mata pedang samurai.


Sedangkan ucapan dalam media arus perdana pun boleh dipetik luar dari konteks, inikan pula kenyataan dari seorang hamba Allah yang hina-dina seperti aku. Bagaimanapun di sebalik kejahilan aku sendiri, aku terpanggil untuk mengajak kamu semua kembali merenungi akidah masing-masing. Aku tidak boleh mengajar apa yang betul dan apa yang salah, cuma kesedaran ini terbangkit dari kerisauan melihat pasca kenyataan (statement) yang pernah aku temui sepanjang unjuran kehidupan penuh corak ini.


Baru-baru ini aku agak tersentak dan ‘makan dalam’ apabila ada seorang hamba Allah yang membidas kata-kata aku dengan sepotong hujah: “Apa puak Maal Hijrah neh Jai? Esok kan Awal Muharram. Itu pun ko tak dapat nak bezakan ke?” Belum sempat aku tarik nafas mengucap, aku terasa nak aje hempuk kepala mamat tu dengan gelas plastik yang tergenggam di tangan aku. Itulah fitrah manusia; seringkali mudah dipegaruhi emosi panas baran tanpa sempat memikirkan semula soalan yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam menentukan pendirian kita selaku seorang Islam; “Apakah aku benar atau silap?”


Yang aku sentap lebih tu bukan sebab apa, cuma mengikut pemahaman akidah aku berkenaan sejarah Islam, kalendar tahun Hijrah bermula ketika detik penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah yang mana bulan Muharram adalah bulan pertama bagi kalendar ini. Jadi, apa agaknya reaksi aku bila ada yang mengatakan Maal Hijrah dan Awal Muharram itu bukan satu sambutan yang sama? Ia umpama seseorang yang mengatakan ucapan dua kalimah Syahadah aku adalah tidak benar; sudah tentu aku akan melantun sebelum sempat aku bermuhasabah dengan diri sendiri terlebih dahulu.


Sebenarnya, banyak jugak pertikaian mengenai agama yang lebih kritikal yang aku nakkan sangat penjelasan dari cerdik pandai agama. Tapi macam biasalah, syaitan dok bergayut dan bersepah dalam kepala hotak, bilamana aku berkesempatan berbuat demikian, habis terlupa akan semua persoalan tadi.


Untuk membicarakan perkara ini dengan lebih berhati-hati tetapi tetap kritis, izinkan aku kemukakan barang sedikit daripada persoalan tersebut yang aku sempat ingat. Persoalan yang menjadi buah mulut hangat ketika ini adalah berkenaan hukum hudud. Ada yang menyokong perlaksanaannya, ada yang menentang, tak kurang juga yang masih bermain tarik tali.


Seorang ustazah (politik) terkenal di negara kita pernah membuatkan kenyataan akhbar menerangkan bahawa negara kita tidak perlukan hukum hudud dan qisas dek kerana dinamisme budaya masyarakat majmuk negara ini. Beliau dipetik lagi sebagai berkata pemerintahan Islamik kita dibuat mengikut keutamaan, keperluan dan kewajaran semasa. Buat masa ini kita telah diberikan Islam Hadhari, sistem keadilan mahkamah syariah serta kita juga menjadikan fatwa sebagai hukum; belum pernah lagi dipraktikkan di mana-mana negara lain. Kata beliaulah...


Agak menarik untuk diperkatakan tentang ustazah ini kerana beliau pernah menyatakan hujah bahawa mewarnakan rambut tidak haram kerana sifat semulajadinya yang berubah-ubah. Dari pendek ke panjang, dari hitam/jingga/kuning akhirnya tetap akan berubah ke putih juga. Hatta bulu hidung, bulu ketiak, bulu ehem ehem pun digalakkan untuk dicabut bagi tujuan kekemasan diri. Aku percaya hujah inilah yang sering digunapakai kaum Hawa mencukur kening walaupun kawasan kening ini tidak tertakluk dalam lingkungan aurat sekaligus membenarkan ‘kekemasan’ diri ini dilihat oleh lelaki-lelaki bukan muhrim.


Jadi apakah hujah yang digunakan ustazah ini tentang hukum hudud boleh diterima pakai? Memang benar bahawa akan terdapat risiko pemberontakan dari kaum bukan Islam mengenai hal ini kerana walaupun hukum ini dikatakan hanya untuk orang Islam, namun berapa ramai pula orang Islam di negara (dan di dunia) yang sekadar hanya Islam pada nama? Transformasi sistem undang-undang ini mungkin menimbulkan kegusaran banyak pihak sekaligus membuatkan orang bukan Islam merasa tidak selesa akan fenomena yang bakal berlaku.


Namun yang jelasnya adalah hukum Allah ini bersifat mencegah kemungkaran dari berlaku. Amar maa’ruf nahi mungkar. Dibimbangi akan ada pendapat yang berfikiran tidak salah untuk menyambut perayaan keagamaan atau meraikan tuhan agama lain hanya kerana tinggal dalam kawasan bermasyarakat majmuk. Akhirnya mungkin juga perbuatan bersubahat membuka kandang babi atau menjual arak biarpun kepada bukan Islam diterima sebagai satu punca untuk kita mencari rezeki. Hanya kerana atas nama toleransi sesama kaum.


Kita berganjak pula ke persoalan lain, iaitu mengenai cadangan sesetengah pihak yang mahukan duit zakat turut diagihkan kepada bukan Islam. Telah dinyatakan bahawa duit zakat ini hukumnya haram diberikan kepada golongan kafir melainkan ia bertujuan untuk membuka hati mereka yang masih ragu-ragu untuk memeluk Islam tapi menyimpan niat untuk menganutinya (dan mereka juga perlu melepasi syarat sah penerima wang zakat). Ini supaya mereka melihat kebaikan orang Islam lalu memudahkan mereka untuk menerima ajaran agama ini.


Memandangkan ia merupakan petikan kata-kata seorang pegawai besar JAKIM, aku agak risau dengan mesej yang cuba disampaikan melalui dada akhbar ini. Adakah ini bermakna Islam boleh berdakwah menggunakan habuan wang ringgit sepertimana yang sering dilakukan mubaligh-mubaligh Kristian untuk menambah bilangan jumlah ahli gerejanya? Bunyi seperti ada yang tak kena je. Aku takut akhirnya ia akan disalah erti oleh masyarakat bukan beragama Islam sebagaimana mereka sensitif dengan perkataan hudud itu sendiri.


Harus diingat bahawa junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W pun pernah disalah tafsir sebagai ‘berdakwah menggunakan hujung mata pedang’ oleh sekumpulan orang kafir dek kerana penglibatan Baginda dalam beberapa siri perang Jihad. Sedangkan nama ‘Islam’ itu sendiri membawa maksud ‘damai’, ramai yang masih keliru maksud sebenar Jihad, tidak kira Islam atau bukan Islam. Akhirnya, tidak ada hujah kuat untuk menjustifikasikan keperluan Jihad itu sendiri.


Di Malaysia, perkataan Jihad itu juga merupakan perkataan menakutkan dan sensitif biarpun untuk dibicarakan pemerintah tertinggi negara ini sekalipun. Yang berani disebut adalah perkara-perkara absolute dan melibatkan hal ehwal dalaman negara seperti berjihad memerangi jenayah atau dadah. Yang kelakarnya ada pula calon bakal Ketua Wanita UMNO yang mengajak kita berjihad mengundi BN biarpun mereka sendiri telah menentang perlaksanaan hukum hudud. Tak ke pelik tu? Tetapi bagaimana pula dengan isu blog menghina Rasulullah milik seorang rakyat Malaysia? Tidak kiralah jika pemilik berkenaan mendakwa blog ID beliau telah disabotaj (spam) sekalipun. Yang menjadi kegusarannya apakah trend menghina junjungan besar masyarakat Islam ini akan tetap berterusan? Hanya semata-mata kerana mereka tidak memahami perjuangan baginda Rasulullah? Takkan mereka yang ada kuasa nak berdiam diri memeluk tubuh sahaja melihat fenomena ini?


Bukan persoalan itu saja, penerangan mengenai alam ghaib atau mistik juga amat mengelirukan. Perkataan ghaib digunakan yang membawa definisi ‘tidak boleh dilihat’. Tetapi ada pula yang dikatakan boleh melihat makhluk ini. Kalau nabi tu mungkin logik kerana mereka memiliki mukjizat serta keperluan untuk berhubung dengan dunia ini sewaktu menerima wahyu Allah, tapi Nabi Muhammad adalah nabi terakhir. Masakan mungkin kita yang merupakan manusia biasa, selaku umat Nabi Muhammad yang dikatakan umat terakhir manusia sebelum kiamat, memiliki kuasa itu. Tidak kiralah jika ada yang mengatakan ia bergantung kepada rezeki masing-masing, namun yang khuatirnya kerana manusia memang terkenal dengan sifat takutkan benda-benda yang mereka tidak fahami. Ini terbukti apabila ada yang mengatakan David Copperfield menggunakan kuasa jin untuk melakukan silap mata. Malah ada yang lebih parah mengatakan sukan gusti adalah babak pergaduhan yang real/sebenar. Jadi siapalah kita untuk mengatakan imej-imej kurang jelas yang kita lihat adalah sebenarnya merupakan makhluk dari alam ghaib?


Yang peliknya, makhluk ini (seperti yang akan disokong oleh Uncle Seekers dan yang sewaktu dengannya) tidak pula memiliki sifat yang sama merentasi negara-negara. Hantu cina lain, hantu melayu lain, hantu omputih lain. Ada hantu yang cuma berkepala. Ada yang dibaluti kain kafan. Ada hantu jerangkung, hantu air, hantu raya, hantu galah dan sebagainya. Walhal kita sebagai makhluk manusia sama je dari segi biologinya. Tak kiralah orang Afrika ke Jepun ke. Si perempuan tetap mengeluarkan darah haid dan si lelaki tetap tumbuh jambang dan misai. Biarpun jin dan syaitan ini dikatakan mampu berubah-ubah kepada pelbagai bentuk, mengapa ia kelihatan memiliki satu bentuk tetap di satu-satu negara (ada mengikut spesis pulak tu)? Dan yang lebih tak masuk akal, jika ia boleh dilihat (atau didengar), kenapa dipanggil ghaib?


Dan telah disebut bahawa syaitan itu akan terus berbisik kepada manusia untuk tujuan menyesatkan kita sehingga kiamat kelak. Apakah hilaian pontianak boleh diklasifikasikan sebagai gangguan syaitan? Apakah kenyaringan bunyi ini bersifat bisikan? Atau hati kita sendiri yang berbisik supaya mempercayai terdapat makhluk di kawasan itu lalu memperlihatkan berlakunya pelbagai perkara khurafat dan syirik seperti memberi makan jin dan meminta nombor ekor.


Dan kerana hanya menimbulkan persoalan ini, aku pula dikatakan murtad; bertuhankan sains dan tidak mahu mempercayai kekuasaan Allah. Inikah cara berdakwah yang digunakan mereka? Pendekatan apa yang mereka gunapakai ini? Maaf kerana aku nak berkata; golongan seperti mereka ini cukup memalukan agama.


Walhal perkara yang sudah jelas terang lagi bersuluh, tiada pula suara-suara yang lantang mahu backing-up. Tahukah anda sebahagian besar masyarakat kita masih menutup telinga dan mata bila kilat sabung menyabung? Sewaktu aku belum sempat masuk ke sekolah lagi, ustazah yang mengajar muqaddam kat madrasah masa aku kecil dulu pernah berpesan: “Jangan takut dengan petir yang menyambar. Tu tandanya malaikat tengah panah syaitan yang berkeliaran. Kalau kamu rasa kamu tu bukan syaitan, tiada sebab untuk kamu takut. Yang kamu perlu takut cumalah Allah S.W.T.” Sampai ke hari ni aku masih ingat pesan ustazah tersebut.


Aku sedar aku juga mungkin takutkan benda lain selain Allah. Misalnya kalau terserempak dengan ular, kamu tak takut? Walau dalam mimpi sekalipun, tak mustahil kamu bangun dari tidur dalam keadaan berpeluh-peluh. Bagi kaum perempuan mungkin disusuli nafas kelegaan kerana mereka tahu itu tandanya jodoh mereka dah dekat.


Tapi dek kerana kesedaran akibat pesanan ustazah tadi, aku gagahi juga ketakutan dalam diri dengan cara memusnahkan atau menjauhkan benda yang aku rasa takut apatah lagi sekiranya ia berisiko untuk memudaratkan aku. Kerana itu dalam pada kaki aku yang menggeletar sekalipun, aku tetap berlagak macho memijak lipas merayap yang bersarang dalam rumah menggunakan selipar jepun (selipar jamban).


Tapi kejadahnya dengan menutup mata dan telinga, boleh menghindari diri kamu dari dipanah petir pula? Dan seperti biasa, ada juga kedapatan suara-suara kritis yang aku tak boleh nak elak dari dengar memandangkan ini ialah realiti kehidupan yang perlu aku tempuhi. “Ooo, kiranya ko tak takut kilat laa ye Jai? Ko berani sangat laa? Cuba ko pergi duduk bawah pokok tu, tak pun berdiri tengah padang bola. Teringin jugak aku nak tengok ko kena sambar petir.” Adalah bukan sesuatu yang bersifat berani apabila anda menyapu Ajinomoto pada kaki anda dengan harapan anda mampu membuka selera si tedung untuk mematuk kaki anda. Amat bodoh sekali cadangan yang dikemukakan tersebut.


Tapi jangan salah sangka, kebodohan itu sebenarnya perlu diluah sekiranya mahu menjadi pandai. Menyembunyikan kebodohan sendiri adalah kebodohan yang paling agung. Manusia belajar dari kesilapan. Sebab itulah aku tidak menegah suara-suara ini dari terus bersuara. Malah lebih aku galakkan supaya membantu aku menukar kebodohan sendiri menjadi kepandaian. Itulah misi manusia selaku pencari ilmu yang hakiki.


Memandangkan aku rasa isu-isu yang aku timbulkan perlu mendapat perhatian pihak berwajib dan cerdik pandai agama, aku rasa adalah afdal untuk pihak JAKIM menubuhkan jabatan penerangannya. Apakah sudah sedia ada? Maka fungsi dan penyampaian mesejnya perlu diperhebat lagi. Ini penting untuk memuktamadkan segala perdebatan dan pertikaian mengenai perihal agama ini. Isu fatwa mengenai yoga dan pengkid sendiri sudah memperlihatkan banyak kekeliruan dan kekacauan pendapat, membuktikan kaedah penyampaian atau penerangan ini masih banyak yang perlu diperbaiki.


Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku sendiri banyak melakukan perkara yang meragukan akidah. Aku sendiri me-rebonding rambut walaupun Cik Tyrark ada menjelaskan bahawa tindakan aku ini dikhuatiri haram kerana bakal memberi visual seperti seorang wanita kepada sesiapa yang memandang. Dan aku sendiri pula masih tersangkut dengan hujah aku mengatakan tiada salahnya menyimpan rambut, cuma mungkin tindakan aku yang didorong akibat rimas dengan rambut kerinting itu boleh diragui. Ya, aku masih dalam proses belajar dan menjustifikasi. Jadi seharusnya tak layak untuk aku menghayunkan gelas aku pada insan yang mengatakan Maal Hijrah dan Awal Muharram itu adalah sambutan yang berlainan. Mujur juga aku tidak terlalu mengikut bisikan emosi syaitan.


Aku sedar persoalan-persoalan yang sensitif seperti tidak sesuai sangat untuk dibincangkan secara terbuka. Lihat sajalah pergolakan yang berlaku antara puak Sunnah dan Syiah di Iraq walhal mereka sesama saudara seagama. Haruslah ia dijadikan iktibar dan betapa perlunya penglibatan ulama bersama kerajaan menentu ukur keteguhan akidah rakyat Islam di Malaysia ini. Percayalah akan kehebatan kuasa yang patut ada pada cerdik pandai agama ini. Insya-Allah orang kita tidak akan terpesong dan berpecah belah.


Aku rasa, kalau kita selalu bermuhasabah diri, dan bertanyakan pada diri apakah kesalahan yang telah/sedang dilakukan, insya-Allah kita akan menemui kebenaran. Anda pula bagaimana? Tanak cuba merenung mana yang benar, mana yang anda silap?




Pesanan penting : Sebagai seorang blogger yang bertanggungjawab, aku sering menapis entri-entri yang menyentuh bab politik, agama, bangsa atau pendidikan. Entri ini adalah antara entri yang paling berat untuk aku lepaskan bagi tujuan penyiaran sementelah berbelas lagi telah aku peramkan sahaja dalam PC di rumah. Di sini, aku meminta untuk anda fahami keikhlasan dan pengertian aku terhadap entri ini. Terima kasih kerana sudi membaca sampai ke tahap ini.




8.1.09

PERMAINAN JAHAT


Tun Dr. Mahathir pernah berkata:


“Perang itu tak pernah bersih. Perang itu sentiasa kotor…”


Walaupun Tun sedang merujuk perang saraf yang sedang berlaku antara kerajaan Saddam Hussein serta George W. Bush ketika itu, sememangnya ia sesuatu yang diterima akal untuk kita menjustifikasikan perang itu sebagai perilaku yang menyeksakan batin dan fizikal bagi setiap pihak yang terlibat serta pihak yang memerhati juga.


Tidak, maafkan aku, aku tidak bercakap tentang perang Palestin-Israel yang sedang hangat berlangsung ketika ini. Perang ratusan tahun itu kelihatan seolah-olah tiada penamat dek keengganan mana-mana pihak untuk mengalah. Di sebalik kuasa besar teknologi peperangan pacuan Amerika Syarikat yang dimiliki Israel, serta semangat waja para penduduk Palestin berjihad demi menghalau musuh durjana si penceroboh; apa yang aku lihat cuma mungkin satu intrumen untuk menjuruskan kita ke kancah perang dunia ketiga yang aku percaya bakal berlaku dalam sikit masa lagi – setelah melihatkan perkembangan terkini sifat terlalu agresif ditonjolkan rejim Yahudi Zionis itu.


Ops, tersalah topik pulak. Sebenarnya apa yang aku nak ceritakan di sini adalah perang di negara kita sendiri. Bukan perang terhadap dadah atau jenayah, kerana perang itu tidaklah sejahat mana walaupun tetap kotor. Tapi perang politik yang kian hangat berlangsung di mana fokusnya adalah di sebuah daerah utama negeri Terengganu. P36 Kuala Terengganu.


Kekalahan tipis Mat Sabu pada musim PRU-12 yang lepas memberikan semangat baru untuk PAS menghantar calon bertanding di sana. Ia dianggap peluang keemasan bagi Pakatan Rakyat (PR) menambahkan bilangan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat apatah lagi sejurus kemenangan luar biasa PR sehingga berjaya memerintah 5 negeri di semenanjung.


Gelombang serangan perang politik PR mungkin belum dirasai kerana dipercayai mereka membawa satu misi; iaitu mahu pengundi menilai sendiri elemen kesatuan dalam PR yang sedang merangka perjalanan untuk menerima kemungkinan mereka bakal memerintah negara satu ketika nanti. Kalau paling hangat pun mungkin ketika minggu acara berkempen nanti yang bakal disertai nama-nama besar pemain politik negara kita.


Di sebalik kealpaan pentadbiran Pak Lah yang tidak menyedari gelombang perubahan sedang bertiup kencang di kalangan para pengundi ketika Mac lalu; kelihatan rupanya mereka masih mahu mengaku selesa dan mula melancarkan roket-roket air liur yang begitu pedas serta bakal memakan diri ini.


Aku petik dua isu saja buat ketika ini sebab aku malas nak menganalisis perkara ini dengan lebih terperinci. Biarkan pengundi Kuala Terengganu yang buat keputusan mereka sendiri nanti.


Di Pekan, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan terdapat kegoyahan dalam apa yang disebut sebagai Pakatan dalam PR. Mereka tidak selari dalam menentukan dasar, serta membangkitkan ketidakpuasan hati beberapa pihak. Apa yang aku lihat ini adalah sebagai satu kelebihan. Mahukah anda golongan wakil rakyat yang bersifat ‘pak turut’ seperti yang banyak anda lihat dalam Barisan Nasional (BN) itu? Mahukah anda golongan wakil rakyat yang menjerit dan melaung “Hidup PM!” walaupun ketika sedang disembelih leher mereka sendiri? Sudah pasti bagi sesiapa yang mendokong demokrasi dan menolak kuku besi, akan mengatakan ‘tidak mahu’ dalam hal ini.


Walaupun PR banyak memperlihatkan acuan pengurusan parti ala-BN, tetapi selagi suara-suara tidak puas hati ini masih kedengaran, aku rasakan ia adalah sihat. Jangan kita tutup suara-suara ini. Pernah juga disebut Tun Dr. Mahathir, “Sekiranya semua orang diam dan berpuas hati, itu bukan demokrasi namanya.”


Tak cukup dengan satu isu, tambah pula isu yang lain setelah menteri besar Terengganu sendiri membentangkan laporan diagnosis penyakit UMNO yang sekian lama telah wujud, telah diketahui tetapi tidak pernah diakui oleh si penghidapnya – politik wang. Sesungguhnya politik wang yang berleluasa ini semakin jelas tampak parah, apabila kita saksikan sendiri Datuk Ahmad Said mengumumkan peruntukan RM5.8 juta dari kerajaan persekutuan sebagai modal membeli undi untuk menghadiahkan penduduk Kuala Terengganu dengan jalan serta prasarana yang lebih baik. Seandainya pengundi tidak memilih BN, pasti dana ini tidak tersalur kerana kerajaan yang sedang memerintah pusat ketika ini adalah UMNO dan BN. Nyata politik wang ini masih melarat serta membebankan pengundi untuk membuat pilihan yang waras. Di sinilah dengan jelasnya segala kekotoran dan kejahatan perang itu mula terserlah.


Walhal di sebelah negeri yang lain, muncul pula Zahid Hamidi menyatakan bahawa peruntukan kerajaan pusat adalah telus serta berterusan dan tidak akan sesekali digunakan untuk memancing undi. Di mana keseragaman dasar yang ada ini sebenarnya? Dan aku tidak bercakap dari sudut BN, cukuplah UMNO sahaja, sudah berderet senarai penyakit yang mereka hidapi.


Di akhirnya, apa yang dirasai rakyat itulah yang paling memberi impak terhadap pola sokongan dan undian. Para ahli politik boleh berdebat, bertengkar selantang yang mereka suka di dewan rakyat. Mencemuh parti-parti lawan masing-masing. Tapi ia tidak membebankan rakyat. Apatah lagi sebahagian besar duit cukai yang diterima mereka sebagai gaji itu datangnya dari orang-orang berpendapatan tinggi. Sumbangan kita agak kecil kalau nak dikira-kira.


Namun kerana Malaysia masih bermajoriti orang Melayu, yang mana merupakan golongan paling ramai bertangga gaji kecil dn sederhana, maka isu pancingan undi ini menjadi amat signifikan sekali. Seperti yang aku cakap tadi, apa yang kita rasa sendirilah yang lebih wajar dijadikan penilaian untuk memilih parti politik terbaik.


Kalau nak cari pemimpin sempurna, sampai berkurun pun belum tentu dapat jumpa. PR sendiri masih banyak pincangnya, tak keterlaluan untuk aku tuduh bakal menjadi seteruk BN satu hari nanti. Aku rasa, cukuplah dengan usaha Kerajaan Selangor memberikan air percuma 20 meter padu kepada setiap rakyatnya tanpa mengira pangkat dan bangsa, dan pendekatan pendek akal Pak Lah setelah menaikkan harga minyak, dengan bebanan kos sara hidup menjadi semakin tinggi setiap bulan; untuk dijadikan kayu pengukur. Kita punya dada, kita sendirilah yang tepuk untuk tanyakan seleranya.


Di sana sini ramai yang membicarakan tentang media alaf baru seperti blog dan youtube selaku punca rakyat Malaysia majoriti sudah mula berubah angin; walhal tidak disedari media arus perdana seperti TV3 sendiri bertindak selaku penyumbang penanda aras kebodohan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN ini. Takyah nak susah-susah cari sumber pun. Jadi, sama-samalah kita nantikan kesudahan cerita ini di kaca TV nanti ye. Biarkan pengundi Kuala Terengganu yang menjadi terajunya. Kita dok diam-diam kat tepi.




~Demokrasi itu telus. Telus itu demokrasi. Tak paham-paham lagi?~

3.1.09

ASCORP 2009

Seperti yang telah dijanjikan, entri pertama untuk tahun 2009 ini akan membincangkan perihal nama Ascorp yang telah aku pakai secara meluas sejak 8 tahun yang lalu. Untuk memudahkan penceritaan dan visi yang cuba disampaikan, aku mengambil keputusan untuk menggunakan pendekatan soalan wawancara atau mungkin juga dilihat sebagai format FAQ’s (frequently asked questions). Sila ambil perhatian bahawa tahap kejujuran aku ketika menjawab soklan-soklan di bawah ini adalah pada tahap 100%. Bukan senang nak dapat neh!



Soalan : Apakah sebenarnya ‘Ascorp’?

Jawapan : Ascorp secara totalnya adalah sebuah ideologi yang dipacu angan-angan seorang lelaki yang tak sedar diri.

Soalan : Bagaimana pemilihan nama ‘Ascorp’ ini dibuat?

Jawapan : Ia terhasil secara berperingkat. Pada awalnya penelitian saya terhadap saham AMCORP (Syarikat induk AMBANK dan kumpulan-kumpulannya) yang seringkali terpapar dalam Buletin Utama segmen pasaran saham Bursa Malaysia membuatkan saya tertarik dengan nama itu. Peringkat seterusnya adalah untuk memilih akronim yang bersesuaian untuk saya jadikan hak milik kekal.

Soalan : Adalah jelas ‘Corp’ di sini membawa maksud Corporation. Maka apakah dia ‘AS’ itu?

Jawapan : Mudah. Jawapannya Ajai & Siti.

Soalan : Maksudnya ‘Ajai & Siti Corporation’? Mengapa?

Jawapan : Pada waktu 8 tahun yang lepas, ketika itu saya baru masuk peringkat akil baligh (fakta yang neh memang membohong), maka hormon ‘kegatalan’ saya adalah di peringkat maksima. Seperti anda boleh melihat sendiri ghairah dan obsesnya golongan remaja zaman sekarang untuk menyertai AF atau menjadi peminat setianya; begitu jugalah saya di zaman itu. Cuma zaman itu takde AF. Keghairahan akan elemem hiburan itu diterjemahkan dengan cara saya meminati nyanyian (Datuk) Siti Nurhaliza. Ketika itu, Siti masih lagi seorang belia muda berusia 22 tahun atau di kampung digelar sebagai ‘gadis sunti’. Adapun ke’fanatik’an saya ini bolehlah dikatakan agak kronik sehingga mengidamkan untuk memperisterikan beliau. Memang bunyinya agak kelakar tetapi harus diingat bahawa Pamela Anderson pun pernah menjadi teman-teman mimpi kebanyakan lelaki di Malaysia ini. Jadi permikiran seperti ini tidak mustahil untuk wujud cuma ia tergolong sebagai ‘impian yang takkan menjadi kenyataan’. Berikutan itu, saya telah mereka cipta nama sebuah syarikat pegangan sendiri iaitu Ajai & Siti Corporation sebagai konon-kononnya lambang cinta agung saya terhadap beliau seumpama Shah Jehan mendirikan Taj Mahal untuk Mumtaznya. Impian saya adalah untuk bergelar usahawan setelah menamatkan zaman persekolahan kerana naluri saya mengatakan Siti Nurhaliza mungkin hanya akan menerima pinangan seorang usahawan berjaya biarpun kalau usahawan itu terlalu muda untuk berpangkat Datuk. Ternyata tafsiran saya sedikit tersasar. Beliau…, memang nakkan ‘Datuk’.

Soalan : Jadi apakah signifikasi angka ’09 itu?

Jawapan : Memandangkan di sebalik impian saya yang tidak berpijak di bumi nyata itu, seringkali sifat saya yang suka berlandaskan logik ini kerap bermain-main dengan fantasi sehingga menghasilkan satu bentuk dateline untuk diri saya mencapai impian tersebut. Dalilnya di sini adalah apabila menjelang tahun 2009, Datuk Siti akan berusia 30 tahun dan saya kurang percaya beliau mampu kekal bujang selepas mencapai usia ini. Sementara di tahun ini juga saya akan berusia 24 tahun dan mungkin sudah cukup matang untuk mendirikan rumah tangga. Harus diingat jarak 6 tahun (dari umur saya 18 tahun ke 24 tahun) juga merupakan sasaran yang agak praktikal untuk saya berusaha menjadikan diri saya usahawan yang kaya raya; dan mungkin juga sempat menyimpan misai tebal yang penuh menggoda.

Soalan : Memandangkan di tahun 2009 ini Datuk Siti Nurhaliza tidak lagi ‘available’ untuk anda sementelah anda juga cuma mampu menjadi pe’makan gaji’ sehingga kini, jadi apa relevannya nickname ini masih digunapakai hingga sekarang?

Jawapan : Pada asalnya setelah mengetahui kekalahan saya di tangan duda beranak dua beberapa tahun lepas; saya mula mencongak-congak perancangan untuk menghapuskan terus nickname ini. Benar, ia kedengaran tidak lagi relevan apatah lagi penekanan ke atas angka ’09 itu sedikit sebanyak membuatkan saya makin menyampah dengan nama ini. Namun ketika gosip antara Datuk K dan Datuk Siti mula timbul yakni ketika lagu ‘Biarlah Rahsia’ mula berkumandang di corong radio; ketika itu juga pentas kehidupan saya melangkaui tahap yang belum pernah saya capai iaitu zaman ‘angau bercinta bagai nak gila’. Untuk pengetahuan semua kepada yang belum mengetahui, awek pertama saya juga memiliki pangkal nama Siti. Dari situ saya memikirkan bahawa nama Ajai & Siti Corporation masih relevan biarpun terdapat kegoyahan di sebalik penggunaan angka tersebut.

Soalan : Tidak ada hasrat untuk meminda angka tersebut?

Jawapan : Ya, ada niat. Saya mungkin lebih gemar menggunakan angka 85 kerana ia juga tahun kelahiran saya dan kebanyakan skandal saya (opsss) juga lahir pada tahun yang sama. Maka ia kedengaran lebih masuk akal. Mungkin. Tapi buat masa ini saya belum mahu memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan pindaan. Mungkin bila ilham datang, angka yang lebih tepat dan lebih saya prefer akan saya gunakan kelak.

Soalan : Juga seperti yang semua ketahui, anda kini telah kembali solo a.k.a Setiausaha Agung Kelab Sepi. Maka adakah ini bermakna dengan penggunaan nama Ascorp ini, calon anda yang berikutnya juga perlu bernama Siti?

Jawapan : Soalan ini agak subjektif bunyinya kerana saya tak pernah meletakkan sebarang syarat nama pada ciri gadis pilihan saya. Tak kisah la Joyah ke, Bedah ke, Tipah ke, Tijah ke, Minah ke; itu bukan persoalan utama saya. Namun anda harus ingat di negara Malaysia ini nama Siti digunakan dengan begitu meluas sekali. Adik dan kakak Datuk Siti pun bernama Siti jugak. Adik angkat kesayangan saya pun bernama Siti Rabiatul Adawiyah. Artis idaman saya pulak Siti Saleha Baharum. Tu belum lagi saya nak cerita anak buah saya lahir kat negeri Cik Siti Wan Kembang dan game simulator kegemaran saya iaitu SimCity. Jadi jangan terlalu skeptikal dengan nama Siti ini. Harus diingat juga bahawa nama Ajai itu bukan saya yang punya. Saya takde trademark berlesen pun untuk mengatakan bahawa Ajai & Siti Corporation itu adalah khas untuk saya dan mana-mana orang bernama Siti. Ia juga boleh dipakai oleh semua orang asalkan orang tersebut bersetuju untuk memakai gelaran Ajai mahupun Siti, oke?

Soalan : Apakah harapan anda dalam iltizam anda untuk terus menggunakan nama ini sempena ketibaan tahun 2009 yang pernah anda anggap sebagai tahun keramat satu ketika dahulu? Apakah anda sudah setkan matlamat baru biarpun kelihatan yang anda tahu cuma set matlamat je, hasilnya entah ke mana. (pewawancara dilempar selipar tetapi sempat dielak dan terkena makcik cleaner di belakangnya)

Jawapan : Agak kurang ajar soalan saudara di situ, tetapi secara ikhlasnya saya mahu menumpukan azam tahun baru 2009 saya terlebih dahulu dan mahu ‘menunggang’ tempoh masa setahun ini tanpa perlu memikirkan lebih lanjut berkenaan hal remeh temeh seperti nama gelaran. Apalah ada pada nama? Ada apa dengan nama? Nama itu apa? Mengapa dan berapa pula nama? Saya masih ada komitmen untuk mengekalkan identiti Akeji Hiroshi selaku orang yang keji tapi baik hati. Saya juga masih dipanggil sebagai Atan di rumah biarpun dah bertahun saya membenci. Malah, saya ada gelaran Paksu Paling Comel yang perlu saya pelihara di kalangan anak-anak buah saya yang cukup ramai sekali. Sesungguhnya, tidak mustahil sekiranya saya bergelar Fabregas pula satu hari nanti.

Soalan : Jadi, mungkinkah wawancara ini sia-sia dan sepatutnya ditunda ke tahun 2010 nanti?

Jawapan : Mengarut ke apa kamu ni? Saya ada obligasi dan janji terhadap para pembaca blog. Apatah lagi saya telah berjanji dengan Cik Rynak Arumugamak Ikan Todak Masak Lemak untuk menjelaskan mengenai isu ini. Jadi, wawancara ini sebenarnya amat bertepatan dengan masa dan perspektif kini. Sekurang-kurangnya saya tiada alasan lagi untuk menjawab soalan berbunyi “Mengapa ‘Ascorp’?” dengan jawapan menyakitkan hati seperti, “E.eh, suka ati aku laa. Ko nak sebok-sebok apasal?” atau “Saja nak nampak cam glemer, macam company VIP.”

Soalan : Memandangkan anda nampaknya sudah bersedia untuk melempar selipar yang sebelah lagi, adalah lebih baik saya mengakhiri wawancara ini dengan mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang diberi. Mungkinkah sekiranya ada persoalan lagi di masa akan datang, dapatlah kira saya dijemput lagi untuk memeriahkan wawancara syok sendiri ini?

Jawapan : Saya tak pernah suka atau mahu memuktamadkan segala hal dalam hidup saya. Memang laa ada dalam dua tiga perkara tapi kebanyakannya memang tidak. Saya lebih suka meninggalkan ruang untuk try and error, untuk expect the unexpected, you know? Jadi, jawapan saya kepada anda adalah berbunyi begini : mungkin jika ada sumur di ladang, dapatlah kita tumpang berkubang; mungkin kalau umur kita panjang, dapatlah kita sambung bergebang.



~Wawancara tamat dengan aksi pewawancara bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan dengan Encik Akeji sambil melemparkan senyuman penuh plastik seperti yang anda sering lihat di kaca TV~